Sunday, August 21, 2011

Mengapa Mais, Jais tinggalkan beban kepada Sultan?

Oleh Mohd Rashidi Hassan rashidi

Timbul persoalan di kalangan rakyat, adakah Sultan Selangor sudah disembah maklum, bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan membuat serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), 3 Ogos lepas, kerana terdapat unsur-unsur memurtadkan orang Islam?

Apakah pihak istana sudah dimaklumkan secara terperinci dan mengetahui sejelas-jelasnya apa motif serbuan dibuat ke atas DUMC dan apakah Sultan sudah dinasihatkan mengenai kesan ataupun implikasi yang akan tercetus daripada tindakan Jais ini?

Jika pemakluman sudah diketahui istana, jika nasihat sudah diberikan kepada Sultan, maka bolehlah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato' Mohd Adzib Isa, melepaskan beban ini kepada istana.

Adzib dilaporkan dengan tegas, mengatakan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas DUMC, secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu, terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

"Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

"Jais adalah badan bebas, tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran," katanya.

Kenyataan Adzib ini, dibalas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang menegaskan, tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Beliau yang juga Adun Meru berkata, tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Tegas Dr Abdul Rani, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor tidak tepat.

"Dalam Islam yang kita tidak boleh pertikaikan adalah al-Quran dan sunah, itu tidak boleh pertikai, satu ayat pun kita tidak boleh pertikai, kalau kita pertikai akidah kita boleh terjejas.

"Jadi dalam isu Jais ini, kita tidak pertikaikan pun cuma kita nak dengar penjelasan. Apa salahnya? Islam adalah agama hujah, hujah atas fakta dan dalam isu ini kita bukan pertikai tapi mahukan penjelasan," katanya.

Justeru Abdul Rani menasihatkan Adzib dengan mengatakan, "Kalau boleh selesaikan di (peringkat) bawah, tidak perlu dibawa ke Sultan Selangor."

Ada beberapa perkara yang harus diteliti daripada kenyataan Adzib dan tindakan Jais. Pertamanya Adzib memperakui, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak ada kena mengena dengan serbuan Jais ke atas DUMC.

Oleh itu usaha-usaha jahat media talibarut Umno dan NGO upahan untuk menyalahkan PAS mahupun kerajaan negeri tidak seharus berlaku. Jais bertindak sendirian.

Implikasi kedua ialah, terdedahkan sikap segelintir penguasa di Mais dan Jais yang tidak menghormati dan tidak mengiktiraf peranan kerajaan yang dipilih secara sah dalam Pilihan Raya Umum 2008. Sikap sebegini tidak harus diterima dan mereka yang terbabit dalam tindakan membelakangi kerajaan negeri harus dihukum.

Ketiga, apa yang dikatakan Adzib, jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Selangor dan demokrasi. Kita diperintah menggunakan sistem Raja Berpelembagaan. Iaitu, kuasa bernaung di bawah Raja, manakala kuasa eksekutif di bawah kerajaan negeri. Kita tidak diperintah secara absolute monarchy. Maka, oleh kerana kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan yang berkhidmat di Selangor, adalah di bawah kerajaan pusat, maka secara tidak langsung, mereka boleh digerakkan untuk mensabotaj kerajaan negeri. Dan oleh kerana Umno-BN yang menguasai pegawai, maka apakah tidak mungkin Umno tidak mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat. Kalau Umno yang jahat, jangan sesekali 'dibinkan' kepada Sultan.

Implikasi keempat, jika benar Sultan sudah disembah maklum, sama ada menerusi Jais atau Mais, maka apakah tidak mungkin Sultan diberikan nasihat secara salah atau secara sebelah pihak sahaja?

Jika ini berlaku, pada hemat saya, ianya bercanggah dengan titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Shah Alam baru-baru ini, yang mahu pihak istana mendapat nasihat yang seadil-adilnya sebelum membuat sesuatu keputusan. Ini kata baginda adalah untuk memelihara kesucian institusi Raja. Masalah yang timbul di sini ialah, jika Adzib atau dahulu bekas Pengarah Jais, Dato' Muhammad Khusrin Munawi yang menjadi penasihat Sultan, kesejahteraan negeri dan rakyat akan sentiasa tergugat.

Ini kerana, sudah banyak bukti dan rungutan rakyat, bahawa kedua-duanya menunjukkan kecenderungan yang jelas, iaitu memihak kepada Umno-BN dalam banyak event di Selangor. Banyak kenyataan dan tindakan kedua-duanya sebelum ini, bertentangan dengan kerajaan negeri. Jangan sesekali mereka sangka bahawa rakyat boleh menerima keadaan ini.

Persoalan kelima yang hendak dibangkitkan ialah, apakah dengan serbuan Jais ini, gejala murtad dapat dibendung? Atau sejauhmanakah keberkesanan pihak berkuasa agama di Selangor membendung gejala riddah dan kemaksiatan? Harus diingat bahawa mantan Mutfi Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom menjadi mangsa pihak yang rakus, kerana mempertahankan kesucian Islam dalam isu The Ship. Dosa-dosa mereka terhadap Almarhum akan dibalas Allah.

