Tuesday, June 14, 2011

Bersatu menentang ketidakadilan dan kepincangan

Oleh: Ghazali Mayudin

Salah satu aspek penting dalam sistem demokrasi ialah peluang untuk rakyat membuat pilihan mengikut kehendak masing-masing untuk kepentingan diri dan masyarakat. Mereka bebas untuk memilih sama ada hendak aktif dalam politik atau tidak, hendak menjadi ahli parti politik atau tidak, bebas memilih parti mana yang hendak disokong, ideologi yang diyakini dan hendak diperjuangkan, serta bebas memilih mana-mana calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Seiring dengan itu, rakyat juga bebas menyatakan pendapat dan pendirian tentang sebarang isu selagi tidak melanggar undang-undang dan tatasusila yang diterimapakai dalam masyarakat. Adalah tidak wajar mana-mana pihak memaksa, apatah lagi dengan kekerasan, pihak lain untuk menerima pendiriannya tentang sesuatu isu. Sekiranya ada sesuatu isu yang hendak diperjuangkan dan mahu diterima ramai, maka langkah yang perlu diambil ialah menjelaskan, menghujahkan dan merasionalkan sehingga meyakinkan orang ramai untuk mengubah pendirian daripada menentang kepada menyokong isu yang diperjuangkan.

Sekiranya masih tidak mendapat sokongan, maka pendirian pihak yang tidak menyokong itu hendaklah dihormati dan diterima dengan dada yang lapang. Tidaklah pula mereka dikutuk, difitnah dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

Oleh itu sistem demokrasi sewajarnya tumbuh subur dalam kerencaman kehendak dan kepentingan, kepelbagaian ideologi dan perjuangan serta perbezaan pendapat dan pendirian. Namun sistem itu boleh kekal stabil dan berkembang selagi warganya menghayati sikap saling hormat menghormati pendirian dan keyakinan politik orang lain. Sebagaimana ungkapan yang dikaitkan dengan Voltaire, ahli falsafah Perancis, “I may not agree with what you say, but I will defend to the death your right to say it” (Terjemahan: Saya mungkin tidak bersetuju dengan apa yang anda katakan, tetapi saya sanggup mati mempertahankan hak anda untuk mengatakannya).

Oleh yang demikian adalah dijangka dan lumrah dalam sistem demokrasi wujud kepelbagaian bukannya keseragaman dan perbezaan pendapat bukannya persetujuan membuta tuli.

Sehubungan ini, agak janggal bunyinya seruan yang sering dilaung-laungkan agar rakyat bersatu, apatah lagi kalau bersatu yang dimaksudkan itu ialah menyokong parti politik tertentu dan meninggalkan parti lain yang menjadi saingan utamanya. Ada pula yang menuduh kewujudan parti atau gabungan parti lain menjadi punca perpecahan dalam masyarakat. Sementara yang lain pula menuduh pihak yang tidak menyokong itu sebagai pengkhianat.

Perpaduan disamaertikan dengan sokongan terhadap satu parti tertentu dan rakyat mengiyakan sahaja pendapat dan kehendak pemimpin yang berkuasa. Memang ada negara yang rakyatnya seolah-olah menyokong satu parti tertentu sahaja dan kehendak pemimpin sentiasa dianggukkan, tetapi sistem yang diamalkan itu tidak dianggap sebagai demokratik tetapi dikenal sebagai totalitarian, misalnya sistem yang wujud di Jerman semasa Hitler berkuasa sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua.

Walau bagaimanapun dalam konteks negara ini menjelang pilihan raya ke-13, seluruh rakyat, khususnya pengundi tanpa mengira keturunan, perlu digerakkan dan diseru agar bersatu demi masa depan negara dan kesejahteraan warganya. Bukannya bersatu dalam parti serta keyakinan dan ideologi politik tertentu sahaja sebagaimana yang sering dilaungkan, tetapi bersatu menegakkan keadilan, bersatu memperbetulkan kepincangan, bersatu menjatuhkan pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa, bersatu menyingkirkan wakil rakyat yang tidak komited terhadap tugas dan peranannya serta tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.

