Oleh : Kim Quek
Malaysia mungkin satu-satunya negara di mana kematian seorang wakil rakyat membawa kegembiraan kepada penduduk setempat. Adakah kerana wakil rakyat secara umumnya dibenci oleh rakyat? Tidak.
Malaysia mungkin satu-satunya negara di mana kematian seorang wakil rakyat membawa kegembiraan kepada penduduk setempat. Adakah kerana wakil rakyat secara umumnya dibenci oleh rakyat? Tidak.
Ia adalah kerana pilihan raya kecil akan diadakan sejurus selepas kematian wakil rakyat tersebut. Kenapa pula ia harus membawa kegembiraan kepada penduduk setempat?Ini kerana sewaktu pilihan raya kecil, Santa Claus juga akan datang.
Dia akan membawa pelbagai jenis hadiah serta menjadikan impian anda menjadi kenyataan.
Siapakah Santa Claus tersebut?
Siapakah Santa Claus tersebut?
Beliau tidak lain dan tidak bukan daripada parti pemerintah yang telah memerintah negara sepanjang 53 tahun selepas merdeka.
Rasuah Pilihan Raya Menjadi-jadi
Belum sempat simati atau arwah dikebumikan, anda akan melihat transformasi fizikal di konstituen tersebut. Para pekerja bekerja sepanjang masa memperkemaskan kawasan tersebut. Kemudahan yang kekurangan ataupun rosak sejak berkurun-kurun dahulu akan dibaiki secara tiba-tiba – jalan raya, lampu jalan, longkang, paip air, dll.
VIP atau orang kenamaan yang tidak pernah termimpi oleh penduduk untuk bertemu muka akan muncul tiba-tiba. Daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan lain-lain menteri, sehinggalah kepada pegawai kerajaan dari pelbagai kementerian akan datang melawat secara berterusan yang hanya akan berakhir pada hari pembuangan undi.Setiap menteri akan membawa berita baik mengenai `peruntukan dana segera’ untuk `projek-projek segera’, dikenali sebagai `projek mi segera’. Peruntukan-peruntukan ini adalah untuk pengubahsuaian atau pembinaan sekolah, masjid, kuil, klinik, jalan raya, jambatan yang baru mahupun insentif wang tunai bagi penduduk setempat dan pekerja kerajaan.
Anda minta sahaja, dan segala impian anda akan terlaksana. Tak perlu dikatakan, perbelanjaan-perbelanjaan ini, yang berjumlah sekitar beberapa juta sehingga ratusan juta ringgit bagi setiap konstituen, datangnya daripada poket pembayar cukai.
Dan tentu saja, semasa menyerahkan pemberian ini, penduduk setempat sentiasa diingatkan siapa yang harus mereka undi. Bahkan, beberapa janji ini dijadikan syarat sebagai sokongan pengundi dan kemenangan Barisan Nasional (BN) (parti pemerintah).Anda mungkin bertanya: bukankah ini rasuah?
Sudah tentu ianya rasuah. Kenyataannya, ia adalah pelanggaran undang-undang pilihan raya yang amat serius.
Institusi pilihan raya yang difungsikan
Jadi, apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan raya mengenainya? Mereka tidak melakukan apa-apa. Mereka akan mengatakan ini adalah projek kerajaan demi kepentingan rakyat. Atau jika sogokan itu teramat jelas, mereka akan berkata ia bukan urusan mereka.
Tugas mereka adalah untuk mengendalikan pilihan raya. Untuk sogokan dan rasuah, anda perlu melaporkannya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ataupun polis. Bagaimanapun, sebarang laporan kepada SPRM dan polis tidak pernah diambil tindakan.
Namun, terdapat proviso pada pendekatan SPR terhadap rasuah pilihan raya ini. Iaitu, jika rasuah tersebut dilakukan oleh BN. Bagi pesaing BN, sebarang tanda salah laku akan mendatangkan kemarahan kepada SPR, seperti dalam kes pilihan raya Galas, Kelantan baru-baru ini.
Semasa kempen pilihan raya tersebut, pemimpin penasihat PAS memberikan beberapa ratus ringgit `wang zakat’ (sedekah) kepada tiga masyarakat orang asli yang baru memeluk Islam. Timbalan Pengerusi SPR serta-merta menyerkap dan mengumumkan: “Zakat ataupun tidak, di mata undang-undang, sebarang wang yang diberikan oleh sesiapapun kepada pengundi yang boleh mempengaruhi undian mereka adalah dianggap rasuah di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954”.