Peranan Jais dalam hal agama terlalu banyak dipertikaikan. Jais bukannya menjaga akidah umat Islam, sebaliknya mereka memelihara 'akidah' Umno. Jais merobohkan surau kerana mendakwa surau dikuasai PAS, Jais menyerbu kuliah-kuliah agama pemimpin PAS, atas alasan mereka tidak diberi tauliah di Selangor.

Sebelum ini Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Muryidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din, merupakan antara individu, yang sering menerima ancaman akan ditangkap atau dikenakan tindakan. Surat amaran Jais yang ditandatangani Khusrin melarang Ustaz Hadi kuliah di surau, masih ada dalam simpanan saya sebagai bukti.

Timbul pertanyaan, mengapa hari ini Ustaz Nik Aziz, Ustaz Hadi dan lain-lain ada kalanya tidak dihalang daripada menyampaikan kuliah? Sebabnya, ada sebahagian tempat yang mereka pergi, jemaahnya, penduduknya bersifat rasional, Umno totok dah pupus. Jais hanya akan bertindak apabila pencacai Umno di kariah tertentu menghubungi pemimpin Umno dan arahan itu dikeluarkan melalui pihak tertentu kepada pegawai Jais. Maka kelamkabutlah pengawai Jais menghubungi Nazir Masjid dan Pengerusi surau untuk menghalang kuliah diadakan.

Alasannya utama larangan Jais, pertamanya, kerana penceramah tidak mempunyai tauliah. Kedua, masjid dan surau bukan tempat berpolitik. Jika berpolitik, ia melanggar arahan Sultan kata mereka. Dalam isu tauliah, sehingga kini tiada pemimpin PAS yang didakwa di mahkamah kerana berpolitik di masjid dan surau. Pengawai-pegawai Jais harus sedar, ulama-ulama seperti Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi, sebelum kebanyakan pegawai tersebut dilahirkan lagi, sudah mengajar agama di merata ceruk negara. Sila buktikan, pada masa mana, ajaran yang mereka sampaikan kepada umum, bercanggah dengan Islam?

Ulama-ulama ini tidak perlu diinterbiu untuk diberikan tauliah, malah merekalah yang layak menginterbiu penguasa-penguasa Jais sama ada kelulusan dan kefahaman mereka, cukup untuk menjadi penguatkuasa agama.

Dalam soal berpolitik di masjid. Persoalannya, adakah Umno-BN tidak pernah menggunakan masjid untuk pentas politik? Siap buat bacaan yassin dan solat hajat lagi untuk memenangkan calon BN yang beragama Hindu di Hulu Selangor. Mana penguasa Jais? Mengapa diamkan hal ini? Apakah masjid untuk pentas politik Umno-BN dibolehkan dan tidak melanggar arahan Sultan? Ok, jika hal ini dikaitkan dengan titah Sultan, ulama manakah yang memberikan nasihat yang salah kepada Sultan, bahawa Islam melarang berpolitik di masjid? Sila tunjukkan pada ayat mana, prinsip mana yang jelas melarang berpolitik di masjid?

Pada saya, jika dalam menjaga soal agama Islam pun Jais berpihak dan mentadbir secara tunggang-langgang, bagaimana hendak diharap Jais menjaga akidah orang Islam?

Persepsi rakyat terhadap Jais ini disimpulkan secara mudah oleh seorang peniaga daging di Machang kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa. Tatkala peniaga daging itu terlihat laporan Utusan Malaysia mengenai serbuan Jais ke atas DUMC, beliau secara spontan berkata, "Buat apa hendak percaya Utusan? Jais pun tak boleh percaya kerana dia Umno."

No comments:

Post a Comment

Kezaliman belum berakhir hulurkan bantuan anda terima kasih !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KAMPUNG MASJID

KAMPUNG TELUK DALAM

KAMPUNG TELUK KECIL

peringatan PRU 13

DOA MINTA TURUN BALA

“ Bismillahirahmanirahim. Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami Hamba Mu yang lemah memohon belas ehsan dan kasihan Mu. Kami tidak berdaya untuk menghadapi fitnah wang sebegini besar. Maka, kami berserah kembali kepada kekuasan Mu Ya Allah setelah habis daya dan kederat kami telah digunakan.Maka, kami memohon, Ya Allah, turunkan Bala yang diterima oleh Kaum Nabi Nuh dan Kaum Nabi Hud ke atas semua yang terlibat dalam usaha pembelian wakil-wakil rakyat serta pimpinan PKR tidak kira siapa mereka itu.


Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Menggerakkan Awan, Yang mengalahkan bala tentera Al Ahzab. Hancurkan mereka. Menangkan kami ke atas mereka. Jadikanlah wang mereka sebagai bala ke atas mereka supaya mereka sedar bahawa Kau lebih Berkuasa dari wang mereka.

AMIN”
" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran regim UMNO dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.