Saturday, June 16, 2012

Bangunan Umno Bukit Gantang disita

Oleh: MSK

Hanya dua hari lagi sebelum ketibaan Timbalan Perdana Menteri ke Bukit Gantang, pejabat utama Umno Bahagian disita hari berikutan satu pertikaian dimahkamah.

Pada pukul 10.0 pagi tadi, JRAS Corporation telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menyita bangunan Umno Bukit Gantang berikutan kegagalan satu projek di Trong.

Penyitaan tersebut sepatutnya dibuat semalam, tetapi oleh kerana terdapat beberapa masalah teknikal, maka ianya hanya dapat dilakukan hari ini. Bailif Mahkamah Taiping telah melekatkan surat penyitaan dipintu utama bangunan tersebut.

Tidak ada kakitangan Umno Bahagian yang datang betrtugas hari kerana mereka telah mendapat tahu lebih awal dan pintu bangunan telah dikunci dari dalam. Pihak mahkamah terpaksa menggunakan khidmat tukang kunci untuk memastikan semua pintu masuk dikunci.

Apakah cerita disebalik penyitaan bangunan ini?

Ikuti skandal ini dengan lebih terperinci di Mediaperak.com

Berita berkaitan: sini, sini

Belum tentu pendatang Indonesia mengundi BN

Oleh Haji Subky Abdul Latif

Semua percaya beribu-ribu pendatang dari Indonesia telah didaftarkan menjadi pengundi, malah ia telah disampai ke pengetahuan pembangkang sudah dimulakan dalam PRU sebelum ini.

Justeru PRU 13 ini adalah paling mencabar bagi BN, maka gerakan memberi Mykad bagi menjadi pengundi itu diperhebat. Tiada pendekatan itu dibuat kepada pendatang Cina kerana dibimbangi mereka menyokong DAP.

Tiada reaksi kerajaan hendak membersihkan daftar pengundi seperti yang dituntut oleh Bersih 3.0 meskipun Senator John McCain dan rakannya dari Amerika yang melawat Malaysia baru-baru ini menyeru perlunya ada sistem pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia.

Maka pengundi hantu warga Indonesia itu dipercayai terus berada dalam daftar pengundi dan mereka akan mengundi.

Itu adalah perancangan jahat BN bagi mengekalkan kemenangan. Tetapi ia tidak berjaya menyekat tsunami politik dalam PRU 2008 dulu. Itulah perancangan Allah. BN merancang, Allah juga merancang. Rancangan Allahlah yang betul.

Chua Jui Meng, pemimpin PKR Johor bukan Islam tetapi dia percaya perancangan Allah seperti yang berlaku kepada keputusan mahkamah liwat dua Anwar Ibrahim. Semua merasakan Anwar akan dihukum dan dipenjarakan, tetapi mahkamah membebaskannya.

Telah ada di kalangan pengundi Indonesia itu berbincang sama sendiri siapa hendak disokong dalam PRU nanti?

Walau pun mereka diupah bagi menjadi pengundi tetapi ia tidak menjamin kehidupan yang selesa selepas pilihan raya itu. Dengan kebebasan mengundi yang ada maka mereka boleh memikir siapa patut diundi antara BN dan PR?

Seorang penulis Cina membuat tinjauan menyatakan belum tentu pengundi Indonesia itu akan mengundi BN. Mereka mengikuti perkembangan betapa kemenangan semula BN tidak menjamin harga barang yang tidak stabil itu dapat dipertahankan seperti sebelum pilihan raya.

Harga minyak dan gas dan lain-lain yang cuba dipertahankan sekarang adalah bagi menghadapi pilihan raya. BN tidak dapat mengawal kenaikan itu selepas pilihan raya.

Tetapi mereka mendapati PR membuat tawaran yang baik. Harga runcit minyak akan diturunkan. Jika minyak dapat diturunkan, maka ia memberi kesan kepada harga lain-lain barang. Harga barang mungkin dapat dikawal.

Mereka tahu sangat akan kesan rasuah yang dihadapi di negara mereka. Keponcangan hidup di sana adalah gara-gara rasuah yang tidak terkawal. Tidak ada yang tidak rasuah.

