Oleh Wan Nik Wan Yusof
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib (mStar online, 15 Ogos 2011) mengenai penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk pembaharuan pilihan raya adalah wajar dilihat secara kritis. Ia mungkin reaksi positif akibat perhimpunan Bersih 2.0 yang dicop haram. Jika benar begitu, maka reaksi itu sebenarnya berasaskan premis haram di sisi Barisan Nasional, tetapi tetap bersih di sisi Pakatan Rakyat.
Namun, sebuah portal online (The Malaysian Insider, 17 Ogos 2011) melaporkan tiga hari selepas mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan keputusan itu dibuat ialah untuk “memuaskan” pihak-pihak yang mempertikaikan proses pilihan raya.
Tulus dalam ego
Apa pun, kenyataan Mohd Najib pada majlis berbuka puasa di Pangsapuri Seri Perantau, Kapar itu masih boleh disifatkan sebagai kesan positif hasil perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Terutama apabila mengaitkan hujah Mohd Najib untuk melihat semula proses pilihan raya dengan nilai demokratik, iaitu melaksanakan perubahan untuk memperbaiki sistem dan mahu sesiapa yang memerintah negara ini dipilih mengikuti kehendak sebenar rakyat.
Sekaligus, apa-apa nilai rosak atau buruk sistem demokrasi di negara ini sudah dapat dilihat oleh Mohd Najib sendiri. Jika tidak, masakan sebuah kerajaan yang ego seperti Barisan Nasional boleh melayan tuntutan Bersih 2.0. Meskipun di sebalik layanan itu, Mohd Najib ada berkata, “kami tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan mereka.” Satu kata-kata bernada tulus tetapi dalam makna ego.
Lebih awal daripada itu, iaitu sebaik sahaja Mohd Najib mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (pada 15 Ogos), seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah (The Malaysian Insider, 16 Ogos 2011) telah memberi pandangan terbuka mengenai keperluan pembaharuan sistem pilihan raya. Beliau menganggap ia sebagai permulaan kepada langkah berdialog dan konsultatif mengenai isu-isu melibatkan rakyat.
Saifuddin adalah antara pemimpin pelapis Umno yang dilihat selalu bertindak hampir senada dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat di dalam banyak isu melibatkan kepentingan rakyat. Ia membuktikan perjuangan demokrasi Pakatan Rakyat berlaku atas landasan betul.
Sebelum ini, Saifuddin juga selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi turut memberi pandangan betapa parti-parti politik perlu mengambil pendekatan terbuka dan progresif yang sesuai dengan perkembangan semasa. Pada Sabtu lalu (13 Ogos) pula, beliau telah mencadangkan agar kerajaan menggubal satu undang-undang baru bagi membolehkan rakyat turut serta dalam membuat keputusan terutamanya yang melibatkan isu-isu besar dan teras negara. Maknanya, keputusan rakyat perlu diambil kira termasuk melakukan referendum untuk mendapatkan keyakinan mereka. Justeru Saifuddin juga menyokong pelaksanaan sistem pendaftaran pemilih automatik, selain bersetuju kelayakan umur berhak mengundi ditetapkan 18 tahun yang awal-awal ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hakikatnya, kematangan demokrasi Saifuddin seiring dengan perjuangan Pakatan Rakyat. Suatu kematangan yang tidak ada pada SPR dan lain-lain pemimpin Umno yang ego.
Berish 2.0 dan pembaharuan demokrasi
Melihat semula kepada asakan dan tuntutan Bersih 2.0 atas lapan nilai demokratik pilihan raya Malaysia, maka apa yang sebenarnya akan menjadi tumpuan Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang dipersetujui Mohd Najib? Apakah kesemua isu atas lapan tuntutan itu akan diterima? Mungkinkah jawatankuasa itu akan meraikan tuntutan ke arah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, massa kempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor?
