Oleh Mohamed Hanipa Maidin
PAS sering diperli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya sengaja mencipta isu pengundi hantu. Kita tentu masih ingat bagaimana mantan Setiausaha SPR memperli kononnya jika benar pengundi hantu wujud sudah tentu kaki pengundi hantu tidak akan jejak tanah. Boleh dikatakan pendirian rasmi SPR adalah menafikan dakwaan wujudnya pengundi hantu dalam pilihan raya di negara ini.
Fenomena kewujudan pengundi hantu hakikatnya bukan rekaan PAS atau partai pembangkang.
Kewujudan pengundi hantu adalah satu realiti. Kewujudannya disenangi oleh pihak yang mendapat manfaat besar daripada pengundi tersebut.
Secara mudahnya pengundi hantu boleh didifinisikan sebagai pengundi yang tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk mengundi tetapi telah berjaya mengundi di dalam pilihan raya.
Pengundi hantu menjelma dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang paling biasa adalah pengundi yang namanya wujud berbilang kali di dalam daftar pemilih atau pengundi yang memiliki kad pengenalan palsu. Identiti di dalam kad pengenalan palsu tersebut sama dengan identiti pengundi yang sah di dalam daftar pemilih.
Petisyen pilihan raya Dun Likas di Sabah membuktikan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud. Di Likas pempetisyen berjaya membuktikan dua isu yang besar. Isu pertama kewujudan kad pengenalan palsu dalam kuantiti yang besar dan menggerunkan.
Isu kedua adalah kewujudan daftar pemilih yang tidak bersih dan amat-amat meragukan.
Isu nama pengundi yang sama bertindih di dalam daftar pemilih disahkan oleh Mahkamah.
Kesannya Hakim Dato’ Kamil Awang dengan penuh keberanian mengisytiharkan pilihan raya Likas tidak sah dan terbatal. Saya katakan hakim tersebut berani kerana meskipun diarahkan oleh mantan Ketua Hakim Negara supaya beliau membatalkan petisyen Dun Likas, hakim tersebut tetap meneruskan perbicaraan dan membuat keputusan yang mengejutkan negara.
Dalam mana-mana negara yang bertamadun, demokratik dan cintakan pilihan raya yang adil dan bersih, keputusan mahkamah di Likas itu sepatutnya disambut secara positif oleh pihak Kerajaan dan SPR. Negara yang maju dan matang demokrasinya akan membaiki kelemahan sistem pilihan raya jika dihidangkan dengan keputusan Mahkamah di Likas. Di Malaysia bagaimanapun tidak berlaku begitu.
Reaksi Kerajaan BN di atas keputusan Mahkamah di Likas adalah reaksi sakit hati dan dendam. Dendam pada hakim dan mereka yang berani mempersoalkan kebersihan daftar pemilih.
Jika Mahkamah di Likas membenarkan daftar pemilih dibantah di dalam kes petisyen pilihan raya bagi mengeluarkan ‘hantu-hantu’ di dalam daftar pemilih, hal yang sama tidak boleh lagi dilakukan selepas keputusan tersebut.
Selepas keputusan Mahkamah berkait kes pilihan raya Likas, Kerajaan BN meminda undangundang yang berkaitan. Pindaan tersebut boleh dikatakan ‘mesra hantu’ ( phantom’s friendly). Mengapa? Pindaan tersebut melarang mana-mana daftar pemilih yang telah diwartakan untuk dicabar di mahkamah. Pindaan yang benarbenar menggembirakan ‘hantu’ dan ‘bakal-bakal hantu’.
Adakah tidak ada jalan langsung untuk mencabar pengundi hantu di dalam undang-undang pilihan raya yang sedia ada?
Jawapannya ada tetapi undangundang yang ada lebih memihak kepada ‘hantu’.
Undang-undang pilihan raya iaitu Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menggelar pengundi hantu sebagai penyamaran (personation) dan ia dianggap sebagai amalan rasuah. Namun, undang-undang yang sama juga meletakkan beban yang amat berat untuk kita mencabar penyamaran tersebut.
Berdasarkan seksyen 32(c) Akta yang sama, bagi membolehkan sesuatu pilihan raya dibatalkan oleh Mahkamah kerana terdapat penyamaran (pengundi hantu), kita bukan sahaja perlu membuktikan pengundi hantu itu wujud dan berlaku malah perlu membuktikan pengundi hantu itu wujud dengan keizinan calon atau dengan pengetahuan calon - suatu yang hampir mustahil untuk dibuktikan.
Pengalaman pasukan peguam PAS dalam petisyen Dun Pengkalan Pasir, Kelantan adalah satu contoh klasik. Di dalam petisyen Dun tersebut kami berjaya membuktikan kewujudan dua kes penyamaran (pengundi hantu - hantu betina dan hantu jantan).
Yang Arif Hakim Dato’ Hassan Lah juga mengakui hal tersebut.
Namun, kami gagal membatalkan pilihan raya Dun itu kerana tidak dapat membuktikan penyamaran itu berlaku dengan izin calon BN atau dengan pengetahuan beliau.
Jika pengundi hantu itu wujud hasil dari kraftangan agensi-agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mana mungkin pihak yang memfailkan petisyen dapat membuktikan hal tersebut?
Terdapat juga mekanisme lain untuk menghalang pengundi hantu mengundi iaitu Borang 11.
Borang 11 adalah borang yang perlu diisi oleh para pengundi yanb diragui identitinya meskipun nama beliau ada di dalam daftar pemilih.
Sebagai contoh jika A yang semua orang tahu telah mati tetapi namanya masih ada dalam daftar pemilih, beliau masih boleh mengundi jika ada orang yang memegang dan mengguna pakai kad pengenalan palsu beliau. Jika orang yang menyamar sebagai A tersebut datang mengundi, beliau boleh diminta untuk mengisi Borang 11. Jika orang itu benar benar menyamar ia akan pasti enggan mengisi Borang 11 tersebut. Mekanisme ini jika pun boleh mengesan pengundi hantu tetapi prosesnya sangat leceh dan tidak begitu berkesan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan berdasarkan pengalaman, ada juga pegawai SPR iaitu Ketua Tempat Mengundi (KTM) yang tidak tahu kewujudan Borang 11!
Mekanisme paling mudah dan murah untuk mencegah penyamaran atau pengundi hantu sudah tentu pencalitan dakwat di jari para pengundi. Percayalah jika BN atau SPR menentang penggunaan celupan dakwat sudah tentu ada sesuatu pada sistem tersebut yang ‘menghantui’ mereka.
No comments:
Post a Comment