Oleh Mohd Aizat Mohd Salleh
Setelah politik Ketuanan Melayu, sekali lagi Umno dan BN menghidangkan politik kotor. Politik yang tiada nilai, tiada pendidikan, tiada intelek, tidak membangunkan idea dan tidak mencambah wacana sihat.
Yang dihidangkan, video seks yang bagi anggapan seorang warganegara dan anak muda, sangat jauh daripada moral dan nilai murni.
Sisi anak muda
Hari ini, jika anak muda ingin menonton apa sahaja video seks atau lucah, mereka boleh sahaja ke laman You Tube, Metacafe dan sama waktu dengannya. Mudah sahaja, taip apa sahaja video yang diinginkan.
Tidak perlu tunggu media mengkhabarkan apakah laman web cadangan untuk video itu. Tak perlu. Apatah lagi, membuat tayangan percuma di hotel seumpama Seri Carcosa.
Atau menunggu siapa-siapa yang ternama seumpama Datuk T atau yang sama dengannya menganjurkan tayangan video seks.
Anak muda hari ini bingung, apakah yang cuba diajar dan dididik dalam pembelajaran politik di negara ini oleh ahli-ahli politik, terutama Umno dan BN.
Di mana Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang telah menulis buku berkenaan ‘Politik Baru’, yang mengenengahkan politik nilai, berbanding politik kotor. Di mana? Tidak dibentangkan kah buku ini kepada pemimpin dan ahli Umno?
Di saat, anak muda hari ini ingin membuat perbandingan secara ilmiah dan intelek terhadap pemimpin dan dasar-dasar parti politik untuk dibuat pertimbangan di dalam pilihan raya akan datang, dibawanya video seks lucah.
Di saat anak muda menunggu ‘Buku Biru’ hasil idea dan perbincangan Umno dan BN untuk dibandingkan bersama ‘Buku Jingga’ Pakatan Rakyat, dihidangkan ‘Tayangan Blue’. Apa ini?
Pak pensyarah, tok mufti
Mana pak-pak pensyarah yang dulu begitu lantang bersuara menganalisis serta mengutuk pemimpin Pakatan Rakyat dalam berpolitik? Apa tunggu lagi, buatlah artikel, kertas kerja, nyatakan pendirian politik kotor ini.
Mana tok-tok mufti yang dulu seronok berfatwa mengharamkan itu dan ini? Keluarlah fatwa, nyatakan pandang sisi agama kepada politik kotor ini. Kenapa senyap?
Anak muda nak juga tahu.
Kepada Umno-BN, anda telah mendidik generasi akan datang dengan pendidikan sosial dan politik yang sangat buruk dan kotor. Generasi muda akan mengingatinya dan sejarahnya akan diceritakan kepada generasi seterusnya betapa tidak bertamadunnya politik dan parti itu.
Kepada Pakatan Rakyat, teruskan berwacana, mendidik, dan mengintelekkan pemikiran rakyat dengan idea-idea baru yang realistik. Anak muda terima ini semua. Kita perlukan perdebatan dan wacana ilmiah untuk menghidupkan budaya ilmu bukan video seks!
No comments:
Post a Comment