Oleh DINSMAN
Pernah saya fikir tulisan seperti yang akan saya tulis ini tak perlu ditulis. Ia ditujukan kepada orang-orang PAS, atau lebih khususnya aktivis-aktivis PAS sendiri. Perkaranya mudah saja, sebab itu saya fikir ia tak perlu dibangkitkan. Rupa-rupanya tidak seperti yang saya fikir itu. Fikiran saya itu rupa-rupanya salah.
Perkaranya mudah saja. Mula-mula saya dengar mereka kata susah nak dapat Harakah di situ. Biasalah. Kita selalu dengar rungutan atau aduan ataupun komen seperti itu. Tak kiralah dari mulut siapa keluarnya komen dan rungutan itu. Mungkin dari mulut orang PAS, mungkin dari mulut peminat Harakah yang bukan orang PAS. Sama sajalah!
Kemudian saya dengar lagi cerita yang sama itu, dari mulut orang yang sama – orang PAS. Bukan ahli biasa, tetapi seorang aktivis. Dan saya masih tidak terfikir apa-apa yang luar biasa. Saya masih berfikir bahawa itu adalah perkara biasa. Dan baru-baru ini, semalam, dia mengungkapkannya lagi. Dan dia ini seorang aktivis PAS, yang saya kenal, dan pernah terlibat dengan aktiviti bersama.
Bila saya ceritakan suatu aktiviti yang saya laporkan dalam Wacana Budaya, dia kata: “Macam biasalah, di Johor susah nak dapat Harakah.” Maksudnya dia tak baca Wacana Budaya dan dia tak tahu aktiviti yang saya laporkan dalam Wacana Budaya. Dan dia ini seorang yang meminati hal-hal budaya. Kalau dia tak minat budaya barangkali saya pun tak kisahlah dia tak baca Wacana Budaya. Tapi dia minat dan selalu juga bertanya saya pasal aktiviti budaya.
Kawan-kawan saya dalam Paksi pun selalu mengingatkan saya: “Kau jangan fikir mereka itu baca Wacana Budaya. Mungkin mereka tak pernah baca pun apa yang kita tulis pasal mereka.” Razali Endun selalu mengingatkan saya begitu.
Ingatan itu dimaksudkannya tokoh-tokoh tertentu dalam Pakatan Rakyat yang sebahagiannya memegang jawatan dan amanah mengenai kebudayaan, khasnya di Selangor. Kita tulislah mengenai mereka yang tak menunaikan amanah dan tanggungjawab mengenai kebudayaan, namun tak ada kesan apa-apa pun. Mereka seperti tak tahu apa-apa pun. Itulah yang Razali selalu katakan begitu. “Harakah pun mereka tak baca. Macamana? Sibuk sekalipun, Harakah mestilah baca. Ini, macam tak ambil tahu langsung hal kebudayaan, sedangkan awak memegang jawatan yang bertanggungjawab ke atas kebudayaan.”
Dan ada kawan lain menambah: “Kalau macam ini tak ada maknalah kita mengkritik dan mengecam pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Pemimpin Pakatan Rakyat pun sama juga. Nak baca Harakah pun tak ada masa, tak usah cakaplah hal-hal lain.” Itu hal pemimpin PR yang tak baca Harakah. Bukan soal susah nak dapat Harakah, tapi susah nak baca. Sebabnya? Tak tahulah. Lain kalilah kita cakap soal itu.
Sekarang kita balik semula kepada cerita kawan saya yang susah nak dapat Harakah di tempatnya, di Johor. Dan dia seorang aktivis PAS yang minat budaya. Macamana dia minat hal budaya dan dia seorang aktivis PAS tak baca Harakah sebab di tempat dia susah nak dapat Harakah? Fikiran saya tiba-tiba terasa pelik. Dan saya terfikir – apa yang susahnya?
Anda seorang aktivis PAS. Tentu anda mempunyai hubungan dengan orang-orang yang menjadi AJK PAS kawasan anda. Bagaimana pula dengan AJK PAS kawasan anda sendiri? Apakah mereka juga tidak membaca Harakah sebab susah nak dapat disebabkan tak ada kedai yang berani jual Harakah di situ? Nah, kalau AJK kawasan pun tak baca, hebatlah cerita ini! Makin marahlah Hasni kalau macam ini.
Ada tokoh PAS yang tak balik rumah berhari-hari bermalam-malam kerana berceramah di seluruh pelusuk negara bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat, dan dalam masa sama ada AJK kawasan sendiri pun tak baca Harakah, apakah lagi nak sebarkan maklumat yang terdapat dalam Harakah kepada orang-orang di sekitarannya?
Kawan saya peminat budaya ini saya tak pasti apakah dia menjadi AJK apa-apa dalam PAS kawasan atau cawangan. Itu tak mustahak. Yang mustahaknya dia ada hubungan dengan pihak PAS kawasan. Dan itu pun rupa-rupanya tidak boleh membantu dia mendapatkan Harakah. Ertinya apa? Apakah itu ertinya PAS kawasan pun tak peduli samada orang-orang di sekitarnya membaca Harakah ataupun tidak? Nampaknya begitulah.
Tapi tak mengapalah hal itu. Soalnya sekarang kawan saya ini nak membaca Harakah, tapi tak dapat, sebab orang di situ tak berani nak jual Harakah. Saya tanya dia: Kenapa sdr sendiri tak jadi agen menjual Harakah di kawasan sdr? Atau kenapa sdr tak minta pihak PAS Kawasan berikhtiar supaya sdr dan sesiapa lagi yang perlukan Harakah di situ tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan Harakah, samada membeli atau membaca?
Dia memandang tepat ke muka saya, seolah-olah baru terfikir: “Ya tak ya juga. Betul tu. Mengapa aku tak terfikir begitu selama ini?” Dia bersetuju dengan cadangan itu dan berjanji akan bercakap dengan pihak AJK PAS Kawasan, supaya PAS Kawasan sendiri berikhtiar mengatasi masalah ini.
“Iya lah,” katanya kemudian, “sepatutnya ini menjadi tanggungjawab PAS Kawasan, memastikan orang-orang di kawasannya samada ahli atau bukan ahli PAS, mudah untuk membaca Harakah.
Tak kiralah samada mereka nak jual atau mereka nak sediakan percuma di markas, asalkan orang ramai mudah untuk membacanya.” Kemudian kami berpisah, dan dia balik ke Johor. Tak lama lagi akan jumpa semula, dan saya akan pastikan dia tidak merungut lagi pasal susah nak dapat Harakah.
Dan saya menulis begini kali ini sebenarnya bukan ditujukan kepada kawan saya seorang itu, tetapi ditujukan kepada ramai lagi orang-orang PAS dan Pakatan Rakyat yang tidak membaca Harakah dan lain-lain akhbar yang ada hubungan dengan PR.
Berubahlah sekarang! Buatlah perkara yang mudah ini. Jangan sibuk dengan hal-hal besar tetapi perkara mudah yang asas begini pun tak mahu buat. Padahal manfaat dari perkara mudah ini sangatlah besar. Buat sekarang!
No comments:
Post a Comment