Oleh M Faqih
Umat Islam di negara ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Tuan Guru Datuk Hashim Abu Bakar, 88, kembali ke rahmatullah pada petang 1 Syawal lalu.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Sim terlantar sakit hampir dua tahun lalu merupakan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan mudir Pondok Pasir Tumbuh.
Turut berangkat menunaikan solat di Masjid Pondok Pasir Tumbuh kira-kira jam 6 petang iaitu Sultan dan Tengku Mahkota Kelantan.
Jenazahnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran pondok terbabit.
Setiausaha PPPB, Adam Abdullah berkata, Allahyarham disifatkan sebagai generasi terakhir ulama tersohor dari Malaysia yang pernah mendalami pelbagai kitab di Makkah.
“Sekarang boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ulama yang pernah mendalami ilmu agama di Makkah secara halaqat terus dengan ulama-ulama besar di Masjidilharam.
“Pada pandangan saya boleh dikatakan tiada lagi ulama besar seperti Allahyarham Ayah Sim di negara kita yang pernah menekuni pelbagai ilmu agama di Makkah,” katanya.
Menurutnya ulama yang belajar secara berkitab di Makkah berguru dengan ulama-ulama besar dan mengetahui lebih banyak cabang ilmu.
Setiausaha Pondok Pasir Tumbuh, Sairozi Atiqullah berkata, warga pondok benar-benar merasakan suatu kehilangan besar setelah kembalinya Ayah Sim menghadap Ilahi.
Katanya, Allahyarham satu-satunya pengasas Pondok Pasir Tumbuh yang ada sebelum ini selepas kematian Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar.
“Ayah Sim mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama dua orang iparnya. Dan selepas kedua-duanya meninggal beliau menggantikan tempat sebagai penguasa I atau mudir sehingga sekarang.
”Allahyarham juga dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad sejak 1995,” ujarnya.
Tuan Guru Hashim dilahirkan di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah pada 1923. Mendapat pendidikan di Darul Ulum ad-Diniah, Makkah (1936 – 1939).
Pernah juga belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdullah Merbuk, Sungai Petani; Pondok al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak; Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra dan Pondok Bunut Payong Kota Bharu.
Ayah Sim juga pernah dianugerah Tokoh Hijraturrasul 1428 Hijriah peringkat negeri Kelantan dan mendapat anugerah Datuk Paduka daripada Sultan Kelantan pada 2010.
Beliau meninggalkan lima anak. Isterinya meninggal beberapa tahun lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kehilangan Ayah Sin begitu dirasai rakyat dan kerajaan negeri Kelantan kerana kehebatan ilmu yang ada padanya.
“Sepanjang hayatnya Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai bidang berkaitan permasalahan agama,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment