Projek Dana PAS Pangkor... Jom infaq !
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya bahawa jika Umno tidak menjadikan Islam sebagai landasan penyatuan Umno-PAS, maka selagi itulah orang Melayu tak akan bersatu. Beliau juga menolak dakwaan kononnya beliau menjadi 'penghalang' utama kepada penyatuan Umno-PAS di negara ini. Sebaliknya menegaskan ketetapan itu adalah keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh dan Shah Alam. Jika Umno menerima dasar Islam, beliau mengingatkan PAS bukan lagi keseorangan sebaliknya ada rakan akrab DAP dan PKR yang patut diberi perhatian. Ikuti wawancara wartawan INTAN ABDULLAH bersama beliau di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada pendapat Tok Guru, apa hubungan antara Melayu dan bangsa-bangsa lain dalam konteks penyatuan Umno-PAS seperti yang dicanangkan?
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: Seorang manusia yang bergerak dalam Islam, secara automatik dia bergerak untuk menyatukan orang Melayu dan orang Cina, India. Bukan kerana hendak menyatukan orang Melayu semata-mata. Ini orang yang menerima Islam. Kita bela orang Melayu sehinggalah ke sekarang ini. Ia menjadi asas dan tapak bagi orang Islam di Malaysia.
Sebab itu secara automatik orang yang bergerak atas nama Islam, dia menjaga Melayu dan manusia yang berbangsa lain juga. Oleh yang demikian tidak timbul masalah hendak bersatu dengan Umno. Ini kerana Umno, dia tolak Islam secara jelas, dengan niat atau dengan sengaja. Jadi, bila kami orang PAS yang membela Islam... lepas itu berkawan dengan orang yang tidak membela Islam, kita hendak buat macam mana?
Maknanya Umno kena kembali kepada dasar Islam?
Itu usul yang paling baik bagi orang Umno. Mereka kena pujuk pemimpin mereka (Umno) agar menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam. Maka tidak perlu lagi timbul masalah satukan PAS dengan Umno kerana secara automatik ia akan jadi satu. Jadi persoalan sekarang adalah kenapa Umno tidak mahu jadikan Islam sebagai asas perjuangan? Sedangkan Islam ini datangnya daripada langit melalui Nabi Muhammad SAW. Ini yang orang tidak boleh faham. Sebab itu sejak akhir-akhir ini, tengah dia (Umno) kalut hendak bela Islam, dia halalkan judi bola secara terang-terangan. Semakin hari semakin nampak tembelangnya, bagaimana untuk PAS hendak bersama dengan Umno?
Jika Umno ubah dasarnya menjadi Islam apa sikap PAS pula?
Secara automatik dia (Umno) jadi bersatu dengan Melayu, cuma satu lagi Umno kena ingat PAS sekarang bukan bersendirian kerana kita bersama dengan Pakatan Rakyat iaitu PKR dan DAP. Jadi, jika bersama dengan Umno kalau mereka ubah dasar, maka kena bawa sama (semua parti dalam Pakatan Rakyat). Dia (Umno) tiada sebab tidak boleh terima DAP, kerana semuanya adalah manusia belaka. DAP adalah orang Cina tapi manusia juga. Kenapa (kalau) MCA Umno boleh terima, inikan pula dengan DAP...
Ada yang menganggap Tok Guru menjadi penghalang kepada usaha perpaduan menyatukan Melayu ini? Apa reaksi Tok Guru?
Tidak betul (pandangan itu). Itu adalah keputusan parti. Untuk itu, saya ini adalah antara orang yang memberikan dalil, semangat dan dakwah kepada penyokong PAS. Saya hanyalah antara individu yang memberikan sokongan, tetapi bukan saya. Ini adalah keputusan parti. Selama dua tahun berturut-turut ianya diputuskan dalam Muktamar Tahunan PAS di Ipoh Perak dan di Shah Alam, Selangor. Bukan keputusan saya. Keputusan jamaah.
Tok Guru setuju jika pilihan raya umum dibuat awal di peringkat Kerajaan Negeri berasingan dengan Kerajaan Pusat?
Tidak setuju kerana bila kita buat awal, Umno di negeri-negeri lain akan berkumpul, datang berkampung di negeri yang diadakan pilihan raya. Ini sangat merbahaya. Ini kerja yang tiada strategi dan taktik yang tidak betul.
