Oleh Lim Hong Siang
Apa tidaknya, apabila rakyat menahan bedilan gas pemedih mata untuk menuntut agar dakwat kekal digunakan ke atas hujung jari pengundi dalam pilihan raya umum, akhirnya kita hampir pitam dibuatnya apabila mendapati dakwat kekal digunakan untuk memadamkan laporan dalam majalah antarabangsa, The Economist.
Dan apabila Najib Razak tunduk untuk berjabat tangan dengan Queen Elizabeth II yang berpakaian kuning di Britain - apakah beliau tidak berasa segan terhadap penahanan enam orang di bawah Ordinan Darurat - penahanan tanpa perbicaraan yang tidak kurang zalimnya berbanding zaman penjajahan British?
Lebih-lebih lagi apabila Najib Razak menyambut ketibaan Perdana Menteri China - negara komunis terbesar di dunia - Wen Jiabao pada akhir April 2011 dengan seribu satu senyuman yang mampu diukir bibirnya yang kemerahan itu, dua bulan kemudian kerajaannya pula menuduh aktivis Parti Sosialis Malaysia cuba "menghidupkan semula fahaman komunisme", dan "memerangi Yang di-Pertuan Agong" - dengan senjata berupa helaian baju T-shirt gambar Che Guevara sebagai bahan buktinya.
Jauh dari "munafik"
Cuba kita renungi apa yang memedihkan di sebalik jenaka yang tidak masuk akal ini. "Munafik" mungkin istilah politik yang terkeluar menembusi celah gigi kita. Apabila wajahnya berbunga untuk menyambut pimpinan tertinggi komunis, lidahnya pula berduri untuk menikam bayang "komunisme" yang dilabelkan pada pesaing politiknya dalam negara. Apabila tangannya bersalaman dengan bekas penjajah, kakinya pula menerajang rakyat yang kini dijajah oleh diri-sendirinya.
Persoalan ini sebenarnya lebih jauh daripada "talam dua muka" - jauh daripada soal imej, diplomatik, politiking dan sebagainya. Ia berkisar kepada jiwa, semangat, malah roh ketamadunan sesebuah negara. Dan nilai ini sebenarnya yang menentukan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa - sama ada negara kecil sebegini disanjungi atau sebaliknya di mata dunia.
Biar kita merenungi beberapa persoalan berikut. Apakah tujuan ketua kerajaan sesebuah negara mengadakan lawatan rasmi ke luar negeri, selain jalinan kerjasama untuk kepentingan ekonomi? Pemimpin negara melangkah ke luar negeri untuk membawa negara kita ke pentas dunia. Kita mahu memastikan bahawa negara kita berada dalam landasan litar antarabangsa. Kita bersaing mengangkat martabat bangsa, mendukung nilai-nilai sejagat - supaya rakyat kita bukan sahaja "berharga", tetapi "bernilai".
Seterusnya, apa pula tujuan kita untuk menyambut lawatan rasmi ketua kerajaan dari luar negeri, selain mengintai pelaburan yang bakal dibawa bersamanya? Kita membuka tangan kita, menampilkan keistimewaan budaya kita, meraihkan kepelbagaian kita, berkongsi nilai pegangan kita, membuktikan kepada seluruh dunia - bahawa setiap umat manusia yang berpijak pada tanahair ini - hidup sebagai manusia yang maruahnya dijunjung!
Dan ini menjadi asas kehormatan seseorang pimpinan tertinggi kerajaan. Seseorang PM hanya disanjungi apabila maruah rakyatnya dipertahankan. Seseorang PM hanya dihormati apabila hak asasi rakyatnya terjamin. Seseorang PM hanya dikagumi apabila nilai ketamadunan negaranya dijulang setinggi-tingginya.
Ia bukan retorik "menjaga kepentingan awam", yang langsung tidak memberi makna apabila hak rakyat untuk menarik nafas udara segar dirampas ketika mengamalkan kebebasannya untuk berhimpun. Ia bukan alasan "kalau polis bertindak salah pun kerana kepentingan negara" - untuk menghalalkan kezaliman menerajang rakyat yang digari dengan elastik plastik.
Bohong untuk menutup kezaliman
Apa yang terpampang di depan mata kita lebih pedih daripada kesan gas pemedih. Pembohongan terang-terang daripada Menteri untuk menutup kezaliman polis. Dipersalahkan angin, ditafsir sebagai masalah "sudut" - ketika dua orang pimpinan tertinggi MCA membela kezaliman polis untuk melepaskan gas pemedih ke dalam perkarangan hospital.
Maka kesalahan yang bermula dengan tindakan yang tidak profesional daripada polis, kini melahirkan satu lagi kesalahan "tergadainya kredibiliti kerajaan". Lebih kelakar, apabila Najib Razak mengandaikan rakyatnya tahu bahawa stadium Shah Alam sebenarnya yang ingin ditawarkan kerajaan kepada BERSIH 2.0, apabila beliau membuat tawaran "mana-mana stadium untuk berteriak dari siang sampai malam..."
Najib seharusnya sedar, bahawa dolak-dalik sedemikian yang menghakis kredibiliti diri, dan kerajaannya. Natijahnya tiada yang yakin dengan sebarang tindak tanduk kerajaan. Tiada yang yakin dengan keputusan laporan Suruhanjaya Diraja siasatan kematian Teoh Beng Hock. Tiada yang yakin dengan sistem biometrik yang bakal diperkenalkan dalam pilihan raya. Maka setiap penafian kerajaan akan dianggap sebagai kebenaran; setiap kenyataan akan dianggap pembohongan.
Kerajaan yang hilang kredibiliti meskipun kekal perintah dengan sistem pilihan raya yang tempang dan pincang, akan berdepan dengan kerumitan untuk menawan hati rakyat. Sebab itu apabila komen "Diam larrrr..." ditinggalkan pada Facebook Najib, ia sebenarnya jenaka yang amat memedihkan.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia
No comments:
Post a Comment