ULU KLANG: Kemelut melanda Dawama Sdn Bhd yang membawa kepada tindakan notis cuti tanpa gaji ke atas kira-kira 380 pekerjanya kian berlanjutan malah turut dikaitkan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bagaimanapun, bekas Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, Hasni Abas membangkitkan persoalan mengenai pendapatan Dawama hasil konsesi lebih RM40 juta setahun.
"Sejak tahun 2002, dikatakan Dawama memperolehi konsesi hampir RM500 juta tetapi ke mana perginya duit itu hingga tidak mampu beroperasi, hatta hendak beli kertas pun tidak mampu?" katanya kepada Harakah baru-baru ini.
Tegasnya, jika wang tersebut digunakan dengan berhemat pasti masalah membayar gaji 380 pekerja tidak akan timbul.
Beliau yang terlibat dengan kesatuan sejak 2002 hingga 2010 kesal dengan sikap majikan yang mengabaikan kepentingan pekerja setelah mendapat konsesi besar. "Mana amanah yang Dawama ambil daripada DBP? " tegasnya lagi.
Diminta mengulas kenyataan Dawama yang menyalahkan DBP sebagai punca kerugian syarikat itu, Hasni menegaskan itu merupakan permasalahan yang timbul antara pihak Dawama dan DBP, dan bukannya dengan pekerja.
Beliau turut mempertikai kedudukan Dawama sebelum konsesi diberikan.
"Apakah faktor yang mempengaruhi pemilihan Dawama sedangkan banyak lagi syarikat yang lebih berpengalaman dan berwibawa ketika itu yang turut berusaha mendapatkan konsesi? " ujarnya.
Malah, tempoh bermulanya konsesi tersebut juga menimbulkan rasa curiga iaitu pada September 2002 sedangkan kebiasaannya sesuatu urusan besar dimulakan pada awal tahun iaitu Januari. "Kenapa ia dimulakan secara tergesa-gesa?" katanya.
Hasni turut menggesa agar semua pihak yang terbabit dengan konsesi tersebut iaitu bekas Ketua Pengarah DBP, Dato' Aziz Deraman serta semua ahli Lembaga Pengelola DBP tampil membantu menyelesaikan kemelut ini.
“Aziz jangan hanya mendiamkan diri. Dia sepatutnya sedar semasa dia menjadi ketua pengarahlah konsesi ini dijalankan.
"Kenapa dahulu beria-ia hendak tubuhkan konsesi dan siapakah Dawama dalam bidang penerbitan sebelum konsesi ini bermula? Adakah ia sebuah syarikat yang ada hubungan kroni?” tegas Hasni.
No comments:
Post a Comment