Pakatan Rakyat ada menuntut dalam pilihan raya umum akan datang SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam pengundian?
Ini isu teknikal cumanya saya setuju begini. Contohnya di luar negeri seperti di India. Saya tinggal di sana sewaktu belajar dan sempat mengundi dengan menggunakan dakwat sebagai tanda. Dakwat yang dia tandakan di tangan kita memang sukar untuk ditanggalkan. Pada masa itulah kita diberi masa untuk mengundi. Saya setuju untuk buat sebarang usaha agar tidak berlaku pengundian berulang atau mengundi dua kali. Ia adalah kaedah untuk elak daripada hal ini berlaku.
Berdasarkan 'mood' rakyat sekarang, Tok Guru apakah parti yang jadi perhatian sejak pelbagai isu yang menekan rakyat makin menjadi-jadi...
Kalau rakyat Kelantan memanglah (sokong PAS). Itu telah jelas daripada negeri Kelantan diperintah Umno. Sehinggalah PRU 1990 menyaksikan PAS jadi parti pilihan rakyat. Sehingga sekarang PAS masih mentadbir (Kelantan) walaupun Umno (menggunakan) bermacam-macam tindakan, diskriminasi, tekanan untuk berkuasa semula. Pagi tadi saya berada di Jerantut, nampak dengan jelas orang Cina dan India yang mengikuti majlis bersama saya. Yang tak datang, saya tidak tahulah bagaimana. Memang orang sangat-sangat menginginkan Pakatan Rakyat. Dan mereka berasa bangga mengenakan baju yang mempunyai lambang PAS tanpa mengira bangsa apapun. Begitu juga ada yang memakai lencana yang mempunyai gambar saya dan Ustaz Hadi dengan bebas. Mereka berasa bangga. Dia pun (Umno) kempen, kita pun kempen.
Tok Guru berpuas hati dengan prestasi negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat setakat ini?
Saya tak berapa suka masuk (campur) dalam perkara-perkara teknikal seperti ini. Ini kerana saya pegang dasar. Masalah yang timbul di Selangor atau Pulau Pinang, itu saya serahkan kepada pentadbiran mereka.
Ada yang menyatakan tarbiyah dalam PAS sudah semakin longgar. Apa komen Tok Guru sebagai Mursyidul Am PAS?
Tarbiyah dalaman PAS saya selalu pesan, apabila kita ceramah tidak perlu banyak menyebut tentang isu (tetapi) kena sebut tentang asas Islam. Kalau sebut tentang masalah ekonomi sekarang, sebut ekonomi yang ada sekarang ini bercanggah dengan Islam. Dengan ribanya, rasuahnya, tirisnya. Ini kita panggil dalam Islam sebagai maksiat atau derhaka kepada Allah. Derhaka ini bila kita buat dosa maka ia umpama memanggil bala turun. Misalnya kalau di Kelantan, kita panggil ianya sebagai sita. Malam-malam orang panggil ianya sebagai sita, burung sita itu akan turun. Bila kita buat maksiat ibarat kita memanggil bala turun. Banyak ayat al-Quran yang menyebut - bizanbihim; bila Allah SWT sebut; "Aku turunkan bala, bizanbihim - kerana dosa mereka."
Bila manusia buat dosa, mahu atau tidak, ibarat kita bawak bala Tuhan turun. Sebab itu antara takrif bagi tamadun ialah 'amanu wattaqaw' iaitu bila kita beriman kepada Allah dan hari akhirat dan takwa terus-menerus dalam semua bidang, maka Allah akan buka berkat dari semua sumber, bukan daripada bumi sahaja. Tetapi bumi dan langit. Bermacam-macam berkat, antaranya ialah berkat berasa bersaudara hidup, tidak kira kaum Melayu, Cina atau India terasa persaudaraannya. Ini berkat yang payah diperolehi. Orang tidak berasa seronok, hendak mencuri, rasuah kerana kita didik manusia ini dengan takwa kepada Allah. Bukan didik dengan mewah, dicanangkan kebendaan itu ukuran negara maju. Tidak. Negara maju bukan begitu.
