Oleh Zulkifli Yahaya
SEJAK isu pusat hiburan diperkatakan di Kedah, teringin benar untuk penulis meninjau apa yang sebenarnya terdapat di pusatpusat hiburan. Pihak pembangkang di negeri ini beriyaiya mendedahkan bahawa pusat hiburan yang wujud, tidak sekadar menjalankan operasi seperti apa yang tertera di atas lesen, sebaliknya ‘lebih daripada itu’.
Ibarat jauhari yang mengenal manikam, kaki botol yang mengenal jenis samsu dan pengunjung pusat hiburan yang tahu apa aktiviti di dalamnya.
Bukan mudah rasanya, penulis hendak menjejakkan kaki ke karaoke seorang diri, sekalipun hanya bertujuan untuk meninjau. Macammacam yang perlu difikirkan.
Apabila tiba-tiba Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh berhasrat membuat tinjauan terhadap pusat hiburan untuk melihat sejauh mana Enakmen Hiburan 1997 dilaksanakan; penulis macam orang mengantuk disorong bantal apabila dipelawa untuk turut serta.
Dalam ruang waktu yang terbatas di malam bulan Ramadan tidak semua pusat hiburan di sekitar Bandaraya Alor Setar sempat ‘diziarahi’.
Ternyata tiga darinya telah melanggar peraturan lesen apabila membenarkan Muslim berhibur di dalamnya. Ia adalah pusat karaoke.
Keseluruhan pekerja dan pelanggannya adalah Melayu. Pekerjanya memberitahu, tauke mereka adalah bukan Muslim. Karaoke itu tidak menyajikan minuman keras, hanya kelihatan air gas dan air mineral di atas meja.
Ada yang datang dengan keluarga, tetapi umumnya para pengunjung karaoke terdiri dari anak-anak muda.
Agak merimaskan ialah apabila terdapat pasangan remaja dengan pakaian yang menjolok mata, berpasangan melalak dalam bilik yang boleh dijengah melalui cermin kaca. Umumnya kakaroke tetap menjadi tempat golongan yang rosak akhlak berbanding sebilangan hanya sebilangan kecil yang datang berhibur secara berkeluarga. Sebenarnya lebih banyak pusat hiburan yang bertegas dengan pelanggan Muslim.
Kehadiran kami pada mulanya cuba disekat kerana kata mereka, jika terdapat Muslim lesen akan ditarik oleh kerajaan. Selepas menyedari bahawa kami bukan pengunjung yang datang untuk mencari hiburan, mereka membenarkan.
Apabila ke semua bilik ditinjau, memang betul hanya terdapat pelanggan bukan Muslim yang galak berkaraoke. Terdapat hidangan minuman keras yang sungguh meloyakan.
Phahrolrazi memeriksa hampir setiap bilik. Di sebuah karaoke di Jalan Telok Wanjah, selepas mempastikan semua pengunjung adalah bukan Muslim tiba- tiba tiga lelaki Melayu bergegas keluar dari sebuah bilik karao ke paling hujung.
Terdapat minuman keras dalam gelas yang ditinggalkan. Mungkin bukan gelas mereka tapi milik pengunjung yang sebelumnya.
Dr. Ismail sempat bertanya pengawal keselamatan Muslim jenis mana pulak yang dibenarkan mereka ke situ. Jawabnya, kalau ada muka Melayu atau Muslim di situ mereka adalah dari anggota polis. Penulis berbaik sangka, mungkin kehadiran mereka untuk membuat pemantauan terhadap pelanggan.
Dari karaoke kami bergerak ke lounge yang menyajikan minuman keras dan persembahan hiburan.
Di pintu masuk, pengawal sampai bersumpah-sumpah bahawa tiada Melayu di situ.
Mereka mengajak kami masuk jika tidak percaya. Melangkah saja kaki masuk, rasa bagai nak pecah gegendang telinga. Muzik yang dipasang terlalu kuat. Rasanya orang yang mampu mendengarnya, bukannya dari kalangan manusia yang normal atau mungkin juga bukan manusia. Atau ramai yang berkata bahawa penagih pil ecstasy sahaja yang mampu mendengar muzik sekuat itu. Keadaan di dalamnya cuma samar-samar. Di sana sini terdapat ramai pasangan memadu asrama tapi tiada kelihatan orang Melayu.
Di tingkat atas terdapat banyak bilik karaoke. Penulis tidak berani untuk berada lebih lama di situ memandangkan terdapat ramai perempuan yang kelihatan macam tidak cukup kain. Apa kegiatan mereka sebenarnya?
Sebelum beredar Dr Ismail bertanya pengawal, bagaimana jika di luar bulan puasa. Maksudnya setelah peraturan melarang orang Islam masuk pusat hiburan berakhir. Pengawal menjawab dengan jujur bahawa, ia akan dipenuhi orang Melayu.
Wah, jika tempat seperti ini dihurung oleh anak-anak Melayu, memang hancur Melayu!
Sepanjang lawatan Phahrolrazi lebih berminat melihat status lesen di bulan Ramadan.
Ada yang boleh kemukakan lesen dan terdapat yang tiada lesen. Maknanya kegiatan mereka dilakukan secara haram. Semua ini perlukan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Enakmen hiburan 1997 yang kecoh satu Malaysia sebulan lalu, akan berakhir sebaik sahaja rantai yang mengikat syaitan dibukakan kunci. Hanya segelintir pengusaha yang melanggar syarat.
Phahrolrazi bertegas akan mengarahkan pejabat daerah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan.
Umumnya pelaksanaan Enakmen Hiburan 1997 boleh dianggap berjaya tetapi bagaimana keadaannya selepas Ramadan? Ia akan menghancurkan ge nerasi umat Islam, khususnya golongan muda.
Kesimpulannya, secara jujur banyak perkara lagi yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan segolo ngan umat Islam yang makin hancur syaksiyahnya. Ia perlu dilakukan oleh kerajaan yang memerintah serta semua entiti yang bersamanya. Ia perlu dibantu oleh setiap golongan yang sedar dalam masyarakat.
Kerajaan negeri pimpinan PAS memang tidak pernah dengan sengaja mahu menghancurkan generasi baru Muslim tetapi ia semacam ‘diizinkan’ jika penyelesaian segera tidak dicari hanya kerana kita tidak prihatin untuk ambil tahu perihal dunia yang berada agak luar dari lingkaran kita.
No comments:
Post a Comment