Oleh Nobisha
Saya telah melakukan carian maklumat di blog, Facebook dan Twitter mengenai pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau. Saya gunakan beberapa laman carian media sosial untuk menerokai apa saja tulisan mengenai pilihanraya kecil itu. Apa yang saya dapati agak memeranjatkan: Lebih banyak tulisan / posting positif mengenai Barisan Nasional berbanding PAS. Komentar yang menyokong calon PAS juga tidak banyak dalam blog, Facebook atau Twitter.
Fenomena ini jauh berubah berbanding pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pauh dan Bagan Pinang di mana aktivis media sosial PR bersungguh-sungguh membantu calon-calon mereka.
Saya mula merasai penurunan sokongan di media sosial ini sejak PRK Hulu Selangor apabila calon PKR Dato' Zaid Ibrahim walaupun disokong oleh Dato' Nik Aziz Nik Mat, tetapi kelihatan seperti ditolak oleh ahli-ahli PAS.
Calon PKR Hulu Selangor Dato' Zaid Ibrahim walaupun direstui oleh Dato' Nik Aziz Nik Mat, tetapi tidak disokong oleh aktivis PAS di media sosial. |
Bagi pengkaji politik dan media, agak menarik untuk kita bertanya soalan-soalan berikut:
Adakah ini bermaksud PR mengutamakan PRU13; tidak pilihanraya kecil yang menghabiskan sumber tetapi tidak memberikan apa-apa impak yang signifikan kepada mereka?
Atau, PR seperti juga rakyat seluruhnya sudah keletihan kerana terlalu banyak pilihanraya kecil - setakat ini sudah masuk kali ke 16!
Mungkinkah, BN belajar dari kesilapan dalam pilihanraya umum lalu dan mula memantapkan peperangan di media sosial - menentukan apa saja isu dijawab dengan pantas? Ini berbeza dengan sebelum ini di mana BN menganggap isu-isu yang dibawa oleh PR sebagai remeh dan tidak perlu dilayan. Kata mereka, "Tak Pa Lah!"
Atau, adakah ini merupakan petanda rakyat mula menghargai inisiatif Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang kelihatan bekerja keras memenuhi harapan mereka (contoh: sini, sini, dan sini).
Sementara kita tidak mempunyai data yang cukup untuk mentafsirkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, namun saya percaya sedikit-sebanyak apa yang ada dalam media sosial mencerminkan sentimen rakyat secara keseluruhannya terhadap kecenderungan politik mereka!
No comments:
Post a Comment