Rakyat perlu bersatu mempertahankan yang hak dan menentang yang batil. Bersatu untuk menubuhkan kerajaan yang berusaha dengan kata-kata dan tindakan untuk menangani kepincangan dalam masyarakat, khususnya yang berkaitan dengan masalah sosial dan ketidakadilan ekonomi.

Bersatu dan berani untuk mengubah status quo dan menukar kerajaan jika perlu, apatah lagi sekiranya pertukaran itu membuka ruang kearah kebaikan dan kesejahteraan. Kerajaan yang baru pula akan diadili oleh rakyat dan bebas membuat pilihan sama ada menggantinya dengan yang lain atau mengekalkannya sekiranya prestasi kerajaan tersebut memuaskan hati rakyat. Pertukaran demi pertukaran yang berasaskan kepada kebebasan memilih dalam sistem demokrasi dan penilaian prestasi oleh rakyat akan menghasilkan kesan yang positif kerana pihak yang berkuasa sedar bahawa mereka akan disingkirkan rakyat kalau menyalahgunakan kuasa dan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentinan umum.

Rakyat yang menyokong dan menjadi ahli parti politik mana sekalipun, perlu bersatu untuk mencapai matlamat di atas. Oleh itu penyatuan matlamat ini lebih penting dan berkesan daripada bersatu menyokong parti tertentu. Sekiranya ahli parti politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, memilih pemimpin yang berkebolehan dan jujur, maka terdapat kemungkinan besar pemimpin kerajaan di peringkat negeri dan pusat juga berintegriti dan bertanggungjawab. Ini kerana sebahagian besar pemimpin kerajaan, kalaupun tidak kesemuanya, adalah pemimpin parti politik yang dipilih ahli dalam mesyuarat atau perhimpunan agung parti berkenaan.

Oleh itu dalam konteks sistem demokrasi dan perubahan yang diperjuangkan, maka adalah lebih realistik sekiranya perpaduan dan persatuan difokuskan kepada pencapaian matlamat di atas, bukannya kepada sokongan padu tetapi kosong dan tidak bermakna kepada parti atau organisasi tertentu. Seruan agar bersatu di bawah parti tertentu bukan sahaja bertentangan dengan prinsip kepelbagaian dan kebebasan memilih dalam sistem demokrasi tetapi juga meremehkan kebolehan dan kemampuan rakyat sendiri.

Penulis adalah mantan Profesor Madya,
Program Sains Politik, UKM.

No comments:

Post a Comment

Kezaliman belum berakhir hulurkan bantuan anda terima kasih !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KAMPUNG MASJID

KAMPUNG TELUK DALAM

KAMPUNG TELUK KECIL

peringatan PRU 13

DOA MINTA TURUN BALA

“ Bismillahirahmanirahim. Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami Hamba Mu yang lemah memohon belas ehsan dan kasihan Mu. Kami tidak berdaya untuk menghadapi fitnah wang sebegini besar. Maka, kami berserah kembali kepada kekuasan Mu Ya Allah setelah habis daya dan kederat kami telah digunakan.Maka, kami memohon, Ya Allah, turunkan Bala yang diterima oleh Kaum Nabi Nuh dan Kaum Nabi Hud ke atas semua yang terlibat dalam usaha pembelian wakil-wakil rakyat serta pimpinan PKR tidak kira siapa mereka itu.


Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Menggerakkan Awan, Yang mengalahkan bala tentera Al Ahzab. Hancurkan mereka. Menangkan kami ke atas mereka. Jadikanlah wang mereka sebagai bala ke atas mereka supaya mereka sedar bahawa Kau lebih Berkuasa dari wang mereka.

AMIN”
" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran regim UMNO dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.