Oleh Hj Nasrudin Hassan
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Ahmad Sarbaini Mohamed di atas kejadian yang menimpa beliau kelmarin. DPP Pusat menyifatkan kejadian ini sebagai tragedi yang amat menyedihkan dan memeranjatkan buat rakyat Malaysia.
Justeru itu, DPP Pusat mendesak kerajaan agar membuat suatu siasatan rapi dan menyeluruh bagi mencari punca sebenar kejadian tersebut dan mengharapkan kematian beliau dapat diberikan pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.
DPP Pusat meminta rakyat agar bertenang dan tidak membuat spekulasi awal terhadap mana-mana pihak termasuklah SPRM sendiri agar keadilan dapat ditegakkan.
Namun demikian, DPP Pusat mengingatkan SPRM agar terus menjaga imej dan kredibiliti agar tidak dipersoalkan rakyat. Ini merupakan kejadian kedua kematian individu yang sedang disiasat dalam kawalan SPRM. Sebelum ini kes yang hampir serupa berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock yang mati terjatuh di Bangunan SPRM Selangor.
Dalam hal ini, sepatutnya SPRM mengambil iktibar di atas tragedi yang menimpa Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed dengan memberi perhatian serius terhadap keselamatan saksi ketika dalam jagaan mereka. SPRM tidak boleh membiarkan pegawai-pegawainya melepas tangan daripada menjaga dan memantau keselamatan saksi atau tahanan. Selain itu, saksi atau tahanan perlu diberikan hak membela diri dan tidak dikasari atau diugut. Bahkan DPP Pusat difahamkan ada saksi mendakwa mereka disiksa ketika disoal siasat SPRM.
Bagi menjaga nama baik SPRM, suatu siasatan yang telus dan terbuka perlu dijalankan secara terperinci. DPP Pusat menegaskan agar SPRM tidak terikat dengan kongkongan atau pengaruh politik mana-mana pihak. Sekiranya ada individu yang didapati bersalah dalam kes ini, hukuman setimpal perlu dijalankan tanpa kompromi meskipun individu tersebut adalah seorang berprofil tinggi. SPRM juga mesti memberi jaminan agar semua saksi atau tahanan mereka selamat semasa dalam premis SPRM.
Hanya dengan cara ini, SPRM mampu mengembalikan keyakinan rakyat. Jika tidak selamanya rakyat meletakkan persepsi bahawa SPRM tidak bebas kongkongan parti pemerintah. Lebih dari itu, rakyat menjadi ketakutan apabila dipanggil memberikan keterangan atau disoal siasat dalam premis SPRM.
Disediakan oleh;
HJ NASRUDIN HASSAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
No comments:
Post a Comment