Pada kebiasaannya, kita hanya bersiap sedia dan fokus kepada Ramadan dan jarang memikirkan persiapan untuk memasukinya... sedangkan Ramadan diumpamakan sebuah madrasah atau universiti. Apa persiapan umat Islam masuk ke universiti Ramadan ini?
Mula-mula sekali, saya lebih suka menggunakan istilah 'bulan Ramadan' berbanding 'bulan puasa' kerana bulan puasa ini adalah terlalu sempit. Bila kita puasa maka semacam kita telah berpuas hati dengannya kerana kita telah melaksanakan puasa. Ini kerana bulan itu dikatakan bulan puasa. Sebaliknya, bulan Ramadan bukan sekadar melaksanakan satu perkara sahaja iaitu puasa. Terlalu banyak pintu langit terbuka dalam bulan Ramadan untuk kesejahteraan dan ketenangan kita, menambahkan pahala kita, membuang dosa-dosa kita, mendapat ketenangan Allah. Cara-caranya telah disebutkan dalam hadis. Sebab itu Ramadan sebagai 'syahrus-siyam', bulan sabar, bulan tilawah quran, bulan istighfar, bulan doa, terlalu banyak nama yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada bulan Ramadan menunjukan fungsinya yang terlalu luas. Dengan sebab itu kita jangan sebutkannya sebagai bulan puasa. Sebut bulan Ramadan kerana itu memberi impak yang baik.
Saya sebut juga, kalau orang Kelantan sebut 'ciduruh' tetapi sebutan yang betul adalah tadarus yang bermaksud bergilir membaca. Ertinya kita ambil sebuah al-Quran dan duduk bertiga (atau lebih) A baca, B,C, D dengar untuk dua muka surat panjangnya. Mereka yang mendengar itu akan meneliti bacaan A manakala kalau ada kesilapan akan ditegur. Maka ini akan membuatkan kita membaca al-Quran dalam keadaan yang betul. Kemudian selesai giliran A, diikuti teman-teman yang lain pula. Akhir sekali, tiap-tiap tahun kita baca al-Quran dengan lebih bertambah baik kerana apabila kita salah, kawan akan tegur. Begitu juga sebaliknya. Itu peringkat pertama. Peringkat kedua, kita ambil orang-orang yang boleh baca al-Quran yang mengetahui maknanya. Kita baca sehelai, kemudian isi kandungan yang dibaca itu dikupas, kepada yang mengerti maknanya mereka akan mendengar untuk ditambah yang menyebabkan ilmu al-Quran yang ada pada kita akan semakin bertambah. Itulah yang dipanggil tadarus bukan qiraatul quran.
Tadarus Nabi Muhamad SAW...
Nabi kita Muhammad SAW tadarus dengan Jibril sehingga khatam sekali setiap tahun. Akhir tahun semasa Rasulullah SAW hendak wafat itu, baginda dua kali khatam. Kalau boleh, sekarang ini ramai orang yang menjadi hafiz al-Quran (mereka yang hafaz al-Quran) lebih baik jika imam yang mengendalikan solat tarawih dalam Ramadan orang yang hafiz. Zaman baca muqadam telah berlalu.
Bila Ramadan datang, kebiasaannya ramai yang pergi umrah. Apa komen Tok Guru?
Setiap tahun kita pergi dan ianya memang bagus kerana kita akan memperolehi pahala. Tetapi apa kata kalau kita menggunakan duit itu dengan menyumbangkannya ke dalam tabung masjid qariah kita. Pada kebiasaannya juga, setiap kali bulan Ramadan, ramai yang mengambil kesempatan mengerjakan umrah (untuk beberapa kali) ke Mekah yang mungkin akan menghabiskan kira-kira RM 10,000. Jadi kita ambil wang itu letak dalam tabung, untuk kegunaan masjid qariah kita. Jika 10 orang yang hendak ke Mekah, bermakna RM 100 ribu dapat dikumpul. Cubalah sekali pada tahun ini. Mana-mana yang berniat umrah ke sana, cuba gunakan wang tersebut untuk sumbangan ke tabung. Boleh bagi gaji imam, siyak, pembangunan masjid lebih mudah, tidak perlu hanya sekadar bergantung kepada kutipan derma
No comments:
Post a Comment