Oleh LanH
SUDAH menjadi lumrah manusia nampak kejahatan orang lain, hanya segelintir yang menyedari keburukan diri sendiri, lalu melakukan usaha mengkoreksi diri (muhasabah). Disebabkan tidak nampak kejahatan diri sendiri inilah kita perlukan orang lain untuk menegur kita, jadi sahabat yang baik itu bukanlah yang membodek kita (yes man) sepanjang masa tetapi juga yang mengkritik diri kita walaupun apa dinyatakan itu pahit macam jadam.
Kini seluruh dunia mengecam Israel atas keganasannya terhadap misi bantuan antarabangsa. Israel atau bangsa Yahudi sudah dikenali akan kezalimannya dulu, kini dan selamanya tetapi bagaimana diri kita sendiri yang kadang-kadang berperangai lebih teruk dan buruk daripada Zionis. Inilah yang perlu kita bimbangkan, kejahatan kita ini yang macam Yahudi ini, bagaimana kita mahu hentikan?
Marilah kita mula bermuhasabah diri, bermula daripada peristiwa terkini dan kemudian menyorot ke belakang. Pertamanya pada pilihan raya kecil Sibu lalu, tidakkah bagaimana Zionisnya kita apabila bertindak keterlaluan menggelapkan berita atau keputusannya sehingga hampir tengah malam.
Rakyat tertunggu-tunggu, namun keputusannya (pilihan raya kecil lain) yang biasanya diumumkan sebelum jam 9.00 malam, disiarkan selepas 11.00 malam. Itu pun setakat pengumuman saja, besoknya akhbar-akhbar pun tidak menjadikan perkara utama. Tidakkah kita menggunakan kuasa Zionis kita untuk menyekat apa yang perlu rakyat ketahui?
Sebelum hari pengundian, kita membawa pelbagai janji manis – projek itu, projek ini – dan terhamburlah kata-kata seperti “I help you, you help me” (Saya tolong awak, awak tolong saya). Permainan kata-kata seperti ini mungkin biasa diucapkan oleh pemimpin negara Zionis kepada pemimpin negara Uncle Sam. Tolong menolong menjadi agenda mereka, kalau secara terang-terangan mereka akan dikutuk seluruh dunia, mereka lakukan diam-diam, yang penting ‘I help you, you help me.”
Dulu, ketika kenaikan harga minyak, kita canangkan kepada rakyat ‘ubah gaya hidup’. Nampaknya ini pun macam taktik Yahudi juga yang mengesyorkan orang lain buat tetapi dia tidak buat. Yang banyak terjejas dengan kenaikan harga minyak ini adalah orang berpendapatan rendah bukan orang kaya-raya.
Ini kerana saudagar yang terkesan dengan kenaikan ini, terus saja menaikkan harga barangan keperluan harian dan tambang. Apabila harga beras, tepung, gula, ikan, cili belacan naik, tentulah rakyat kepanasan. Jika dulunya sebuah keluarga lima orang yang makan nasi (beras) sekampit 10 kilogram apakah dengan ubah gaya hidup keluarga ini perlu gunakan lima kilogram beras saja?
Kemudian adakah pemimpin ubah gaya hidup? Nampaknya sama saja, malah lebih teruk lagi. Sesetengah daripada kita dan anak bini kita ‘shopping’ bagai nak gila di kota-kota ternama dunia seperti Dubai, New York, London dan Paris. Malah ada yang bawa duit berkepul-kepul ke Australia sehingga ditangkap.
Kalau kita syorkan rakyat ubah gaya hidup, kita kenalah ubahlah gaya hidup mereka yang ‘masuk’ dalam rancangan Bersamamu TV3. Ubahlah hidup mereka yang hidup dalam pondok senget beratap langit itu kepada rumah yang baik, usah biarkan mereka makan sehari sekali berlaukkan ikan dan kangkung lombong. Ini tidak, kita canang Malaysia adalah negara yang pendapatan rakyatnya antara yang tertinggi di dunia. Tidakkah ini macam Zionis juga? Ehh, malulah kita.
Kemudian masa rakyat berarak, menyatakan bantahan kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dulu, kita ‘balun’ mereka cukup-cukup. Rakyat ini tidak bawa senjata, mereka menyuarakan hak mereka dalam sebuah negara demokrasi, tetapi apa kita buat? Kita ‘tutuh’ mereka dengan gas pemedih mata, kita tak bagi ‘can’ (chance) mereka bersuara. Tidakkah ini lebih Zionis daripada Zionis kerana pemuda Palestin pun bersenjatakan batu sedangkan pemuda-pemudi kita tiada batu dalam genggaman mereka.
Demikian juga orang berhimpun, menyatakan bantahan terhadap penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), meminta dilaksanakan gaji minimum dan pencabulan terhadap amalan demokrasi (pilihan raya), kita ‘bantai’ mereka betul-betul. Kita lanyak mereka ini, kita tak bagi peluang mereka bersuara, kita tak bagi suara mereka masuk ke dalam media massa kita. Dalam media massa, kita paparkan kebaikan kita saja, yang busuk-busuk kita perintahkan budak-budak suruhan kita jangan masukkan.
Tidak cukup dengan itu, kita sekat suara orang pula. Kita kekang media massa mereka. Kita gantung penerbitan mereka, kita rampas akhbar-akhbar mereka. Eh, mereka bukan manusiakah, tidakkah mereka ada hak juga untuk hidup di bumi Allah ini. Tidakkah kita ini macam Zionis, atau lebih Zionis daripada Zionis sendiri?
Kemudian dalam bab judi, kita nak lawan Allah pula. Bukankah Allah sudah kata judi itu haram, kita nak halalkan pula. Ini sudah macam perangai Yahudi, berani ubah ayat-ayat dalam kitab Tuhan. Mungkin Yahudi pun tidak seberani apa yang kita buat, jadi sebelum terlambat iaitu apabila tanah sudah masuk dalam mulut (matilah), marilah kita sama-sama koreksi diri, “Ya Allah, Kau ampunilah aku sebab aku ini mungkin lebih teruk daripada Yahudi rupanya.”
No comments:
Post a Comment