KOTA BHARU: Seorang saudara kita, Muhammad Riduan Abdullah, 42, berharap mendapat bantuan umat Islam bagi menyelamatkan aqidah dua anaknya yang kini tinggal bersama bekas isterinya, Indra Gandhi a/p Mutho, 36, di Ipoh.
Dua anaknya iaitu Umu Salamah, 14 dan Abu Bakar, 13 diislamkan sejak 11 Mac 2009, namun kini tinggal bersama bekas isterinya setelah mendapat hak penjagaan daripada Mahkamah Tinggi Ipoh pada 24 April 2009.Manakala anak bongsunya Umu Habibah, 3 tahun berada di jagaan Muhammad Riduan, kini tinggal di Kota Bharu.
Sedangkan menurut Muhammad Riduan beliau terlebih dahulu mendapat hak penjagaan terhadap ketiga-tiga anaknya seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 3 April 2009.
“Apa yang saya pertikaikan sekarang mengapa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh tidak diguna pakai Mahkamah Tinggi Sivil sehingga membuat keputusan berlainan,” katanya di sini.
Sedangkan Perkara 121 (1A) menyebut, “mahkamah yang disebut dalam fasa (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah.”
Ini kerana kata Muhammad Riduan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut hak ke atas pendidikan fasal (3) menyebut, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu, bapa atau penjaga.
Lagi pun Seksyen 98 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak menyatakan “Jika pada saat ia memeluk Islam, seseorang itu sama ada lelaki atau perempuan adalah mempunyai anak kandung atau anak angkat yang belum mencapai umur baligh mengikut hukum syarak, kanak-kanak yang berada dalam jagaannya hendaklah dianggap telah memeluk Islam pada saat yang sama bagi maksud enakmen.”
Bagaimanapun Muhammad Riduan berkata, Mahkamah Tinggi Ipoh tidak menggunapakai terhadap apa yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah.
Beliau juga mendakwa bekas isterinya juga menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melalui DAP dan Hindu Sanggam pada 22 April 2009, di mana pada tarikh yang sama kabinet membuat keputusan anak-anak mualaf perlu mengikut agama asal dan parlimen tidak boleh membuat pindaan perlembagaan.
Kata beliau juga ekoran perakuan agama Islam ketiga-tiga anaknya menyebabkan bekas isterinya mengemukakan saman terhadap Majlis Agama Islam Perak, Pendaftar Mualaf, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kerajaan Malaysia dan Muhamad Riduan.
Menurutnya kes saman tersebut sepatutnya disebut di Mahkamah Tinggi Ipoh 30 Mac lalu namun ditunda pula kepada 6 Mei depan. Oleh itu beliau memohon Majlis Agama Islam Perak membekalkan khidmat peguam kepadanya bagi menghadapi kes tersebut.
Beliau yang menganut Islam pada 11 Mac 2009 hasil kesedaran sendiri tetap akan memperjuangkan mendapatkan hak penjagaan ke atas dua lagi anaknya yang kini belajar di Methodist Girls dan Methodist Boys di Ipoh.
Bekas isterinya sekarang bekerja sebagai guru tadika di Churh Holly Methodist Ipoh. Muhammad Riduan juga berharap umat Islam menunaikan solat hajat dan mendoakan supaya mendapat hak penjagaan ke atas ketiga anak-anaknya bagi mengelakkan mereka kembali ke agama kafir.
No comments:
Post a Comment