Oleh IZMAS
Mulai 11 hb Jun , dunia bakal dilanda tsunamai bola sepak Piala Dunia. Ramai yang ghairah menanti kehadiran permulaan pertandingan sukan yang paling digemari dan diminati penduduk planet bumi ini. Ada yang sampai membeli set TV canggih Plasma baru (dulu dipanggil peti kerana saiznya yang besar) menggantikan yang lama bagi menyaksikan perlawanan pasukan yang digemari dalam siaran yang lebih cantik dan jelas.
Diberitakan kedai membaki barangan elektrik dan lusuh di seluruh negara tertutama di kawasan bandar, menerima longgokan banyak TV secondhand yang sudah tidak diperlukan lagi menjelang bermulanya musim bola Piala Dunia di Afrika Selatan itu.
Apabila wisel pertama perlawanan bermula kelak, ramailah peminat yang duduk di rumah menanti siaran langsung di TV tidak kira waktu dan tempat. Bagi anak muda dan gulungan pelajar – tidak kira lelaki atau wanita – menonoton bola dengan kawan-kawan di kedai mamak, restauran atau kafe lebih seronok dan menyeronokkan. Dari buruh kasar, ustaz, budak pejabat hingga kepada ahli politik biasa, menteri kabinet, perdana menteri sehingga presiden dari seluruh negara di dunia menanti dan menyokong perlawanan melibatkan negara sendiri atau pasukan negara yang disukai.
Ada sekelompok peminat dan penyokong tegar sanggup bertaruh sesama sendiri untuk memenangkan pasukan yang disokong dengan jumlah pertaruhan wang dari sekecil-kecilnya hingga mencecah ratusan ribu. Bagi kaki judi mereka mengambil kesempatan - dengan kebenaran atau tanpa kebenaran pihak berkuasa - mengwujudukan tempat pertaruhan secara senyap di kawasan yang berpemintan tinggi dan berpotensi untuk membuat pertaruhan.
Di negara yang membenarkan pertaruhan bolasepak seperti dibarat dan setengah negara maju di Asia, hal itu tidak menjadi masalah dan halangan kerana ia mendatangkan pendapatan lumayan kepada pemerintah dalam bentuk cukai kepada negara. Hal ini dibenarkan di kalangan orang bukan Islam serata dunia yang memang menanti saat itu muncul setiap empat tahun sekali sebagai medan membuat pertaruhan dan mencuba nasib. Bagi mereka hal itu boleh diterima sebagai sebahagian dari budaya dan percaturaan hidup mereka yang menganggap perjudian sebagai pemainan hidup – samada bernasib baik atau tidak dan menang atau kalah!
Bagi umat Islam, sebarang bentuk perjudian tidak dibenarkan dan membawa kemudaratan termasuk pertaruhan perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010 yang dikatakan bakal diluluskan kerajaan BN.
PM Najib dikatakan sedang menimbang reaksi rakyat samada pertaruhan itu dibenarkan atau dibatalkan. Tiga negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat (Pakatan), Selangor, Kedah dan Pulau Pinang keputusan sudah sebulat tidak akan membenarkan lesen judi itu walaupun kerajaan pusat menghalalkannya sebagai bantahan kepada langkah kerajaan yang didakwa mengkayakan segelintir orang yang sudah kaya dan memisikinkan rakyat yang sudah miskin.
Jutawan Tan Sri Vincent Tan yang telah diberi lesen pertaruhan sukan bolasepak itu melalui syarikat kepunyaannya, Ascot Sports Sdn Bhd telah merayu kepada pemimpin di tiga negeri diterajui Pakatan supaya ‘menghalalkan’ lesen itu. Alasannya untuk menderma hasil jualan antara Ascort dan Berjaya Corporation Berhad sebanyak RM525 juta kepada Better Malaysian Foundation – sebuah Badan Kebajikan yang juga diketuainya sendiri. Beliau dikatakan tidak mendapat apa-apa keuntungan dari urusniaga itu untuk menunjukkan kononnya beliau mempunyai hati dan niat yang baik untuk menabur bakti kepada negara dan rakyat.
Menurut Vincent, isu itu telah dieksploit oleh Pakatan untuk tujuan politik dan mendakwa jika beliau tidak melakukan, pertaruhan judi haram akan berleluasa mengambil tempat dengan anggaran keuntungan antara RM10 sempena demam Piala Dunia itu. Katanya, akibat pertaruhan haram itu kerajaan kehilangan 10 peratus dalam bentuk cukai yang dianggarkan bernilai RM2 hingga RM3 billion yang boleh membantu kerajaan untuk mengurangkan subsidi. Katanya lagi, rakyat tidak sedar bahawa pengendali pertaruhan haram itu bergandingan dengan Ah Long yang dikenali ramai sebagai lintah darat.
