Walaupun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir pada ceramah Pakatan Rakyat malam semalam, kerana berkempen di Sarawak, namun kira-kira 3,500 hadirin tetap hadir memenuhi ruang stadium mini bola sepak di seksyen 13 Subang Jaya.
Malah, sebelum ceramah anjuran Pakatan Rakyat Kelana Jaya dimulakan pada jam 9 malam, hadirin dihiburkan dengan sedutan beberapa minit filem yang memaparkan watak Hitler yang sedang berbincang dengan menteri dan pegawainya dalam sebuah bilik ketika ambang kejatuhan mereka.
Sedutan filem tanpa suara itu jelas menghiburkan hadirin yang mengikuti jalan cerita berdasarkan sarikata yang diubah suai mengikut perkembangan politik semasa tanah air.
Antaranya filem itu menyentuh perbicangan situasi dan strategi pilihan raya negeri Sarawak setelah pihak lawan mendapati sokongan di beberapa kawasan di negeri itu menyebelahi Pakatan. Hitler digambarkan mahu menyebar video seks sebagai modal berkempen di negeri itu.
Bagaimanapun seorang pegawai memberitahu Hitler – yang dipanggil Dato' Seri seperti dalam sari kata – berkenaan video seks yang gagal dijadikan sebagai modal berkempen pilihan raya di Sarawak.
Ia berikutan video seks itu “sudah tidak boleh pakai, kantoi” dan rakyat tidak mempercayai ketulenan video tersebut serta mulai terus menyokong Anwar.
Berikutan itu, dengan tangan terketar-ketar Hiltler menanggalkan cermin matanya dan mengarah semua menteri dan pegawai meninggalkan bilik mesyuarat kecuali tiga individu - berdasarkan sari kata - iaitu “Thamby Chik”, “Datuk Eskay” dan “Datuk Shuib”.
Melepaskan kemarahan
Selepas itu, Hitler melepaskan kemarahannya terhadap tiga individu tersebut dalam filem itu ekoran kegagalan rancangan video seks mereka termasuklah menggunakan filem hitam putih dan menggunakan pelakon lelaki berperut boroi.
Semakan Malaysiakini mendapati filem tersebut telah dimuatnaik dalam laman Youtube dan menggunakan bahasa Jerman. Sarikatanya dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan berdasarkan kepada lenggok bahasa badan dan dikaitkan dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia.
Tinjauan Malaysiakini mendapat ramai hadirin yang melihat sedutan tersebut terpaku dan tekun menonton sedutan filem tersebut.
Malah ada dikalangan mereka yang ketawa kecil terhadap tayangan itu yang dilihat sebagai sindiran berhubung pendedahan video seks di mana ada pihak yang mendakwa lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan pelacur adalah mirip kepada Anwar.
Malah selepas tamat ceramah, penganjur turut mengulangi sedutan filem tersebut.
Selepas pendedahan video seks tersebut dan penjelasan yang dibuat oleh Pakatan, dipercayai inilah pertama kali Pakatan Rakyat menayangkan video tersebut dalam ceramah mereka kepada hadirin melalui tayangan khas layar besar yang di pasang di belakang pentas.
Selepas itu, bagi menarik lebih ramai hadirin memasuki padang bolah sepak, penganjur menayangkan kembali sedutan video ceramah perdana di Stadium Malawati minggu lalu yang disampaikan oleh Anwar dan ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang menjelaskan berhubung isu video seks itu.
Tinjauan Malaysiakini ketika itu, orang ramai semakin memenuhi padang bola sepak sehingga ceramah itu bermula.
Ceramah
Kira-kira 20 minit selepas itu, pengajur memberhentikan tayangan dan meneruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh beberapa pimpinan Pakatan Rakyat.
Antara mereka, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Sekinchan dari DAP Ng Suee Lim dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu.
Dalam ucapannya, Nik Nazmi mendakwa segala fitnah dan adu domba kepada Pakatan Rakyat termasuk isu video seks adalah sebagai usaha BN untuk memaling fokus rakyat.
Menurutnya ia disebabkan Pakatan Rakyat membawa dasar dan janji mereka seperti yang termaktub dalam Buku Jingga.
“Mereka tidak membicangkan isu besar, tidak bincang isu dasar dan masa depan rakyat di negara ini,” katanya yang juga ADUN Seri Setia.
Menurutnya ekoran kegagalan berhubung isu seks tersebut, Nik Nazmi mendakwa BN cuba memainkan sentimen perkauman berkaitan novel interlok dan isu kitab Injil bagi menaikkan kemarahan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, BN terlupa bahawa rakyat kini semakin pandai untuk menilai perkara tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengajak hadirin yang terdiri dari pelbagai kaum melakukan perubahan sekaligus dapat menguburkan BN dan Umno.
Dengan memberi contoh situasi yang berlaku di Mesir sewaktu berlakunya revolusi apabila umat Islam dan masyarakat Kristian bersatu melawan provokasi yang dilakukan oleh regim bekas presiden Hosni Mubarak.
Telor Jawa
Selepas itu, Ng pula berucap dengan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu dan sesekali bercakap dalam telor Jawa yang mencuit hati penonton.
Dalam ucapannya, beliau menyindir BN yang didakwanya bercita-cita mahu merampas negeri itu dari Pakatan Rakyat dengan mempersoal dari sudut mana mereka mahu berbuat demikian.
“Sebelum ini (Datuk Seri) Najib kata Pakatan Rakyat nak tawan Putrajayajaya tapi tidak ada kabinet bayangan. (Sebenarnya) setiap kementerian, kita ada tiga orang calon yang menanti.
“(Kalau nak rampas Selangor) saya cabar (BN) di mana calon menteri besar dan exco bayang, mana? Tak ada. Jadi apa senjata (nak rampas Selangor),” katanya.
Susulan itu, beliau merayu supaya rakyat memberi mandat Pakatan untuk terus mentadbir negeri kerana kerajaan yang baru dibentuk berusia tiga tahun seperti anak kecil.
“Kerajaan baru berusia tiga tahun, baru belajar... (Tapi) dah tiga tahun Umno tak sabar-sabar nak rampas,” katanya.
Manakala Mohamad pula berkata beliau kesal dengan politik di negara ini berhubung penayangan video seks yang mana lelaki yang dikatakan dalam video tersebut adalah mirip kepada seorang pemimpin pembangkang.
“Orang bertanya kepada saya, adakah saya sudah melihat video tersebut. Saya kata, saya tak tengok, saya tak mahu tengok dan saya tak akan tengok.
“Ini politik di Malaysia, saya kesal... Isu mengenai dasar negara (dan) keselamatan sudah tenggelam dengan benda lucah ini,” katanya.
Mohmad juga mendakwa BN kini sudah “kehilangan senjata” untuk menyerang Pakatan Rakyat untuk terus memerintah termasuklah isu pembangunan.
Ini kerana, katanya, berdasarkan laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indutri, rekod kemasukan pelaburan asing yang tertinggi di Malaysia dicatatkan oleh tiga negeri Pakatan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Malaysiakini/-
No comments:
Post a Comment