Jika rasuah tidak dibendung di Malaysia, kesannya ikut dirasa oleh pendatang dari Indonesia itu. Mereka melihat PR menawarkan untuk memerangi rasuah. Bila rasuah dapat dibendung, ia memberi banyak kebaikan kepada penduduk termasuk pendatang baik dari mana saja.

Keadaan harga barang yang mahal sekarang menjejaskan kehidapan pendatang Indonesia, Bangladesh dan lain-lain. Pendapatan mereka tidak banyak bertambah. Apabila mereka terpaksa menampung keperluan hidup yang tinggi, lalu mereka tidak dapat menghantar belanja secukupnya untuk keluarga di negara masing-masing.

Mereka tidak nampak nasib mereka akan berubah kiranya BN mengekalkan kuasa. Tetapi jika PR berkuasa, apabila harga barang dapat dikawal, maka akan ada lebihan dari perbelanjaan harian. Mereka boleh menghantar pulang wang yang lebih untuk keluarga masing-masing.

Kuat kerja mereka akan berbaloi.

Mereka juga tahu bahawa Anwar Ibrahim mempunyai rakan yang ramai di Indonesia yang terdiri dari orang-orang yang berpengaruh. Hubungannya semasa dalam kerajaan dulu lebih menarik dari rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakan di Indonesia itu memang hendak melihat dia berjaya dalam politik.

Semua perkembangan ini mempengaruhi orang-orang Indonesia yang sudah menjadi pengundi itu.

Jika mereka mengadakan kempen senyap, belum tentu BN dapat meraih keuntungan dari gerakan menjadi pendatang Indenesia sebagai pengundi.

Yakinlah kepada perancangan Allah.

Thursday, June 7, 2012

Wajah suram seorang ibu tahanan ISA

Oleh Nashita Md Noor

Saya masih lagi terbayangkan wajah suram Makcik Hadijah, ibu kepada Fadzullah Abdul Razak, salah seorang tahanan ISA yang kini masih merengkuk di Kem Tahanan Kamunting.

Wajah itu merenung saya dari luar pintu Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Kangsar. Pandangan itu tidak berdaya saya hapuskan dari fikiran saya hingga kini

Pagi itu pada 14 Mei 2012, ketika saya berada di dalam Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Kangsar mengikuti perbicaraan suami saya yang sedang membela diri bagi pendakwaan berada di Perhimpunan Aman di Masjid Ubudiah, saya menerima panggilan dari Makcik Hadijah memaklumkan kepada saya bahawa anaknya Fadzullah sedang mogok lapar dan mereka gagal untuk bertemunya pada hari tersebut kerana kuota lawatan habis kerana Fazullah baru dilawati oleh adiknya pada minggu yang sama.

Ya, ibu mana yang tidak risau dan tidak tenang. Apatah lagi anaknya ditahan tanpa dibicarakan, dituduh dengan dakwaan yang tiada sebarang bukti.

Kebetulan Makcik Hadijah juga berada di Kuala Kangsar, maka saya mengajak beliau untuk bertemu di Mahkamah supaya saya dapat mendengar berita darinya. Bunyinya sangat terdesak sekali.

Makcik Hadijah menyampaikan perkhabaran bahawa anaknya sudah memulakan mogok lapar bagi membantah penahanan mereka dan mendesak mereka dibebaskan dengan segera. Ini adalah satu aksi yang agak mengejutkan kami.

Ya, agak mengejutkan, manakan tidak mereka seolah dilupakan di sebalik tembok batu dan besi yang semakin tinggi dan berlapis-lapis sejak kali terakhir saya menziarahi kem ini ketika enam orang tahanan ISA Reformasi dikurung selama dua tahun di sana sejak 2001-2003 dan disusuli dengan penahanan ramai tahanan ISA yang didakwa sebagai anggota Jamaah Islamiyyah sehingga kebanyakan mereka dibebaskan pada tahun 2009.

Menjadi tahanan ISA memang mudah untuk dilupakan kecuali ahli keluarga rela dan sanggup untuk berkorban dan berjuang untuk pembebasan mereka sepertimana yang dilakukan oleh ke semua isteri dan keluarga tahanan Reformasi sepanjang mereka ditahan selama dua tahun dua bulan. Mereka berjuang habis-habisan tanpa mengerti penat lelah. Saya juga walau tidak punya ahli keluarga yang ditahan ISA turut sama berada di dalam kelompok ini sebaik terjun berjuang bersama rakyat dan membentuk Gerakan Mansuhkan ISA pada 30 April 2001.