Meskipun di sebalik lapan tuntutan itu, kedapatan lagi beberapa teras demokrasi yang tidak dituntut, dan sewajarnya diambil perhatian demi penambahbaikan amalan demokrasi Malaysia. Antaranya, perlu diamalkan pembiayaan semua parti politik oleh kerajaan, mengadakan peraruran pemberian wang oleh proksi-proksi kepada calon bertanding, menerima umur layak mengundi pada 18 tahun dan menukar sistem pilihan dari first-past-the-post kepada proportional representation yang lebih rapat mewakili kepentingan rakyat.
Apa pun, keegoan kerajaan Barisan Nasional tidak mungkin mengusulkan kesemua nilai-nilai penambahabaikan demokrasi membabitkan teras demokrasi tersebut. Jika Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib sedia melakukan, maka Malaysia bakal mendapat sebuah kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13!
Fakta tersirat
Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz (Bernama, 17 Ogos) mengumumkan jawatankuasa terpilih mengandungi sembilan anggota, iaitu lima daripada Barisan Nasional, tiga Pakatan Rakyat dan satu Bebas, maka pasti ada fakta tersirat. Ditambah lagi, usul penubuhan jawatankuasa itu akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober nanti.
Sementelah pula, jemaah menteri Barisan Nasional semacam berpolitik dalam mengakui rasionaliti tuntutan Bersih 2.0. Meskipun, di sebalik penubuhan jawatankuasa terpilih itu, sebenarnya merupakan tindakan balas ‘damage control’ yang terpaksa diambil bagi mengekang kejatuhan nilai saham kepimpinan Mohd Najib yang makin menjunam.
Natijahnya, jemaah menteri dilaporkan turut mengkaji pelbagai aspek proses pilihan raya termasuk isu biometrik yang mula dipertikai banyak pihak, penggunaan dakwat kekal yang pernah ditolak oleh perdana menteri sebelum ini dan peraturan penamaan calon yang selalu berdepan dengan kuasa polis dan suasana hiruk pikuk penyokong parti.
Sebagaimana menurut Mohd Nazri, "jawatankuasa itu juga akan diberi tanggungjawab membincangkan mengenai 'advance voting' untuk mereka yang tidak dapat mengundi pada hari pengundian dan juga mengenai peraturan membenarkan pengundi berdaftar untuk mengundi walaupun berada di luar negara."
Bagaimana pun, Mohd Nazri secara tidak langsung mendedahkan format modus operandi jawatankuasa itu yang melibatkan jelajah dan sesi perjumpaan umum mendapatkan pandangan orang ramai. Fakta ini semacam mendedahkan tempoh penyediaan maklumat bagi melengkap laporan jawatankuasa terpilih bakal mengambil masa yang panjang.
Justeru itu, tiada jaminan laporan itu akan siap sebelum pilihan raya umum akan datang. Walaupun dikatakan jawatankuasa itu boleh menyediakan laporan lebih awal daripada tahun 2013 (akhir penggal pilihan raya ke-12). Namun tempoh penguatkuasaan dan proses menerima pakai adalah sesuatu yang belum pasti.
Kecelaruan sistem pilihan raya
Selain lapan tuntutan Bersih 2.0 yang mengabsahkan fakta kecelaruan demokrasi dan sistem pilihan raya yang diuruskan oleh SPR, turut menghangat dan memeningkan demokrat Malaysia adalah tindakan salah pihak ‘aparatus’ kerajaan Barisan Nasional membabit konspirasi projek pengundi kalangan pendatang asing dan pemastautin tetap. Ia telah didedahkan secara terbuka oleh Pakatan Rakyat dan media arus perdana. Bukti paling seni ialah bagaimana individu bertaraf pemastautin tetap, Mismah boleh mendapatkan status kerakyatan, kemudian mendaftar sebagai pemilih secara kopi segera. Ia berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja (Haraklahdaily & Malaysiakini, 2 Ogos 2011).
