Oleh Jebat Sarawak
Pembubaran DUN Sarawak sudahpun ditetapkan oleh Taib Mahmud pada Isnin, 21 Mac 2011. Maka berkobar-kobarlah segala jentera BN dan PR untuk mengukuhkan kuasa di DUN Sarawak. BN menjanjikan kesinambungan kekuatan. Manakala PR pula melaungkan perubahan pilihan rakyat.
Biasalah dalam sesuatu pertandingan masing-masing melaungkan keyakinan untuk menang. Dalam sistem demokrasi negara kita pastinya kelebihan itu akan berpihak kepada kerajaan pemerintah ( BN ) melainkan rakyat sendiri yang bijak membuat percaturan.
Justeru itulah kita lihat beberapa perubahan pemerintahan di 4 buah negeri kepada PR dalam PRU 12 adalah kerana pilihan sebulat hati oleh rakyat negeri-negeri tersebut.
Sarawak yang dikatakan simpanan tetap BN selama ini akan membuktikan kebenaran dalam pilihanraya yang ke 10 nanti. Betul atau tidak segala-galanya bergantung kepada kemampuan pihak PR untuk mendapatkan undi rakyat. Pilihanraya Sarawak juga merupakan penanda aras kepada kemampuan PR untuk menggenggam Putrajaya dalam PRU 13 akan datang. Begitulah pentingya pilihanraya Sarawak kali ini.
Dalam merangka strategi untuk mengoncang kuasa Taib Mahmud di Sarawak dan menawan puncak Putrajaya nanti seharusnya pihak PR perlu meroboh benteng paling kukuh kubu BN di Sarawak.
PR sebenarnya tahu akan benteng kukuh BN ini tetapi sengaja untuk membiarkan benteng itu terus kukuh. Demi mencapai jkemenangan dalam pilihanraya Sarawak nanti benteng ini harus dirobohkan oleh pihak PR. Mesti ! Jika kemenangan menjadi impian akhir PR.
Ketika ini tiuplah sekuat mana semangat perjuangan PR. Buatlah seberapa banyak program bertemu dengan rakyat. Sediakanlah segala bantuan untuk berkempen di Sarawak. Nescaya segala-galanya hanya dipandang sebelah mata oleh BN. Ini kerana BN masih berdiri kukuh di belakang benteng yang menjaga mereka.
Sejujurnya sebelum berjuang berhabis-habisan di bumi Sarawak, pihak pimpinan PR perlu terlebih dahulu membuat langkah pertama berhadapan dengan pihak SPR. Senario peranan SPR dalam pilihanraya selepas Tsunami PRU 12 yang lalu sedikit sebanyak telah berubah. SPR boleh menggugat kemaraan dan peluang untuk PR menang dalam sesuatu pilihanraya.
Perkara ini bukanlah baru tetapi ia sengaja diredah oleh pihak PR dengan semangat laungan perubahan. Akhirnya perjuangan dan laungan PR hanya menempuh tembok keras kubu BN, terkulai layu bersama kekalahan yang dihalalkan. Pihak BN tersenyum megah melihat kelalaian PR dalam merebut kuasa di tangan BN.
Ibarat sepertimana tentera Quraisy menganyang tentera Islam dalam perang Uhud zaman Rasulullah dahulu. Di akhir perjuangan PR maka BN yang menikmati erti kemenangan. Dan pihak PR pula terus berputih mata. Entah sampai bila strategi PR berhadapan dengan BN ini akan terus diyakini oleh pimpinan PR ?
Pihak SPR sebenarnya memegang kunci kekuatan BN dan mampu menyekat segala senjata yang pihak PR bawakan dalam perjuangan. SPR adalah mesin penyelamat BN yang tidak mampu disentuh oleh PR dalam sesuatu pilihanraya. Sedangkan SPR merupakan merupakan mesin pembekal kuasa kepada BN.
Di Sarawak pihak PR perlu memastikan bahawa tempoh berkempen dalam PRN itu nanti bersesuaian dengan keluasan negeri Sarawak. Maka sewajarnya pihak PR memohon masa yang mencukupi untuk tempoh berkempen. Jika sekiranya tempoh itu tidak bersesuaian dengan keupayaan PR maka pihak PR bijak-bijaklah membuat perancangan.
Peraturan baru yang akan digunakan oleh SPR kali ini harus diselidiki dan difahami oleh pihak PR. Perkara ini harus disedari oleh PR kerana sebelum ini iaitu selepas BN tumbang di Sibu pihak BN telah mengerahkan segala jentera pilihanrayanya di seluruh negeri untuk mengikuti kursus yang dikendalikan oleh pihak SPR sendiri.
Bukan sesuatu yang pelik dalam kursus ini didedahkan segala kepincangan pengurusan BN dan kekuatan kempen PR di Sibu. Dalam masa yang sama juga dinyatakan bagaimana jentera BN boleh melemahkan jentera pilihanraya PR. Segala kekuatan pihak PR didedahkan oleh pihak SPR supaya pihak BN mengemaskini kelemahan yang ada. Apakah dalam pilihanraya nanti segala tunjukajar oleh pihak SPR ini tidak memberi kelebihan kepada pihak BN ? Sedangkan di pihak PR sendiri akses kepada maklumat SPR terlalu sempit.
Selain penggunaan pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan BN, penggunaan undi pos juga semuanya milik penuh pihak SPR. Elemen-elemen ini seumpama belum bertempur di medan perang, BN sudah menang. Cuma pihak BN perlu menambahkan sedikit kekuatan bagi mengurangkan kekuatan PR. Bila kekuatan PR kurang maka semestinya pihak BN akan menang. SPR pun tersenyum megah dan suksess dalam melaksanakan tugasnya berkhidmat untuk BN dengan jayanya.
Sebagai sebuah badan yang akan berjuang menentang BN dan mengharapkan kemenangan dalam pilihanraya Sarawak nanti seharusnya pihak PR lebih arif untuk berhadapan dengan pihak SPR ini. Percayalah jika pihak PR mampu memeriksa dan melonggarkan kekuatan BN melalui SPR ini pastinya kebangkitan rakyat akan lebih nyata untuk mengangkat PR sebagai penganti BN.
Jika pihak PR gagal dalam usaha meroboh kekuatan SPR maka usahlah bermimpi untuk menumbangkan BN di Sarawak malah menawan Putrajaya pun tak payah nak fikir. Mengharapkan perubahan rakyat semata-mata dengan segala isu untuk menumbangkan BN adalah seumpama pejuang yang hanya memalukan diri sahaja. Rasa-rasanya jentera BN melalui media elektronik dan bercetak sudah cukup untuk mengaburi pemikiran rakyat. Belum lagi disebut soal permit ceramah.
Apalah ertinya sebuah perjuangan dan impian mencapai kemenangan jika kita sendiri memilih untuk ditewaskan di medan perjuangan. Rakyat negara kita sebenarnya sudah sekian lama diasuh dan diajar supaya tunduk kepada kerajaan pemerintah meskipun sekarang ini kebijaksanaan rakyat dengan kemajuan teknologi boleh mengubah pemikiran rakyat.
Namun perubahan itu bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh rakyat sekiranya sistem SPR itu tidak diubah oleh PR sebagai pemimpin perubahan rakyat. Kali ini biarlah langkah pertyama PR mampu membawa seribu harapan kemenangan perjuangan suara rakyat.
No comments:
Post a Comment