Akhirnya pada malam 16 September 2011, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan. Berita ini sudah tentu disambut dengan penuh pengharapan oleh tahanan ISA dan ahli keluarga mereka. Mereka menanti-nanti saat mereka akan dibebaskan sebaik akta zalim ISA ini benar-benar dihapuskan.

Malangnya ianya tidak berlaku walau akta baru UNDANG-UNDANG KESALAHAN KESELAMATAN (LANGKAH-LANGKAH KHAS) 2012 diperkenalkan pada sesi Parlimen yang baru berakhir April 2012 menggantikan akta Keselamatan Dalam Negeri ISA.

Ramai yang menegur saya juga AJK Gerakan Mansuhkan ISA yang lainnya bahawa GMI tidak akan ada lagi dan kami boleh fokus dalam aktiviti yang lainnya. Ramai yang tidak tahu bahawa ISA masih wujud. Tahanan ISA masih dizalimi di sebalik tembok batu Kem Tahanan Kamunting.
Menderita... mengharap dan terus menerus mengharap agar mereka dibebaskan.

Fadzullah Abdul Razak ditahan sejak Julai 2010 adalah antara mangsa akta Zalim ISA yang masih menjadi penghuni KEMTA. Mereka masih menjadi mangsa kerana tertakluk di bawah fasal 32 Pemansuhan dan Kecualian, Akta Kesalahan Keselamatan

(2) Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tidaklah menjejaskan :-
a) apa-apa perintah yang dikeluarkan atau dibuat di bawah Akta yang dimansuhkan itu sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini, melainkan jika dibatalkan terlebih dahulu oleh Menteri: dan

b) Apa-apa tindakan atau prosiding yang diambil di bawah Akta yang dimansuhkan itu sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta ini.

Di bawah fasal ini Menteri masih berkuasa untuk terus menerus menahan mereka.
Maka sebagaimana tarikh Pilihan Raya Umum yang tidak tahu bila akan berlaku begitu juga nasib 45 orang tahanan ISA yang masih merengkuk di dalam Kem Tahanan Kamunting. Mereka tidak tahu bila mereka dapat mengecapi kebebasan.

Kata-kata dari Pesuruhjaya SUHAKAM, James Nayagam, juga masih terngiang-ngiang di fikiran saya. "Tahanan ISA warga Sri Lanka sanggup untuk dihantar pulang ke negara mereka walau kemungkinan mereka akan disenaraihitamkan oleh kerajaan Malaysia."
Ini cukup untuk menunjukkan bahawa kebebasan itu tiada nilainya, begitu bererti.

Mengikut maklumat dari Pesuruhjaya SUHAKAM yang melawat tahanan ISA di Kamunting sebaik mendapat maklumat mereka melancarkan mogok lapar, terkini ada seramai 45 orang tahanan ISA di KEMTA yang terdiri dari 20 orang rakyat Malaysia dan 25 orang warga Asing.

Dari sejumlah 20 orang rakyat Malaysia ini, 9 di antara mereka ditangkap pada bulan November dua bulan selepas Perdana Menteri mengumumkan ISA akan dimansuhkan serta merta. Kesemua mereka berasal dari Tawau, Sabah.

Dari sejumlah 25 orang warga asing pula 7 di antara mereka adalah warga Sri Lanka yang mengikut maklumat yang diberikan oleh SUHAKAM, pihak kedutaan Sri Lanka sendiri tidak tahu menahu rakyat mereka ini ditahan dan dikurung di bawah akta zalim ISA.

Beginilah ISA terus menerus menzalimi bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan sesiapa sahaja boleh ditangkap dan dikurung untuk tempuh yang ikut suka Menteri yang berkuasa.

Harga diri, kasih sayang, sudah tidak ada nilainya bagi mereka yang berkuasa ini. Usah disebut tentang keadilan yang lansung tidak wujud bila mana peluang untuk dibicarakan tiada di bawah akta zalim ini.

Mungkin itulah yang menjadi langkah terakhir buat tahanan ISA di KEMTA bila mana desakan mereka untuk dibebaskan atau didakwa dan dibicarakan di mahkamah tidak diendahkan. Bawa bukti, bawa ke Mahkamah jika bersalah. Maka tindakan terakhir mereka ialah Mogok Lapar. Inilah yang telah dilakukan oleh mereka bermula 12 Mei 2012 dan berakhir pada 18 Mei 2012 apabila mereka dikunjungi oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan SUHAKAM.

