Oleh Hassan
Islam adalah din yang benar atau hak yang menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Orang yang beriman dan mengambilnya sebagai din sentiasa berhadapan dengan cubaan musuh-musuh Islam untuk menyekat dan memperdaya bagi melemahkan pegangan mereka terhadap Islam serta keyakinan terhadap janji-janji Allah di akhirat kelak.
Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya (din) Allah dengan mulut (dakyah) mereka tetapi Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
Usaha memadamkan cahaya Allah telah berlaku di sepanjang sejarah hidup manusia di atas muka bumi sejak nabi dan rasul dahulu kala lagi hingga ke zaman baginda Rasulullah SAW dan zaman khulafa ar-rasyidin. Percubaan itu berterusan hingga sekarang dan din Allah akan terus ditentang hinggalah datang hari kiamat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sebahagian besar ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sungguh ingin seandainya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman kerana timbul rasa hasad dengki dari dalam hati mereka setelah jelas kebenaran kepada mereka.”
Ini adalah penjelasan Allah tentang sikap permusuhan orang kafir terhadap orang Islam, tidak kira apa juga kedudukan mereka sama ada Yahudi, Nasrani dan sebagainya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Kekufuran itu adalah satu millah (agama).”
Seorang bekas Perdana Menteri Britain pernah membuat kenyataan dengan katanya, “Barat sekali-kali tidak akan dapat menguasai timur dan barat sendiri tidak akan aman selagi al-Quran berada di tangan orang-orang Islam.”
Kenyataan yang sama pernah dibuat oleh Pesuruhjaya Perancis di Algeria ketika negara itu di bawah jajahan mereka. Katanya, “Kita tidak akan menang di dalam peperangan menentang orang-orang Algeria selagi mereka membaca al-Quran al-Karim dan bercakap menggunakan bahasa Arab. Oleh itu kita perlu hapuskan al-Quran daripada kehidupan mereka dan bahasa Arab daripada menjadi bahasa mereka.”
Maksud menghapuskan al-Quran daripada kehidupan orang-orang Algeria bukanlah menghapuskan naskhah al-Quran yang mereka baca, sebaliknya menghapuskan roh al-Quran dan amalannya dalam kehidupan mereka.
Dalam satu persidangan di Baitulmaqdis suatu ketika dahulu, seorang ketua gerakan Kristian berpesan kepada pendakwah-pendakwah Kristian dengan katanya, “Peranan kamu bukanlah mengkristiankan orang-orang Islam tetapi mengeluarkan mereka daripada Islam supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah dan tidak berakhlak.”
Kenyataan yang serupa pernah dibuat oleh seorang pemimpin Kristian di Timur yang kemudian diterbitkan oleh sebuah akhbar komunis di Russia. Katanya, “Mustahil komunis boleh berkuasa sebelum Islam dapat diganyang habis-habisan.” Sebagai buktinya lihatlah apa yang telah dilakukan oleh komunis ke atas negara Balkan sekarang ini.
Pertelagahan antara hak dan batil sudah menjadi sunnah kehidupan manusia di alam duniawi ini. Kebatilan dan kekufuran tidak senang dengan kebenaran yang dibawa oleh Islam (din Allah) melalui Rasul-rasul Allah dan berakhir dengan baginda Rasulullah SAW. Firman Allah dalam Surah al-Hijr ayat 39 dan 40 yang bermaksud:
"Iblis berkata: ‘Ya Rabbi, kerana Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menggoda mereka di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas."
Inilah pengakuan Iblis di hadapan Allah SWT. Ia tetap akan menggoda dan menyesatkan manusia di muka bumi ini. Allah SWT memperingatkan kita supaya berjaga-jaga jangan sampai terpengaruh dan cuba mengikut cara hidup orang-orang kafir kerana kelak kita ditimpa kerugian yang besar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 149 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran dan kamu akan kembali rugi.”
Musuh Islam telah menggunakan pelbagai tektik dan cara dalam usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menyerang Islam dan umatnya dengan alat senjata dan askar, serangan pemikiran dan ideologi, serangan akhlak dan kebudayaan.
Semua bentuk serangan itu telah mendatangkan kemenangan kepada mereka. Umat Islam kalah dalam peperangan bersenjata, kalah dalam peperangan pemikiran dan ideologi serta kalah terhadap serangan akhlak dan kebudayaan. Ini terbukti dengan realiti yang berlaku di negara-negara Islam yang diserang dan dijajah sama ada dengan kekuatan tentera, kekuatan ekonomi, kekuatan media elektronik dan seumpamanya.
Cara hidup muda-mudi Islam hari ini mencerminkan orang-orang Islam telah terikut dengan cara hidup musuh-musuh Islam tanpa disedari seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, gaya hidup bermasyarakat dan pemerintahan, persis seperti yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam. Na’uzubillahi min zalik!
Musuh-musuh Islam memang bekerjasama sesama mereka untuk menumpaskan umat Islam dengan pelbagai tektik dan tipu helah secara keras mahupun halus asalkan mereka dapat sampai kepada matlamat mereka iaitu menghancurkan umat Islam dan menyekat mereka daripada memerintah dan memimpin manusia ke arah keredaan Allah SWT.
Oleh itu, kita umat Islam perlu sedar dan berjaga-jaga serta mengambil iktibar daripada pengalaman silam agar tidak terperangkap berkali-kali dalam perangkap musuh. Orang-orang mukmin tidak sepatutnya dipagut dua kali di satu lubang yang sama seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Orang-orang mukmin perlu mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin dan sekaligus menyelamatkan manusia sejagat daripada terus berada di dalam kesesatan di bawah pimpinan jahiliah yang penuh dengan angkara kezaliman di serata pelosok dunia. Sesungguhnya kita melihat umat Islam diburu, dibunuh, dihalau, diperkosa dan menghadapi pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti di Bosnia, Palestin, Kashmir, Somalia, Burma, Sri Lanka dan banyak lagi negara yang orang Islam menjadi minoriti.
No comments:
Post a Comment