KUALA LUMPUR: Pindaan kecil terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, seperti diumumkan Perdana Menteri pada 16 September lalu, disifatkan tidak membawa sebarang makna terhadap kebebasan akhbar di negara ini.
Dato' Seri Najib Razak mengumumkan penghapusan prinsip pembaharuan tahunan permit penerbitan, yang digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, selain mengisytiharkan Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan terus.
Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Ahmad Lutfi Othman berkata, walaupun perubahan kecil itu dialu-alukan, namun isu pembaharuan tahunan permit bukanlah perkara pokok yang dituntut pengamal media selama ini.
"Isu pokok adalah keperluan memperolehi permit sebelum mana-mana penerbitan boleh dikeluarkan. Dan lebih penting, bagaimana permohonan permit itu diproses, yang selama ini berjalan secara tidak telus," tambah Ahmad Lutfi, yang berpengalaman luas memperjuangkan kebebasan akhbar sejak 15 tahun lalu.
Beliau yang juga Ketua Pengarang Harakah berkata, kuasa Menteri Dalam Negeri untuk meluluskan atau menolak permohonan permit begitu luas dan tidak terbatas. Menteri juga, ujarnya, menurut Seksyen 6 AMCP, boleh pada bila-bila masa membatalkan atau menggantung permit, tanpa perlu memberi sebarang alasan.
"Lebih teruk lagi, seperti diperuntukkan Seksyen 13A, apa-apa keputusan menteri untuk menolak permohonan atau membatalkan atau menggantung permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan," Ahmad Lutfi membacakan peruntukan AMCP, yang disifatkannya sebagai cukup tidak demokratik.
Begitu juga dengan Seksyen 13B, ujarnya, yang menegaskan bahawa tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan lesen atau permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan lesen atau permit.
"Semua seksyen yang saya sebutkan itu langsung tidak disentuh. Sedangkan bagi apa yang KAMI perjuangkan selama ini adalah pemansuhan terus AMCP, bukan pindaan-pindaan kecil yang tidak membawa sebarang makna," tegas Ahmad Lutfi, yang pernah menghadapi tindakan pengharaman KDN ke atas beberapa penerbitan yang dikendalikannya, seperti majalah Detik dan Wasilah.
Beliau turut menceritakan pengalamannya berurusan dengan KDN: "Sejak 22 tahun lalu saya sudah memohon puluhan permit penerbitan, akhbar dan majalah, tetapi semuanya ditolak mentah-mentah. Saya langsung tidak pernah dipanggil KDN untuk ditemuduga berkaitan permohonan saya itu."
"Pemansuhan ISA menunjukkan bahawa pengamal media yang mahukan kebebasan akhbar dan bercita-cita melihat AMCP dimansuhkan harus lebih giat mendesak kerajaan. Yang pasti, hanya dengan demonstrasi besar-besaran seperti perarakan raksasa PPMSI, Bersih dan ISA sahaja membuatkan pemerintah bersedia mendengar suara rakyat," tambah Ahmad Lutfi.
No comments:
Post a Comment