Namun difahamkan mereka juga merancang akan meneruskan Mogok Lapar ini sekiranya pihak yang berwajib tidak mengendahkan desakan mereka.

Hanya mereka yang tahu, hanya mereka yang merasa dan keluarga mereka terus terusan menderita menyimpan perasaan rindu dan risau akan keselamatan mereka. Sampai bila mereka akan terus ditahan.
Wajah suram Ibu Fadzullah dan wajah tabah seorang ayah yang menyokong apa jua tindakan anak mereka tetap tersimpan dalam ingatan saya sebagaimana wajah-wajah ahli keluarga puluhan malah pernah mencecah ratusan orang yang pernah saya kenali dan santuni mereka sepanjang tempoh 10 April 2001 hingga kini akan tetap kekal dalam ingatan saya. Paling kecil saya sanggup menjadi pendengar yang setia akan kisah mereka. Selagi kerajaan Barisan Nasional yang terus mahu kekal berkuasa ini ada selagi itu rakyat akan terus ditekan dengan segala bentuk undang-undang yang
zalim.

"Jika hari ini kita memerintah ISA akan dimansuhkan dengan segera!"

Inilah kalimah yang saya sering dengar dari Pemimpin Pakatan Rakyat dan kami rakyat akan menunggu saatnya.

Lawan tetap lawan!

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

Fenomena Hijau: Fitnah "anti-Islam" disanggah dengan lautan manusia

Oleh Dr.Mujahid Yusof Rawa

WARNA ALAM

Hijau adalah warna yang paling sesuai untuk semua kerana ia melambangkan kemesraan manusia dan alam sedangkan alam adalah lambang jiwa besar yang mampu menampung apa sahaja yang di dalamnya. Apabila melihat lambang hijau ia memaparkan satu lambang tanggungjawab untuk memastikan alam ini terus menjadi tempat untuk didiami oleh semua. Ingat hijau kita akan ingat impian kedamaian, keseimbangan dan ketenangan, ia adalah impian yang dikongsi oleh semua orang di alam ini.

EKSPRESI HIJAU

Di Alor Setar pada 1 Jun yang lalu Hijau menjadi tema di mana-mana namun ia bukanlah pertemuan menyelematkan alam ini dari dicemari dan dirosakkan, ia adalah pertemuan yang tidak kurang pentingnya dari menyelamatkan alam, ia adalah pertemuan menyelamatkan negara dari pencemaran warna Biru Pekat yang kini berasa tidak selamat lagi untuk meneruskan usaha pembiruan mereka ke atas sesetengah bahagian negara ini yang telahpun bertukar menjadi Hijau.

Sesiapa yang hadir dalam pertemuan Hijau di Alor Setar baru-baru ini tidak dapat menafikan bahawa Hijau bukan lagi satu kuasa yang boleh dipandang ringan, Hijau telah membuktikan juga bahawa ia berjaya mencapai matlamat 100 ribu yang disasarkan dan sekaligus ia mewakili sokongan padu rakyat kepada pejuangannya.

KEGILAAN HIJAU


Saya berada di Alor Setar satu hari lebih awal untuk meninjau bagaimana keadaan orang ramai yang hadir. Saya membayangkan ia menjadi seperti aturcara tahunan biasa seperti Muktamar, namun mulai tengahari 1 Jun itu, suasana menjadi luarbiasa di mana bandar Alor Setar sesak dengan pengunjung dari seluruh negara.

Ada yang datang dengan bas rombongan, kereta, motor dan hampir semua kenderaan membawa bendera hijau dengan bangganya. Bandar Alor Setar khususnya di sekitar stadium telah "ditawan" oleh gerombolan Hijau, satu "kegilaan" telah berlaku sejak tengahari tadi, semua berpakaian hijau membawa bendera hijau, memakai topi hijau dan bas dan kereta dihiasi dengan bendera hijau.

