Oleh Zaharuddin Abd Rahman
PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku
  di dalam negara kita.Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka  untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan  ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus. 
Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.
Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.
Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.
Kutukan  perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat  kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan  kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.
Pada masa sama, ada pula  pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut  dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan  ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan  al-Hadis.
Kita perlu sedar, teknik dakwah adalah hal yang perlu  diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer mempunyai  banyak takrifan dan bidang tugasan.
Bagaimanapun, selepas  melakukan semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis  yang ‘neutral’ dan benar-benar bersifat pentadbiran.
Namun  begitu, tugasan yang ‘tidak bertulis’ itulah yang merumitkan, di mana ia  kerap melewati tugasan tidak sihat iaitu melayan kehendak pelanggan  walau hingga ke dalam bilik.
Jelas di sini, tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga sasaran perniagaan tercapai’.
Merujuk  kepada situasi ini, penggunaan GRO di negara kita perlu dikaji  berikutan ia bercampur antara dua bidang tugas iaitu yang haram serta  yang tidak haram.
Ini kerana, jika dilihat daripada laporan media, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’.
Justeru,  menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada  dilakukan mana- mana wanita atau lelaki Islam, walau dalam apa keadaan  mereka sekalipun.
Oleh itu, saya ingin menegaskan secara umum  kepada sesiapa saja yang cuba mencari alasan dan ‘justifikasi’ untuk  membenarkan umat Islam bertugas dalam kerjaya GRO dan yang sepertinya  dengan beberapa fakta iaitu:
1. Apa saja tugasan dan kerjaya haram mesti disebut sebagai ‘haram’, khususnya kerjaya GRO dan pelacur.
Menjadi  tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memaklumkan gesaan berhenti  serta-merta dan bukan memberi masa. Jangan sesekali kita bertindak luar  biasa untuk memberi apa saja kenyataan yang seolah-olah memberi izin  untuk mereka meneruskan kerjaya itu atas alasan darurat.
Klasifikasi  darurat tidak boleh diguna pakai tanpa ilmu dan kajian khusus. Jangan  sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi mengharuskan yang  haram.
Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, “apa yang diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan limitasinya (batasan).”
Sejauh  mana batasannya dipantau dan dipatuhi? Jika darurat, ia perlu dinilai  mengikut timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan  lebih banyak, ia maslahat yang tertolak.
Oleh itu, yang perlu ditegaskan adalah gesaan mencari kerjaya lain dan bertaubat dengan serta-merta.
Taubat  di dalam Islam memang perlu disegerakan kerana Imam Al-Ghazzali  mendefinisikan taubat sebagai: “Meninggalkan maksiat dengan serta-merta  dan berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa depan, dan berusaha  menebus dosa lalu.” (Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)
2. Kerjaya haram  GRO dan yang sepertinya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam  kehidupan petugas itu, akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran  dan bukan memberi ruang untuk dia meneruskannya.
Justeru tidak  wajar timbul cadangan dari sesiapa juga untuk ‘biarkan sehingga dia  merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa terus bergelumang dengan  dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu,  adalah apabila dia melakukan dosa, wujudlah satu titik hitam di  hatinya, apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah  hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah  hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam Kitab-Nya.”  (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim)
3. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya usah bertangguh dalam mengerjakan hal baik, khususnya taubat.
Dalam  hal ini kita sewajarnya menyeru pekerja dalam sektor haram sebegitu dan  yang lainnya untuk segera bertaubat dan bukan memberi mereka masa  seolah-olah kerjayanya boleh diterima dengan hujah inginkan perubahan  dengan kesedaran dan bukan dipaksa.
Fakta sebenar di dalam ilmu  Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang  lain, ia mesti dihentikan serta-merta tanpa tangguh.
Sesiapa  saja yang ingin memberi motivasi dan membetulkan keadaan tidak boleh  berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya  lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan Rasul-Nya tidak  memberi tangguh dalam hal maksiat.
Allah SWT berfirman:  “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang  mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat  dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan  Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa, 17)
Imam  Al-Ghazzali juga menjelaskan bahawa: “Wajibnya taubat itu adalah dengan  segera tanpa keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah  iman seseorang. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7). Namun, jika setelah kita  memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil  masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun kita tak boleh  memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.
4. Tidak boleh  diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau pihak  berwajib atau pendakwah belum menyediakan tugasan alternatif untuk  pekerja sebegitu, ini kerana selaku manusia yang sihat, setiap individu  yang diberikan oleh Allah akal dan tubuh yang sihat.
Manusia  sepatutnya bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh  anggotanya untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan ‘skil’  itu untuk memperoleh pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk  nafsu serakah manusia.
Kewujudan tugasan alternatif bukan syarat  untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif  sebenarnya wajib difikirkan dan diusahakan oleh si pelaku itu sendiri  jika dia masih beragama Islam.
Tanggungjawab menyediakan  alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah negara. Pada  hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat.
Ketiadaannya  jangan sekali menyekat pendakwah daripada memberi nasihat dan teguran  tepat walau pedas dan berbisa. Lihat saja kisah Nabi Musa AS dan Harun  menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya yang lembut dan  tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.
Imam  al-ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa taubat dan  berhenti tapi ingin Rahmat Allah SWT dan dimudahkan kepada pendapatan,  kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti: “seorang yang  membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya  dalam keadaan fakir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk  memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang.  (Ihya Ulumiddin, 4/58)
Beliau mengulas lagi selepas itu dengan  berkata, penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu  tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi. (Ihya Ulumiddin, 4/58)
Jika  ada yang mengatakan petugas ini boleh berniat tidak reda dan berusaha  sedikit demi sedikit untuk mencari kerjaya lain, kenyataan sebegitu  adalah tersasar kerana pelakuan maksiat yang dilakukan tanpa paksaan ke  atas nyawa dan harta tidak diterima di dalam Islam.
Malah  perbuatan itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih  tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancurkan agama si pelaku,  menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali  keturunannya rosak dan hartanya tidak diberkati.
Kesimpulannya,  ada pihak menjadi cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan  yang berjaya diperoleh melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal  tapi bergaji rendah.
Ingat, jika pekerja GRO atau mana-mana  petugas dalam industri haram terus dalam pekerjaan kotornya dan  kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah  kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya’ daripada mereka yang berpendapatan  halal, ia secocok dengan sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Apabila kamu  lihat Allah memberi limpahan kurnia di dunia kepada hambanya, sedang  segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu  ‘istidraj’.”
Kemudian Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT  berfirman bahawa: “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diingatkan  kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang  pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, kami  akan rampas darinya secara tiba-tiba, ketika itulah mereka berputus  asa.” Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)
‘Istidraj’  yang disebut di dalam hadis tadi bermaksud kurniaan ganjaran keduniaan  kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat untuk menghumbannya terus ke  neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan.
Hal ini serasi  dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Di  dalam hati mereka ada penyakit (dosa dan mereka biarkan), lalu Allah  menambahkan penyakit di dalam hati mereka.”
Oleh itu, mereka  yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini berhenti daripada  kerja GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya haram sama ada melalui  nasihat atau kecaman.
Jangan sekali-kali membuka jalan serta memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.
Namun,  hulurkan bantuan dan kasih sayang, antara tanda kasih sayang itu adalah  menasihatkannya supaya terus berhenti dan pihak berwajib perlu  menyediakan alternatif dengan segera.M/H

No comments:
Post a Comment