Tuesday, December 14, 2010

Bila Perlembagaan tidak diisi

Oleh Dr Abdul Aziz Bari

Salah satu sebab mengapa minggu lalu saya mengatakan isu Timbalan Perdana Menteri (TPM) Cina tidak penting ialah kerana soal-soal yang dikaitkan dengan jawatan itu, khususnya hidup mati Islam dan Melayu, bukan bidang kuasa orang politik; sebaliknya peranan dan kerja raja-raja, baik secara peribadi yakni melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja, mahupun atas kapasiti kolektif mereka di bawah Majlis Raja-Raja. Oleh itu sama ada kerajaan dipegang orang Melayu atau tidak, perkara-perkara itu tidak akan terjejas.

Sebenarnya raja-raja diberi kuasa penting; bukan sahaja melindungi peruntukan perlembagaan yang berkenaan, tetapi juga memantau pelaksanaan sebagaimana diperuntukkan Perkara 38(5) dalam soal kedudukan istimewa Melayu yang dikandung oleh Perkara 153.

Tetapi itu semua tidak menjadi kenyataan dan raja-raja dianggap simbol dan lambang sahaja. Ini tidak salah. Tapi dalam soal-soal yang disebut tadi raja-raja bukan sekadar lambang.

Sebab itu perkara-perkara tadi tidak boleh dipinda tanpa perkenan raja-raja sebagaimana disebut perlembagaan di bawah Perkara 159(5).

Malangnya orang politik, baik UMNO atau Pas, tidak melihatnya begitu. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya. Sebab itu Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Harun Taib contohnya dilaporkan menyebut, orang Cina yang hendak dilantik TPM perlu masuk Islam dan berakhlak mulia.

Mungkin mereka kata begitu kerana bimbang UMNO akan memutarbelitkan kenyataan mereka.

Apa pun kelmarin Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu TPM akan diselesaikan mengikut kerangka Perlembagaan.

Tentang UMNO pula kita semua maklum, setelah kecundang di lima negeri dalam PRU 2008, dengan tiba-tiba begitu prihatin kepada kedudukan raja-raja, Islam dan Melayu.

Sebelum itu UMNO berasa merekalah segala-galanya. Raja atau Perlembagaan tidak penting. UMNO mendakwa tanpa mereka Melayu akan ha­n­yut sedangkan syarat MB Melayu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melayu itu adalah ketetapan Perlembagaan. Ertinya sama ada UMNO wujud atau tidak Melayu tetap di situ.

Kita masih ingat bagaimana pentadbiran Mahathir menghina raja-raja. Saya telah beberapa kali menyebut betapa seorang bekas menteri besar UMNO dengan bangganya mengatakan kedudukan istimewa Melayu itu ialah kerana UMNO, bukan Perlembagaan.

Kekeliruan peranan dan kuasa timbul kerana Perlembagaan tidak diisi dan dilaksanakan.
Saya telah beberapa kali menyebut Perlembagaan ini adalah manual atau buku panduan yang perlu dibaca mereka yang memerintah negara. Begitu juga bagi yang bercita-cita hendak berbuat demikian.

Meskipun ia bukan sebuah dokumen sakral dan suci sifatnya ia satu-satunya dokumen yang mengikat kita semua. Memang kita tidak puas hati atau selesa dengan semua peruntukannya. Tetapi inilah satu-satunya dokumen yang kebanyakan kita kenal dan faham.

Saya juga sudah menyatakan sekiranya hukum Islam hendak dilaksanakan pun Perlembagaan tidak menghalangnya. Apa yang penting ialah rakyat menerima dan menyokong hukum itu, memahami dan mengisi Perlembagaan.

Perlu ingat, kita hendak memerintah atau melaksanakan Islam di Malaysia bukan di Mesir, Arab Saudi atau memerintah United Kingdom atau India.

Dalam kerangka Perlembagaan sekarang yang meneruskan peranan khalifah ialah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja. Bukan Perdana Menteri, menteri besar atau ketua menteri.

Saya tahu ada yang ragu dengan pandangan ini, tetapi mengapa kita boleh menerima Kesultanan Uthmaniah yang runtuh pada 1924 itu sebagai khalifah yang terakhir?
Umumnya kualiti pemimpin mereka lebih kurang sama saja dengan apa yang kita ada sekarang.

Dalam isu TPM ini pemimpin Pas, khususnya yang berusia dan enggan memahami Perlembagaan, jelas membuang masa dan membelakangkan slogan Pas untuk semua yang parti itu uar-uarkan selama ini.

Sebab itu ada yang membuat jenaka; sebelum pilihan raya mereka kata “Pas untuk semua”. Tetapi selepas menang tindak-tanduk mereka memberi isyarat, “semua untuk Pas”.

Dalam isu TPM ini mereka belum tentu menang pun. Seorang penulis Cina berpendapat, dalam isu TPM ini pendirian Pas sama sahaja dengan Perkasa, NGO Melayu yang banyak membuat kerja politik UMNO.

Isu TPM ialah isu Perlembagaan. Sebab itu kita perlu menanganinya melalui peruntukan dan lenggok Perlembagaan. Kalau kita bawa perspektif lain kita akan jadi keliru.

** Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun

No comments:

Post a Comment

Kezaliman belum berakhir hulurkan bantuan anda terima kasih !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KAMPUNG MASJID

KAMPUNG TELUK DALAM

KAMPUNG TELUK KECIL

peringatan PRU 13

DOA MINTA TURUN BALA

“ Bismillahirahmanirahim. Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami Hamba Mu yang lemah memohon belas ehsan dan kasihan Mu. Kami tidak berdaya untuk menghadapi fitnah wang sebegini besar. Maka, kami berserah kembali kepada kekuasan Mu Ya Allah setelah habis daya dan kederat kami telah digunakan.Maka, kami memohon, Ya Allah, turunkan Bala yang diterima oleh Kaum Nabi Nuh dan Kaum Nabi Hud ke atas semua yang terlibat dalam usaha pembelian wakil-wakil rakyat serta pimpinan PKR tidak kira siapa mereka itu.


Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Menggerakkan Awan, Yang mengalahkan bala tentera Al Ahzab. Hancurkan mereka. Menangkan kami ke atas mereka. Jadikanlah wang mereka sebagai bala ke atas mereka supaya mereka sedar bahawa Kau lebih Berkuasa dari wang mereka.

AMIN”
" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran regim UMNO dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.