Bagi menyelesaikan isu pendaftaran pemilih kalangan pendatang asing atau pemegang permastautin tetap, satu persidangan khas Parlimen telah dicadangkan oleh Pakatan Rakyat (Harakahdaily, 8 Ogos 2011). Namun cadangan baik itu, telah ditolak oleh jemaah menteri Barisan Nasional pada Rabu (17 Ogos) lalu. Apakah isu ini akan dijadikan asas penyelesaian yang telus menerusi Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai pilihan raya nanti? Isu kad pengenalan, pemastatutin tetap dan pemilih kopi segera adalah melibatkan maruah negara dan maruah rakyat. Jika benar ia suatu konspirasi dan suatu kecelaruan yang pastinya kerajaan Barisan Nasional harus dipersalahkan!
Jawatankuasa Terpilih untuk PRU-13?
Berdasarkan format modus operandi Jawatankuasa Terpilih Parlimen itu, adalah mustahil keputusannya nanti bakal menjadi titik penambahbaikan untuk pilihan raya umum ke-13. Amat tidak tepat untuk mendakwa keputusannya nanti bakal terlaksana dalam pilihan raya umum terdekat atau jauh sama sekali dipakai pilihan raya yang diuar-uarkan pada November nanti. Ini kerana peringkat ‘pemaklumatan’ jawatankuasa terpilih itu pasti mengambil masa panjang. Paling tidak setahun.
Jika diteliti kepada kerangka masa yang normal, pada Oktober nanti akan diusulkan di parlimen, diikuti dengan pelaksanaan pungutan maklum balas paling awal pada November. Jika diteliti kepada jumlah orang ramai yang menjadi sasaran mendapat maklum balas, maka sudah ada ratusan ribu peserta Bersih 2.0 yang berminat. Belum mengambil kira jumlah NGO yang bernaung di bawah Bersih 2.0 sahaja sudah melebihi 60 buah. Tidak mungkin ditinggalkan oleh pihak Barisan Nasional ialah orang ramai yang menjadi ekor kepada Patriot, pimpinan Khairy Jamaluddin dan Perkasa, berketuakan Datuk Ibrahim Ali.
Kemudian, satu siri meneliti setiap maklum balas diikuti dengan penyediaan laporan oleh satu pakar bebas yang pastinya tidak mungkin disiap dalam tempoh Mac 2012. Maka paling awal, sidang parlimen pada Jun 2012 nanti bakal dibentang hasil laporan jawatankuasa terpilih tersebut. Selepas Oktober 2012 dijangka baru siap. Itu pun belum mengambil kira musim-musim peristiwa besar seperti Belanjawan Negara yang dijangka akan melengahkan lagi tumpuan ahli jawatankuasa terpilih menyiapkan kerja.
Rasionalnya suatu laporan lengkap sesebuah jawatankuasa pasti mengambil masa sesingkatnya setahun. Maka pilihan raya umum ke-13 bakal mengguna pakai proses dan peraturan pilihan raya lapuk. Sekaligus, taraf jawatankuasa terpilih yang diumumkan Mohd Najib adalah sekadar pemanis kata, pemancing undi dan bertujuan meredakan asakan serta persepsi buruk rakyat terhadap egoistik Barisan Nasional.
Natijahnya, rakyat bakal tertipu dan Barisan Nasional terus berkuasa berlapikkan sistem pilihan raya yang sarat dengan ruang manipulasi yang menghalalkan penipuan. Maka rakyat akan terus terhibur dengan nyanyian dondang sayang yang disolokan oleh Mohd Najib. Apa yang pasti, lirik lagunya adalah yang klasik, terus dicorongkan ke telinga rakyat. Ia hanya memesrakan pendengar berdondang sayang dengan Barisan Nasional, tidak Pakatan Rakyat!
Akhirnya Barisan Nasional terus bertakhta hasil penipuan pilihan raya. Rakyat bakal terus dimeranakan oleh kerakusan si-penguasa.
No comments:
Post a Comment