Oleh Subky Latif
HUBUNGAN diplomatik Malaysia dan Turki yang dicapai oleh kunjungan Perdana Menteri Najib ke Turki bagi menghapuskan penggunaan visa antara rakyat kedua negara adalah satu kemajuan yang memberansangkan.
Ia boleh mengeratkan hubungan antara kedua negara dalam berbagai bidang khususnya ekonomi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.
Saya ada pengalaman berulang alik ke Istanbul sekitar 15 tahun lalu. Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa melancong ke Turki.
Cuma bagi mereka yang hendak menetap lebih dari waktu yang ditetapkan perlu menyambung visa setiap tiga bulan. Orang yang tidak ada visa tetap terpaksa keluar dan masuk semula untuk tinggal selama tiga bulan.
Anak saya ditawarkan mengikuti kursus menghafal Al-Quran di Tukri yang memerlukan tempoh dua tahun ke atas. Kanak-kanak yang hendak menghafal Quran tentulah yang di hujung tempoh sekolah rendah dan awal sekolah menengah. Hafalan jadi payah bagi yang lebih usia.
Kerajaan Turki sebelum Recep Tayyib (Rejab Taib) Erdogan tidak mengeluarkan visa pelajar bagi kanak-kanak seperti itu sekalipun ia ditaja oleh masyarakat Turki.
Apa yang berlaku mereka duduk secara tidak sah di Turki. Anak-anak itu masuk ke Turki tanpa visa. Mereka tidak keluar dan imigresyen Turki mencari mereka. Tetapi kalau mereka keluar Turki untuk bercuti, sulit sedikit untuk masuk semula. Untuk mendapatkan status menetap belajar secara sah tidak boleh kerana peraturan begitu.
Ia tidak menjadi masalah ketika kanak-kanak yang dihantar itu beberapa orang iaitu kurang dari sepuluh orang. Tetapi ia menjadi perhatian kerajaan apabila bilangan itu bertambah.
Turki mempunyai sistem kelas tahfiz al-Quran yang terbaik dan murid-muridnya perpakaian kemas lengkap dengan kot, bukan saya saja yang tertarik bahkan lain-lain ibu bapa Malaysia tertarik untuk menghantar anak belajar di sana.
Ia mempunyai sekolah yang dipanggil Kuran Kursu di semua tempat. 75 peratus yang masuk ke sekolah itu tamat sebagai hafiz dan hafizah antara dua dan tiga tahun.
Ketika saya hantar anak-anak ke sana awal tahun 1990an, Istanbul saja mengeluarkan kanak-kanak yang hafal Quran antara 3,000 dan 4,000 setahun. Ini bererti dalam masa 20 tahun terakhir ini berpuluh ribu anak muda Turki terdiri dari hafiz dan hafizah.
Kanak-kanak yang hafal Quran ini melanjutkan pelajaran ke sekolah yang diasaskan sejak tahun 1950 dulu yang dipanggil Sekolah Imam-Hatib yang tujuan asalnya untuk membekalkan imam dan khatib kepada masjid-masjid di negara itu. Tetapi sekolah itu menjadi agama, tidak sekadar mengeluarkan imam dan khatib saja.
Perdana Menteri Turki sekarang, Tayyib Erdogan adalah keluaran Sekolah Imam-Hatib itu.
Justeru halangan visa itu berbelas pelajar terpaksa dibawa pulang dan tiada lagi kanak-kanak dihantar ke sana. Hampir 10 orang dapat menamatkan hafalan.
Perjanjian baru visa yang dicapai itu boleh membuka kerjasama dalam pelajaran tahfiz yang kian berkembang di negara ini sekarang dan Turki pula banyak pengalaman mengenainya. Turki boleh menawarkan latihan guru bagi guru tahfiz di Turki dan ia juga boleh menghantar guru bagi melatih guru di Malaysia.
Semasa Al-Marhum Prof. Necmettin Erbakan menjadi Perdana Menteri Turki selama setahun, beliau membuat perancangan untuk mengadakan perkampungan Malaysia di Istanbul bagi menarik pelancong dari Malaysia ke Turki. Beribu-ribu rakyat Malaysia yang menunaikan umrah boleh mendapat kemudahan melancong ke Turki jika bidang itu dimajukan. Minat orang Malaysia melancong ke Turki adalah tinggi.
Dengan kemudahan visa itu membuka peluang mudah kepada agensi pelancong Malaysia bekerja dengan pemaju pelancongan Turki bagi mengelolakan pelancong dari Malaysia dan ketika yang sama Malaysia adalah pasaran yang baik bagi fesyen pakaian wanita dari Turki.
Hubungan dagang Turki yang baik dengan Eropah dan Asia Tengah, ia boleh menjadi pintu masuk bagi dagangan Malaysia ke rantau tersebut. Pencapaian baru tentang visa itu boleh membuka peluang kepada dagangan Turki bagi menjadikan Malaysia pintu masuk ke Asia Tenggara setelah sekian lama ia dimainkan oleh Singapura.
Malaysia dan Turki adalah sama-sama anggota D8. Jika kumpulan itu digerakkan, perjanjian visa itu dapat membantu memesatkannya.
Sehingga ini Turki menguasai teknologi binaan dan reka bentuk masjid yang terbaik. Malaysia amat memerlukan teknologi itu. Pencapaian baru kedua negara itu menjanjikan masa depan yang baik bagi kedua negara
No comments:
Post a Comment