PAS sebagai sebuah gerakan Islam tersohor di rantau ini hendaklah bertekad untuk memperkasakan institusi wakaf kerana ia adalah antara benteng akhir yang akan mempertahankan Islam.
PAS hendaklah dilihat bukan sahaja sinonim dengan gerakan politik pilihanraya semasa di dalam negara sepertimana persepsi umum, malah hendaklah dipandang sebagai sebuah gerakan untuk merealisasikan Islam sebagai addeen (the way of life) dalam konteks yang amat luas termasuk pemerintahan negara yang mana sudah tentulah ia berpaksikan kepada ilmu dan iman.
Menyentuh aspek tarbiah secara tidak langsung ia tidak boleh lari dari perkembangan institusi wakaf yang wujud seiring dengan penyebaran Islam sejak zaman awalan hingga kezaman kegemilangan Islam di seluruh dunia dan menjadi denyut nadi Islam itu sendiri.
Demikian resolusi yang dicapai hasil Forum Perdana khas yang diadakan di Ma’ahad Tarbiah Islamiyah (MADI) Kg. Jejawi Dalam, Perlis pada malam 23 julai lalu.
Forum khas tersebut membariskan tiga tokoh pemuda berkaliber iaitu Ustaz Khalil Abdul Hadi Awang, exco pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Izzat Shauki, Timbalan Speaker DUN Kedah sebagai ahli panel dan Saudara Mohd Fallah Azizan, seorang aktivis pemuda sebagai moderator.
Forum Perdana khas itu dilangsungkan sempena pelancaran fasa seterusnya pembelian tanah wakaf yang masih berbaki iaitu seluas dua relung di Perlis untuk dibangunkan menjadi pusat pendidikan MADI.
MADI dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Perhubungan PAS Perlis dan hidup sejak lebih dua dekad lalu hasil sumbangan wakaf ahli-ahli dan penyokong. Kini MADI mempunyai hampir 500 orang penuntut yang sedang mendapat tarbiah iaitu di sebuah sekolah menengah dan dua buah sekolah rendah di sini.
Ternyata institusi wakaf begitu penting kerana ia sangat berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan atau tarbiah seperti mana arahan wahyu pertama yang diturunkan iaitu surah Al’Alaq ayat 1 hingga 4 yang bermaksud “ bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia dengan pena.” PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 oleh para ulamak berkelulusan Timur Tengah memulakan misi penting iaitu menghalau penjajah Barat dan pada masa yang sama mereka yang digelar sebagai pewaris para Nabi ini adalah penyambung risalah kebenaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu dakwah yang berteraskan kepada tarbiah atau pendidikan. Demikian tegas Ustaz Khalil Abdul Hadi Awang.
Musuh Islam iaitu kuasa barat terutama Amerika Syarikat yang didalangi Yahudi amat fobia dengan sistem pendidikan Islam yang dibiaya oleh institusi wakaf ini seperti di Afghanistan dan Pakistan dengan melebel penuntut-penuntutnya sebagai pengganas.
Tidak terkecuali di Malaysia juga pemerintah mempunyai pandangan serong terhadap sekolah-sekolah agama rakyat. Bantuan telah ditarik balik dan baru-baru ini tawaran diberi kepada sekolah-sekolah ini dengan pelbagai insentif guru dan pembangunan sekolah tetapi dengan syarat-syarat yang mengongkong sekolah tersebut terutama aspek kurikulumnya.
Justeru wujud sistem pendidkan Islam yang dikawal oleh pemerintah terutama yang menjadi boneka barat seperti menghadkan pengajian Al-Quran. Contohnya tidak boleh mengajar ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh kaum Yahudi, tambah Ustaz Khalil lagi.
Namun kerenah pihak pemerintah itu tidak sedikitpun mematahkan semangat pencinta dan pejuang Islam. Di Malaysia institusi wakaf terus tumbuh dan berkembang dipelopori oleh organisasi besar seperti PAS sendiri atau secara individu.
Universiti Al-Azhar di Mesir adalah lambang bagaimana sebuah institusi pendidikan Islam boleh wujud dan beroperasi beratus tahun hanya bersumberkan wakaf dan infak. Universiti Al-Azhar menjadi aset penting umat Islam. Dikatakan kekayaan dan keberkatan Univeresiti Al-Azhar sehingga kerajaan Mesir berhutang dengan universiti tersebut.
Ustaz Ahmad Izzat Shauki pula di dalam mambahaskan isu ini menyeru seluruh pendokong Islam terutama di dalam PAS agar melipatgandakan amalan berinfak dan berwakaf terutama di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini yang mana setiap amalan kebaikan itu akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah s.w.t.
