Wednesday, March 30, 2011

Politik Sundal: Ruang Peribadi vs Kepentingan Publik

Oleh Hafiz Zainuddin

Jelas, kita, rakyat dalam negara yang sudah merdeka lebih separuh abad ini patut malu kerana pemimpin negara masih tidak tahu cara untuk berpolitik. Mungkin mereka ini kurang ilmu atau kurang cerdik. Apalagi yang perlu dan tidak cukup?


Ilmu memerintah yang diturunkan oleh Inggeris - dicontohkan oleh Jepun kepada pemimpin tempatan setelah sekian lama berkonfrontasi dan bertumpah darah, pengalaman bergelut dengan situasi-situasi kritikal negara sepanjang merdeka, meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, lima Prinsip Rukunegara yang mantap, penerapan nilai Islam dan moral dalam negara dan sistem pendidikan nasional: apakah semua ini gagal membentuk sebuah budaya masyarakat, pemimpin dan politik yang matang, atau bersih atau setidak-tidaknya agak bersih? Dan paling penting, kenapa kematangan berpolitik pemimpin negara kita semakin rencat dalam sedekad dua ini yang banyak berlegar sekitar anu dan dot dot dot? Kenapa tidak dari dahulu lagi?

Skandal seks yang menjemukan

Apabila negara sekali lagi dikejutkan dengan betapa rendahnya moral Anwar Ibrahim selaku sosok yang dicanangkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia; iaitu apabila kemunculan video seks oleh individu tertentu yang mengaku sebagai Datuk T dan mendakwa pelakunya adalah Anwar Ibrahim. Apakah reaksi pertama anda? Ada yang terus percaya, ada yang tidak percaya, ada yang cuma mendiamkan diri. Ya. Walaupun jelas pelakon itu "sedikit buncit", ia tetap akan mengundang pelbagai reaksi.

Isu video seks ini, kronologinya sama. Setidak-tidaknya, hampir sama seperti isu-isu skandal terdahulu. Lebih menjelikkan lagi apabila individu yang mengaku terlibat dalam penghasilan video tersebut merupakan individu yang pernah terpalit dalam kes hubungan seks gadis bawah umur satu ketika dulu di Melaka.

Sebelum itu, biar saya nyatakan bahawa tulisan ini bukanlah untuk mengulas mengenai isu video seks tersebut; siapa pelakon ataupun pelakunya mahupun siapa yang terlibat di balik tabir. Bukan itu tujuan saya sebab terlalu ramai telah mengulas lanjut dan berhukum mengenainya. Percayalah. Semua itu sebenarnya tidak penting lagi. Malah siapapun sama ada rakyat biasa dan ahli politik, pro BN mahupun pro PR sangat "faham" bahawa isu ini bertujuan mengaibkan orang yang dituduh justeru sebagai percubaan untuk membunuh karier politik beliau.

Mentaliti kapitalis

Ahli politik Malaysia sangat arif dengan citarasa rakyat. Lihatlah di akhbar-akhbar popular tanahair. Isu yang biasanya melibatkan masalah seks-moral sering menjadi tajuk utama. Sensasi bukan? Pembentukan awal pemikiran rakyat bermula di sini. Melalui media. Melalui pembacaan. Soalnya bukan untuk meningkatkan pemahaman rakyat dalam politik yang lebih "mencerahkan", soalnya bukan untuk memberi maklumat penting mengenai kebebasan dan hak rakyat, soalnya bukan itu semua. Paling penting soalnya adalah prinsip utama kapitalisma: memenuhi permintaan pasaran. Lebih sensasi akan lebih untung. Seolah isu persoalan hak, kebebasan, ketelusan, kebocoran itu semua tidak penting. Urusan menteri...

Bill Clinton dan persoalan integriti

Kita ketepikan siapa yang bersalah! Tuduhan skandal seks yang menimpa Anwar Ibrahim bertubi-tubi, hubungan Soi Lek dengan kekasih gelapnya, ini semua membawa kita kepada persoalan-persoalan untuk kita fikirkan bersama. Berbalik kepada persoalan paling mustahak. Sejauh mana rakyat matang dalam menghadapi isu moral sebegini? Natijahnya apa?

Sebelum itu, ayuh kita imbau kembali secara ringkas bagaimana skandal seks pernah menggegarkan Rumah Putih dan dunia sekitar tahun 1998. Apabila Bill Clinton yang pada ketika itu sebagai Presiden Amerika Syarikat dituduh mempunyai hubungan sulit dengan staff pelatihnya Monica Lewinsky. Walau bagaimanapun, tuduhan itu telah dinafikannya. Pada 26 Januari 1998, Clinton membuat kenyataan media. Beliau yang berdiri di sebelah isterinya Hillary seraya berkata, "Saya akan mengatakannya sekali lagi: Saya tidak pernah mempunyai hubungan seks dengan perempuan itu, Cik Lewinsky."

Akhirnya kebenaran terbongkar dengan bukti DNA dari sehelai gaun biru milik Lewinsky yang didapati mempunyai air mani Clinton serta beberapa bukti rakaman awal perbualan telefon secara sulit oleh Linda Tripp, pekerja dari Jabatan Pertahanan. Akhirnya, Bill Clinton mengaku bahawa berlaku hubungan seksual antara dia dan Lewinsky.