BERSIAP SEDIA

Paginya semua kepimpinan dari Dewan-Dewan dan Kawasan-Kawasan seluruh negara berhimpun di Kota Sarang Semut untuk mendengar ucapan dari Presiden parti dalam rangka menyiapkan para petugas dan jentera parti berhadapan dengan PRU 13. Dewan Markaz PAS Kedah itu dipenuhi dengan para peserta yang bersemangat. Lagu Negaraku berkemundang pada permulaan majlis disertai dengan lagu PAS "Bersatulah!" cukup untuk membangkitkan semangat siapa sahaja yang mendengarnya.

Lagu PAS sendiri meremangkan bulu roma orang yang menghayati senikata lagunya, khususnya pada penghujungnya mengingatkan semua petugas dan pendokongnya: "Selamatlah Parti Islam melangkah, membimbing umah ke medan siasah, berpedomankan Al Quran dan Sunnah, suburlah hidupnya dan pasti berbuah". Buah yang hendak dipetiknya kali ini bukan calang-calang hasil, PAS mengidamkan mara ke Putrajaya untuk menyelamatkan negara ini dan membebaskannya dari terus dinodai angkara gerombolan Biru Pekat yang menjadi "penjajah" baru negara.

MESEJ

Malamnya, banjiran manusia di tempat duduk stadium Darul Aman dan di atas padangnya menunjukkan parti PAS tetap menjadi pilihan orang ramai walaupun ia difitnah dengan berbagai tohmahan oleh musuh tradisinya dari parti UMNO. Antara yang menjadi mentera di mulut pemfitnahnya ialah tuduhan bahawa ia telah lari dari perjuangannya dan sanggup bersengkongkol dengan parti "anti Islam". Mentera itu guna untuk menjauhkan orang Melayu daripada menyokong PAS.

Gambar dari Facebook.

Namun pada perhimpunan malam itu, dakwaan dan dakyah itu telah berjaya disangkal oleh PAS dengan kehadiran begitu ramai orang Melayu khususnya yang seolah-olah mahu membalas hujah fitnah itu dengan tindakan mereka hadir beramai-ramai di Stadium Darul Aman malam tersebut. Inilah yang menggerunkan musuhnya, seolah-olah taktik fitnah sebegitu sudah tidak boleh digunakan lagi kerana orang Melayu pun sudah mual dengan pembohongan UMNO ke atas PAS. Perhimpunan malam itu bukan sekadar perhimpunan tetapi ia adalah "bahasa badan" PAS untuk mengatakan "mentera kamu sudah tidak terpakai lagi, carilah cara lain untuk berhadapan dengan kami".

PARTI NASIONAL


Patriotisma jelas terserlah pada malam itu, kibaran bendera hijau diselangseli dengan jalur gemilang di mana-mana. Suasana malam itu adalah sesuatu yang menggalakkan pada PAS kerana ia telah meletakkan dirinya bukan sebagai parti lokal tetapi ia menjadi parti yang mencetuskan inspirasi nasional yang melihat kerangka Malaysia sebagai fokusnya dan bukan sekadar kerangka kedaerahan seperti hanya Kedah, Perlis atau Kelantan.

Bagi membuktikan kesungguhannya melahirkan patriotisma ini, PAS telah membariskan semua kelompok berpengaruh dalam masyarakat untuk berucap menyatakan pendirian sokongan kepada PAS. Pernyataan ini penting kerana PAS mahu membawa mesej bahawa ia telah bersedia untuk memimpin negara ini. PAS bukan parti eksklusif untuk kelompok tertentu sahaja atau PAS bukan lagi parti "menumpang" populariti orang lain, tetapi PAS kini parti nasional yang merangkul semua pihak berada di bawah payungnya. Artis, sasterawan, bekas pegawai tinggi Polis dan bekas pegawai tinggi pentadbiran awam dan ramai lagi yang hadir adalah simbol penerimaan semua pihak kepada PAS. Malam itu adalah malam PAS menasionalkan dirinya tanpa disedari dan ia sesuatu yang terbaik untuk PAS.