Beliau berkata dia telah memberi maklumat kepada SPR untuk diambil tindakan. Tapi, bagaimana dengan berjuta-juta dana awam yang digunakan untuk projek `mi segera’ oleh BN untuk membeli undian? Bukankah sogokan ini seribu kali lebih serius?!Dwistandard sebegini yang melanggar tatasusila kita!
Seseorang mungkin bertanya lebih lanjut: bagaimana dengan mahkamah kita? Tak bolehkah mereka melaksanakan keadilan dan mempertahankan perlembagaan kita? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita renung kembali kes pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini, yang dikatakan sebagai yang paling kotor, di mana Perdana Menteri secara terbuka menawarkan untuk membayar RM3 juta kepada sekolah tempatan dengan syarat BN menang.
BN menang dan PM dengan segera mengaturkan agar kerajaan membayar RM3 juta tersebut dua hari kemudian. PM amat berbangga dengan apa yang dilakukannya sehingga beliau bercakap gah mengenainya semasa kempen pilihan raya di pilihan raya kecil Sibu yang berlangsung sejurus selepas itu.
Beliau membuat `perjanjian’ dengan pengundi Sibu bahawa BN akan memperuntukkan RM5 juta untuk mengatasi masalah banjir tempatan jika BN memenangi pilihan raya tersebut. Untuk meyakinkan para pengundi, beliau dengan bangganya menyebut mengenai pembayaran RM3 juta di Hulu Selangor tersebut sebagai bukti ‘kebolehpercayaan’ terhadapnya.(Secara kebetulan, perjanjian PM dengan pengundi telah dirakam di dalam video dan dimuat naik di You Tube, di mana ia ditonton secara meluas di seluruh dunia).
Calon yang kalah (Zaid Ibrahim) di pilihan raya kecil Hulu Selangor telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan keputusan pilihan raya tersebut atas sebab rasuah. Petisyen ini bagaimanapun ditolak oleh hakim (Azahar Mohamed) atas sebab `kekurangan bukti’ tanpa meminta BN untuk membela diri.
Zaid memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut walaupun mempunyai bukti kukuh mengenai rasuah BN, dengan mengatakan badan kehakiman kita sememangnya sedemikian rupa di mana usaha untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang hanyalah membuang masa dan wang.
Reformasi kuasa rakyat
Dengan pembela terakhir bagi Perlembagaan, iaitu badan kehakiman, turut hancur di bawah hegemoni BN, dan lain-lain institusi yang turut sama disfungsi, BN secara amnya diberikan cek kosong untuk melakukan apa sahaja yang diingininya tanpa mempedulikan undang-undang, seperti yang diperlihatkan di pilihan raya kecil yang sedang berlangsung di Kerdau dan Merlimau, di mana masyarakat diperkenalkan kepada budaya pilihan raya yang baru – unik kepada Malaysia tentunya.
Ribuan penduduk tempatan disogok dengan makan malam mewah setiap malam, persembahan pentas, karaoke, lengkap dengan cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah seperti motosikal, TV, peralatan rumah dan pelbagai hadiah lagi – hadiah daripada BN, tentunya.
Di dalam mereka bersuka ria ini, saya tertanya-tanya berapa ramai pengundi yang sedar betapa beratnya tanggung jawab mereka apabila mereka membuang undi mereka dalam beberapa hari lagi. Hanya mereka yang dapat mengembalikan integriti kepada sistem pilihan raya kita yang kini telah menjadi sandiwara semata-mata.
Dan hanya melalui undian rakyat, kita mampu menghidupkan kembali impian demokratik pengasas kita. Tanpa sebarang jalan ke arah reformasi dan melakukan pembetulan melalui cara-cara demokrasi, hanya ada satu jalan yang tinggal – reformasi kuasa rakyat yang kini melanda di Timur Tengah.
KOMEN:
Ali Rustam dan Nazri Aziz kata sistem pilihan raya di Malaysia terbaik di dunia. Pilihan raya yang paling adil, US dan Britain dan lain-lain negara lebih bertamadun pun tidak boleh tanding dengan pilihan raya di Malaysia.
Rasuah tidak, beli undi tidak, media sikap profesional, tidak guna harta awam dan lagi......dan lagi semuanya oklah.
Patutnya US, Britain, negara Timur Tengah dan lain-lain negara yang bertamadun mari belajar dengan Malaysia bagaimana hendak mengendali pilihan raya yang bersih, jujur, ikhlas, adil dan saksama.
No comments:
Post a Comment