Beliau memuji seluruh ahli dan penyokong PAS yang istiqamah di dalam perjuangan Islam di saat kerajaan Umno-BN tidak membantu sekolah-sekolah agama rakyat tajaan PAS namun madrasah-madrasah tersebut terus hidup subur kerana rahmat dan berkat dari Allah s.w.t hasil dari amalan infak dan wakaf pendokong dan pencinta Islam yang wujud di seluruh negara.
Jika ahli dan pendokong PAS langsung tidak loket untuk menyumbang duit untuk pilihanraya agar PAS menang begitu juga diharapkan agar infak dan wakaf untuk pendidikan seharusnya digandakan kerana inilah benteng akhir yang akan mempertahankan Islam.
Tidak lain dan tidak bukan, tambah Ustaz Ahmad lagi, Baginda Nabi Muhammad s.a.w. adalah pelopor institusi wakaf ini apabila terbinanya masjid Quba dan Masjid Madinah. Masjid Quba adalah masjid pertama umat Islam dan Masjid Nabawi di Madinah terbina apabila Nabi s.a.w. membeli sekeping tanah bernilai 100 dirham dan mewakafkannya untuk didirikan masjid.
Maka berkembanglah masjid Nabawi dengan limpah rahmat dan keberkatan dari Allah s.w.t. sepertimana yang dapat kita saksikan pada hari ini.
Begitu juga amat banyak contoh-contoh lain bagaimana pengorbanan para sahabat yang menginfakkan harta mereka untuk Islam, seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menginfakkan seluruh hartanya. Apabila ditanya oleh sahabat lain apakah yang ditinggal, beliau menjawab “Cukup yang ditinggalnya Allah dan Rasul”.
Contoh pengorbanan para sahabat ini adalah kerana mereka amat yakin dengan balasan pahala dan ganjaran yang akan diberikan oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak.
Tegas Ustaz Ahmad lagi di dalam Al-Quran diceritakan keutamaan dan kelebihan berinfak sebanyak 60 kali. Salah satu kisahnya diceritakan bagaimana orang yang berinfak, satu amalan infaknya umpama satu biji benih yang akan menghasilkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu menghasilkan pula 700 biji buah.
Antara ciri manusia yang bertakwa ialah ringan untuk berinfak dan bersedekah. Nabi s.a.w. ada bersabda “tidak berkurang harta bagi orang-orang yang bersedekah atau berinfak kerana malaikat sentiasa berdoa untuk digantikan dan ditambah rezeki orang-orang yang berinfak.
Hadith lain pula menyatakan “apabila mati anak Adam, tiada apa yang dibawanya kecuali doa anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan harta yang diinfak atau disedekahkan (termasuk berwakaf).” Justeru beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar mengurus harta sebagaimana disarankan di dalam Islam iaitu sepertiga untuk kegunaan sendiri, sepertiga untuk modal dan sepertiga lagi diinfakkan untuk Islam.”
Kini di Perlis bukan sahaja MADI (Tel: 04-9761836) yang giat melaksanakan amalan berwakaf malah wujud satu lagi institusi iaitu MATIN (Maahad Tahfiz Al-Quran Imam An-Nawawi – Tel: 019-5157255) yang diasaskan oleh Ustaz Yusaini Yahya, seorang tokoh pendakwah yang tidak asing lagi di Perlis.
MATIN kini mempunyai sebuah masjid dan sebuah komplek pentadbiran dan asrama yang mengisi hampir seratus pelajarnya serta mempunyai lapan orang guru. Sekarang di dalam kempen untuk menjual baki tanah seluas 7,900 kaki persegi lagi untuk diwakafkan sebagai tapak pembesaran masjid dan bangunan sampingan lain yang akan di bina dengan harga RM10 sekaki persegi.
Kini umat Islam di Perlis beruntung kerana dapat melaksanakan perintah agama dengan berwakaf dan berinfak di institusi-institusi tersebut.
Dengan adanya peluang-peluang tersebut juga dapat membebaskan umat Islam Perlis dari terperangkap dengan dendangan segolongan di Perlis yang dikatakan melaksanakan sunnah. Mereka melabel kebanyakan amalan yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam sebagai bidaah, sebaliknya tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan Islam sebaliknya bersekongkol pula dengan golongan yang menegak mungkar.
Forum Perdana Khas sempena perlancaran tanah wakaf MADI itu berjaya menarik lebih kurang 700 hadirin yang memenuhi Balai Islam MADI dan sebanyak 600 kaki persegi tanah wakaf yang berharga RM10 sekaki berjaya dijual.
Kehadiran jemaah juga berbaloi kerana mereka terpaksa menghabiskan kenduri dua ekor lembu yang disumbangkan oleh Madrasah tersebut.
No comments:
Post a Comment