Menurut sumber Polis Bukit Aman kagiatan pertaruhan judi haram boleh mengwujudkan ekonomi gelap ‘black economy’ yang melibatkan kegiatan pinjaman haram, perdagangan manusia, dadah dan gangterisme. Kegiatan haram mereka boleh menjana pendapatan dikatakan sehingga RM 10 billion yang sekaligus menyebar penyakit sosial di kalangan masyarakat. Kerajaan BN juga mendakwa lesen yang dikeluarkan kepada Ascort adalah lesen lama yang baru diaktifkan semula tahun ini sempena perlawanan bolasepak Piala Dunia.
Namanya pun judi, pertaruhan bolasepak sudah menimbulkan kemarahan majoriti muslim di negara ini. Penyokong PAS dan DAP menggunakan isu itu untuk menyerang kerajaan BN sebagai tindakan tidak sensitif tentang kemahuan dan kehendak hukum Islam yang patut dipatuhi dan kesannya kepada kehidupan rakyat miskin. Namun, ada pula yang berpendapat, pertaruhan haram bolasepak itu sama seperti judi tikam ekor - membeli nombor 4 ekor - yang dibenarkan dijual kepada umum kecuali kapada orang Islam.
Walaupun diharamkan - seperti diketahui umum - masih ramai orang Islam membeli nombor ekor haram itu secara bersembunyi atau menggunakan khidmat kawan bukan Melayunya untuk membeli bagi pihak mereka. Ramai yang bertanya, adalah dikhuatiri jika rakyat tidak dibenarkan bertaruh sukan bolasepak Piala Dunia di negeri dibawah kuasa Pakatan, mereka masih boleh bertaruh (berjudi) di negeri yang dikuasai BN seperti di di KL, Seremban, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan lain-lain tempat lagi?
Apapun, isu itu sudah menjadi perdebatan umum dan perbahasan politik di kalangan penyokong Pakatan yang menuduh kegagalan kerajaan BN menanangai isu judi di negara ini demi kepentingan rakyat terbanyak. Kerajaan BN yang dikatakan cuba membudayakan cara pemerintahan Islam sepatutnya menghalang pengeluaran lesen pertaruhan bolsepak untuk menjana pendapatan kerajaan kerana ada cara lain yang lebih mulia dan halal boleh difikirkan oleh kerajaan.
Judi pertaruhan haram bolasepak bermaksud mempertaruh untung nasib seseorang kepada satu permainan yang dijangka membawa keuntungan besar tanpa perlu berusaha keras atau mengeluarkan peluh yang dilarang Islam. Alasan lebih popular mendedahkan, ramai yang seronok bertaruh nasib kerana boleh mendapat untung besar seperti ramai kawan mereka yang pernah menang dengan pertaruhan yang amat kecil.
Bagaimanapun, mereka ini tidak sedar sebenarnya kemenangan yang dikecap bersifat sementara kerana mereka akhirnya lebih banyak kalah dari menang. Inilah hakikat berjudi yang perlu disedari - menggamit ghairah nafsu manusia mencuba dan mencuba lagi bagi mengecap kemenangan dalam waktu sengkat – tetapi akhirnya nafsu kepuasan tidak pernah berhujung. Mereka yang menang akan terus berjudi dan bertaruh lagi dengan harapan akan menang lebih besar tanpa menyedari mereka akhirnya kalah kerana modal yang terhad dan nasib yang tidak selalu memihaknya.
Yang menyedihkan, dengan kerajaan membenarkan lesen pertaruhan bolasepak itu bermakna lebih banyak rakyat termasuk orang Islam dibenarkaan berjudi yang dijangka menghabiskan wang pendapatan dan simpanan mereka yang akhirnya menyusahkan kehidupan keluarga sendiri. Bantahan dari rakyat muslim di negeri ini semakin ketara dan seharusnya mendapat perhatian PM Najib demi menunaikan permintaan dan tuntutan mereka sesuai dengan perintah agama. Najib juga perlu berhati-hati menanangi isu itu dengan cermat dan bijaksana kerana ia boleh menjejas kredibiliti beliau sebagai perdana menteri di mata orang Melayu dan muslim.
No comments:
Post a Comment