GENDANG DIPALU


Pengacara Mahfuz Omar malam itu menunjukkan PAS tidak akan mengalah dengan tohmahan musuhnya, Naib Presiden PAS itu memberi amaran bahawa himpunan hijau akan digerakkan ke seluruh negara dan rakyat akan dimobilisasikan untuk hadir bagi menunjukkan sokongan kepada PAS dan rakan-rakannya. Timbalan Presiden PAS pula memberi amaran, "jangan 'paksa' rakyat turun ke jalanraya dengan mencemarkan demokrasi kerana jika pilihanraya yang tidak telus tidak dibaiki, rakyat terpaksa ke jalanraya!" Timbalan Presiden itu yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu seolah-olah mahu mengisyaratkan kemungkinan BERSIH 4.0 tidak dapat dielakkan jika regim hari ini masih tiada keazaman politik untuk membaiki sistem pilihanraya negara ini. Bahasa dan konotasi ucapan adalah umpama paluan gendang yang sudahpun dipalu pada malam hijau tersebut.

KEKUATAN HAKIKI

Tidak ada mana-mana parti politik setakat ini yang boleh menampakkan imej keislamannya lebih daripada PAS. Walaupun UMNO berusaha sedaya upaya untuk bersaing dengan PAS namun sukar untuk orang menerima bahawa UMNO lebih Islamik dari PAS. Malam itu dimulai dengan solat maghrib berjamaah dan munajat memohon Allah memberkati usaha PAS mara ke Putrajaya. Munajat adalah sinonim dengan PAS dan itu lambang kejituan asas keyakinan PAS kepada janji Allah bahawa kemenangan akan tiba akhirnya, kita hanya dituntut bekerja untuk kemenangan. Inilah uniknya PAS, mereka sesekali tidak pernah kecewa dengan usaha mereka kerana keyakinan mereka disandarkan kepada bantuan dari Allah yang dengan kehendakNya memberikan kemuliaan kepada siapa yang dikehendaki dan memberikan kekuasaan pada siapa yang Dia kehendaki.

Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS membawa mesej tersebut dalam ucapan mereka. Mursyidul Am PAS pula membaca bait syair Arab yang padat dengan pautan dan sandaran kepada Allah di saat manusia sudah kecewa untuk meminta kepadaNya. Bagi PAS, inilah kekuatan hakiki yang mengikat gerak kerja parti dan ahlinya mencapai cita-cita politiknya.

PENUTUP

Kita perlu ingat hijau juga adalah lambang kemarahan satu watak kartun marvel yang dipanggil "orang hijau" beliau adalah Hulk yang bertukar menjadi hijau apabila dia marah. Kata-katanya yang menjadi tagline ialah "anda tidak akan suka saya jikalau saya marah". Saya harap Ekspresi Hijau bukanlah satu kemarahan kerana UMNO pasti tidak akan suka kalau PAS marah, saya lebih suka menganggap ia lambang tanggungjawab PAS untuk memelihara keseimbangan dan kedamaian bumi tercinta ini.

Untuk mencapai cita-cita tersebut halangan besar mesti diatasi terlebih dahulu, bagi PAS dan majoriti yang hadir malam itu halangan besarnya ialah UMNO dan bahtera BN yang dah rosak teruk. Selagi UMNO dan bahteranya terus menerus "mencemarkan" bumi Malaysia ini cita-cita kedamaian tidak akan tercapai. Sememangnya himpunan hijau di Alor Setar baru-baru ini satu mesej untuk rakyat Malaysia dan pastinya UMNO memahaminya dengan baik.

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Kezaliman belum berakhir hulurkan bantuan anda terima kasih !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KAMPUNG MASJID

KAMPUNG TELUK DALAM

peringatan PRU 13

DOA MINTA TURUN BALA

“ Bismillahirahmanirahim. Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami Hamba Mu yang lemah memohon belas ehsan dan kasihan Mu. Kami tidak berdaya untuk menghadapi fitnah wang sebegini besar. Maka, kami berserah kembali kepada kekuasan Mu Ya Allah setelah habis daya dan kederat kami telah digunakan.Maka, kami memohon, Ya Allah, turunkan Bala yang diterima oleh Kaum Nabi Nuh dan Kaum Nabi Hud ke atas semua yang terlibat dalam usaha pembelian wakil-wakil rakyat serta pimpinan PKR tidak kira siapa mereka itu.


Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Menggerakkan Awan, Yang mengalahkan bala tentera Al Ahzab. Hancurkan mereka. Menangkan kami ke atas mereka. Jadikanlah wang mereka sebagai bala ke atas mereka supaya mereka sedar bahawa Kau lebih Berkuasa dari wang mereka.

AMIN”
" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran regim UMNO dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.