Dua bulan selepas pihak Senat gagal memberikan kata putus. Presiden Clinton akhirnya dihukum di atas kesalahan menghina mahkamah di atas keterangan palsu beliau oleh Hakim Susan D.Webber Wright. Lesen Clinton sebagai Pengamal Undang-Undang beliau telah digantung di Arkansas selama lima tahun dan pada masa yang sama beliau dikenakan denda sebanyak USD 90,000 atas kesalahan memberi pengakuan palsu. Imej Bill Clinton tercalar bukan kerana hubungan seksnya dengan Lewinsky tetapi beliau dianggap melakukan kesalahan "menghalang pengadilan" atau obstruction of justice. Walau apa pun, pihak Senat dalam Parti Demokrat masih menerima Clinton dan beliau meneruskan tugasnya di pejabat seperti biasa.

Kes skandal seks Bill Clinton ini membawa kita untuk memahami garis-garis pemisah di antara dua skop yang jauh berbeza iaitu kepentingan publik (rakyat) dan ruang peribadi. Pengakuan palsu berkait rapat dengan persoalan integriti. Ya. Soalnya sekarang ialah persoalan integriti yang mana telah menjadi satu isu terpenting yang menjadi sandaran keputusan senat mahupun mahkamah.

Ruang Peribadi vs Kepentingan Publik

Mari kita lihat masalah ini dari sudut yang berbeza. Di luar taboo dan lebih bersifat realis. Persoalan integriti sepatutnya menjadi garis ukur terpenting dalam percaturan politik negara. Di Malaysia, sering kali ruang peribadi bercampur aduk dengan kepentingan publik (rakyat). Kemudian ia menjadi sebuah perdebatan yang besar. Seolah, masyarakat dan budaya kita merestui gejala "selak kain orang" ini. Lainlah kalau ia melibatkan pembunuhan dan pencabulan hak manusia lain - itu urusan mahkamah!

Persoalan penting yang saya ingin bawakan ialah, apakah isu peribadi sebegini menjadi satu masalah besar yang akan mengancam keselamatan negara? Atau mampu untuk menaikkan harga bahan api di pasaran? Atau menjadikan tanah rizab Melayu semakin berkurangan? Atau menggelapkan berbillion ringgit wang negara? Jawapannya tidak. Tidak sama sekali.

Saya bukan cuba untuk "menghalalkan" kegiatan "tidak bermoral" atau berdosa ini. Apapun saya sangat pasti, sekiranya video yang didedahkan itu memang benar, terbukti sosok pelaku itu adalah Anwar Ibrahim, maka saya yakin, Pakatan Rakyat akan berhadapan dengan situasi yang sangat kritikal. PAS tidak akan sama sekali teragak-agak untuk berkompromi dalam soal ini dan berkemungkinan keluar dari gabungan Pakatan. Lalu cita-cita untuk "Selamatkan Malaysia" Bakal menjadi sebuah utopia?

Lihat sahaja apa yang pernah berlaku kepada bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian; Mohamad Sabu yang pernah terjerat dalam kes khalwat yang melibatkan seorang wanita bernama Normah Halim sekitar tahun 1995. Mahkamah telah menggugurkan kes tersebut kerana keterangan saksi meragukan dan bercanggah. Walaupun kes ini telah selesai, imej beliau telah tercemar dan ada "bisik-bisik" yang menyatakan bahawa beliau akan melalui jalan sukar untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS untuk pemilihan yang akan datang ini.

Berbalik kepada persoalan integriti. Rakyat harus matang dalam membahagikan mana satu "ruang peribadi" dan mana satu "kepentingan publik". Rakyat harus sedar bahawa mereka sedang dilalaikan drama lucah yang sedang berlangsung. "Ini semua projek pembodohan!". Apabila integriti diutamakan, kesejahteraan negara menyusul.

Rakyat harus berfikir dan lebih bijak dari ahli politik. Pelakon-pelakon politik akan terus melakonkan drama mereka. Sekali lagi harus diingat bahawa semua dakwaan-dakwaan sebegini bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada isu-isu penting negara. Rakyat harus terus berada di atas landasan sebenar. Rakyat harus melontarkan persoalan-persoalan dasar yang kalau dibiarkan akan mengancam kemaslahatan rakyat dan negara. Dan saya juga pasti, kita juga tidak mahu maruah negara ini dicalarkan oleh mulut seorang wanita bernama Umi Hafilda.

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

No comments:

Post a Comment

Kezaliman belum berakhir hulurkan bantuan anda terima kasih !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KAMPUNG MASJID

KAMPUNG TELUK DALAM

KAMPUNG TELUK KECIL

peringatan PRU 13

DOA MINTA TURUN BALA

“ Bismillahirahmanirahim. Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami Hamba Mu yang lemah memohon belas ehsan dan kasihan Mu. Kami tidak berdaya untuk menghadapi fitnah wang sebegini besar. Maka, kami berserah kembali kepada kekuasan Mu Ya Allah setelah habis daya dan kederat kami telah digunakan.Maka, kami memohon, Ya Allah, turunkan Bala yang diterima oleh Kaum Nabi Nuh dan Kaum Nabi Hud ke atas semua yang terlibat dalam usaha pembelian wakil-wakil rakyat serta pimpinan PKR tidak kira siapa mereka itu.


Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Yang Menggerakkan Awan, Yang mengalahkan bala tentera Al Ahzab. Hancurkan mereka. Menangkan kami ke atas mereka. Jadikanlah wang mereka sebagai bala ke atas mereka supaya mereka sedar bahawa Kau lebih Berkuasa dari wang mereka.

AMIN”
" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran regim UMNO dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.