JAKARTA – Hasan Tiro, pengasas Gerakan Aceh Merdeka (GAM), gerakan pemisah di Aceh, meninggal dunia di Hospital Zainoel Abidin (RSUZA) Banda Aceh, Khamis, sehari selepas beliau diberikan kembali status sebagai warganegara Indonesia.
Hasan Tiro telah memohon mendapatkan kembali kewarganegaraan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebelum ini, beliau memegang pasport Sweden dan tinggal dalam buangan di Stockholm sejak tahun 1979 akibat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia yang dipimpin Presiden Soeharto ketika itu.
Agensi berita Antara menyebut, tokoh yang lahir di Pidie, Aceh, pada 25 Sept 1925 itu, meninggal dunia pada pukul 12.02 tengah hari setelah mengalami kemerosotan kesihatan sejak Rabu malam.
“Hasan Tiro sudah meninggal pada pukul 12.02 WIB (waktu Indonesia Barat),” kata bekas pemimpin kanan GAM Malek Mahmud di RSUZA Banda Aceh.
Hasan Tiro sudah lebih seminggu dirawat di unit intensif RSUZA.
Ada laporan menyebut bahawa beliau akan dikebumikan petang ini, namun belum diketahui di mana tempat persemadiannya.
Semalam, Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan Djoko Suyanto menyerahkan surat kewarganegaraan Indonesia untuk Hasan Tiro kepada Malek dan anggota keluarga terdekat pejuang itu di Banda Aceh.
Sementara itu Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Patrialis Akbar dilaporkan berkata bahawa tidak tertutup kemungkinan pemberian kembali status warganegara kepada pengasas gerakan pemisah yang lain.
Ia merupakan sebahagian daripada dasar Keadilan Untuk Semua yang diterapkan kerajaan sekarang.
GAM berdamai dengan kerajaan Indonesia pada 15 Ogos 2005 setelah berpuluh tahun melakukan pemberontakan bersenjata.
Bagaimanapun tidak ada butiran dalam kesepakatan damai itu yang menyatakan bahawa gerakan pemisah itu dibubarkan. – Bernama
No comments:
Post a Comment