Oleh UMAR MUKHTAR
Projek Dana PAS Pangkor... Jom infaq !
RAMADAN hampir tiba. Hanya dua hari lagi. Kerinduan terhadap bulan penuh keberkatan ini sudah memuncak. Alhamdulillah, dizinkan-Nya untuk kita bertamu di bulan yang menjanjikan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka, serta dapat kita menumpahkan sepenuh perhatian bagi beribadah setulusnya.
Ramadan sepatutnya hadir dalam diri lebih awal lagi. Sebaiknya apabila Rejab dan Syaaban menjengah kita sudah membuat persiapan. Paling penting niat dan keazaman kita. Persiapan dan persediaan mental amat diperlukan.
Ya ... apa azam dan tekad kita Ramadan kali ini ... agar ia bukan saja berbeda daripada tahun-tahun lalu, tetapi supaya bulan puasa ini dapat mengangkat martabat dan tingkat ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.
Mungkin ada yang mahu bersedekah sebanyaknya, khatam berkali-kali al-Quran dan memahami maknanya, menunaikan solat sunat sesempurna mengerjakan solat wajibm, beriktikaf di masjid bila sahaja ada kesempatan (namun jangan hanya menunggu masa lapang), serta ghairah merangkul 10 malam akhirnya.
Usah Ramadan sekadar rutin tahunan. Jangan jadikan ia hanya tradisi yang tidak membawa bekas kebaikan. Ramadan yang ditunggu-tunggu ini perlu dihidupkan semeriah-meriahnya.
Sekali lagi, diingatkan, sebaiknya kita ada perencanaan dan perancangan untuk menghadapi bulan tarbiyah ini.
Dengan itu, kebiasaan buruk atau kelaziman yang bercanggah dengan tuntutan Ilahi dapat ditanggal-buang selamanya daripada budaya hidup seharian., bermula Ramadan ini.
Sebaliknya amalan kudus, seperti ditunjukkan Nabi s.a.w. akan menjadi ikutan bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi membudaya erat sehingga nyawa berpisah daripada tubuh.
Insya-ALlah, dengan keazaman yang padu, niat yang jernih, tekad yang lahir dari nurani suci-bersih, maka Ramadan kali ini akan dirasakan berbeda, dan membekas di sanubari selamanya.
No comments:
Post a Comment