Oleh Mohd Nasir Awang
Sekalung tahniah buat pasukan bolasepak negara yang julung kali berjaya menjulang Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asia (AFF), Rabu lalu. Anak-anak muda kita mengharumkan nama negara apabila menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2, setelah terlebih dahulu menang 3-0 dalam final pertama beberapa hari sebelumnya.
Sebagai menghargai dan merakam rasa bangga atas kejayaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan cuti umum khas pada Jumaat.
Ekoran itu oleh kerana Terengganu memang bercuti mingguan pada Jumaat, anak-anak dan warga pendidik di negeri itu mendapat sehari cuti tambahan pada Ahad dan hanya akan memulakan sesi persekolahan baru pada Isnin.
Sememangnya seluruh rakyat Malaysia berhak berkongsi rasa bangga dan kagum dengan kebangkitan mendadak pasukan bolasepak negara di pentas antarabangsa. Setelah sekian lama mutu sukan itu menjadi bahan persendaan dan kritikan pelbagai pihak dalam dan luar negara, kini anak buah K. Rajagobal bagaikan menutup mulut para pengkritik sebelum ini.
Kejayaan itu sendiri menamatkan kemarau 14 tahun pasukan negara dalam kejohanan tersebut. Justeru, pelbagai pihak meraikan kejayaan itu sebagai satu pencapaian paling baik, lebih-lebih lagi ia dilakukan di hadapan lebih 95,000 penyokong Indonesia selaku tuan rumah.
Malah ada pihak yang pergi sedikit lebih jauh. Mereka cuba mengaitkan kemampuan skuad negara memaparkan peningkatan mendadak itu dengan kecemerlangan urustadbir politik negara. Kononnya hal itu berlaku hasil komitmen dan pendekatan diambil kerajaan di bawah.
Lalu dikaitkanlah berbagai kejayaan di pentas dunia, terutama menerusi atlet-atlet negara, sebagai bukti keupayaan Najib dan pasukan Kabinetnya merencana dan memacu kemajuan negara. Lebih melucukan ialah apabila seluruh pencapaian positif oleh mana-mana rakyat Malaysia kebelakangan ini sebegitu mudah didakwa sebagai bukti kejayaan konsep 1Malaysia yang dilaung kerajaan.
Memang sudah menjadi tabiat Barisan Nasional (BN) sejak dulu untuk segera mengambil kesempatan dan mencari peluang mengaitkan apa-apa pencapaian baik rakyat dengan perancangan kerajaan. Kononnya hanya kerana kerja buat dan komitmen merekalah apa-apa hasil membanggakan itu terbuah.
Kebetulan pula kejayaan paling manis skuad bolasepak negara kali ini menyusuli beberapa pencapaian positif lain. Sebelum ini kita dimaklumkan beberapa atlet negara meraih juara dalam disiplin sukan masing-masing di pelbagai kejohanan antarabangsa.
Di sektor lain, negara juga didakwa berjaya menjana pertumbuhan ekonomi yang pesat, terutama sejak setahun lalu. Malaysia turut dikatakan berjaya melonjakkan kedudukan dalam nilaian daya saing dari tempat ke-18 ke tempat ke-10.
Lalu ada yang tidak segan menganggap semua pencapaian itu hasil pentadbiran Najib yang kononnya berjaya mengemukakan perencanaan pemerintahan yang baik. Kehidupan rakyat dikatakan bertambah selesa dan negara semakin makmur sejak beliau menjadi Perdana Menteri.
Betulkah segalanya muluk dan indah sepanjang pemerintahan Najib? Sudah tentu memperincikan persoalan itu tidak semudah menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’.
Namun, apa yang pasti, apa pun pencapaian atau kejayaan dikecapi negara termasuk kejayaan pasukan bolasepak Rabu lalu tidak sepatutnya begitu mudah dijadikan kesempatan untuk menutup realiti kehidupan rakyat yang semakin sempit dan terhimpit.
Najib dan pasukannya dalam kerajaan mungkin menganggap setiap kejayaan diraih rakyat negara ini adalah modal untuk menaikkan imej dan reputasi BN di mata rakyat. Dengan setiap kejayaan itu juga BN mungkin berpeluang memanipulasi keadaan ke arah meningkatkan sokongan dan dokongan masyarakat terhadapnya.
Serentak itu juga kita percaya BN akan mencorakkan persepsi umum kononnya ia kini dalam kedudukan paling mantap untuk terus mengemudi pemerintahan negara. Bahawa slogan dan propaganda yang sering dicanangnya selama ini, iaitu hanya BN yang mampu membawa kemajuan dan kejayaan kepada negara, adalah realiti yang perlu diakui semua pihak.
Manakala parti-parti pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat (PR), adalah pihak yang tidak memiliki kemampuan sebaik BN. Justeru, rakyat akan semakin dibuai dengan propaganda menolak PR.
Prestasi pemerintahan PR di beberapa negeri turut dijadikan bahan perbahasan. Kononnya tiada satu pun negeri berkenaan yang berjaya menandingi negeri-negeri diperintah BN dalam pencapaian pemerintahan masing-masing.
Walau pun sejak dua dekad lalu BN sudah banyak kali tercabar oleh pembaharuan dan langkah pemerintahan yang lebih terkedepan diperkenalkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, berbanding negeri-negeri yang telah berdekad di bawah BN, hakikat itu semacam berjaya ditapis BN daripada membentuk persepsi umum.
Namun, wajar diakui keupayaan BN menepis dan menghalang pembentukan persepsi lebih positif terhadap prestasi pemerintahan PR dan PAS semakin tercabar selepas pilihan raya lalu. Kelantan mendapat empat rakan baru (termasuk Perak ketika itu), dan kesemua mereka berjaya membuktikan sesuatu yang amat dibimbangi BN.
Pemerintahan negeri-negeri di bawah PR telah mengemukakan agenda pemerintahan yang sukar ditandingi BN. Beberapa langkah pembaharuan diperkenalkan malah membuktikan kemampuan PR merencana kemanfaatan rakyat dalam masa singkat, sekali gus mengaibkan BN yang bergelar parti pemerintah negara sejak sekian lama.
Aspek paling menyerlah ialah keupayaan PR mengurus kewangan negeri. Jika sejak dua dekad lalu Kelantan menjadi model perbelanjaan berhemah dan kejayaan berjimat-cermat, kini Pulau Pinang pula membuktikan perkara sama.
Sebuah akhbar harian pada Khamis (30 Disember) memetik kenyataan daripada Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) yang mengakui kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan jauh lebih baik berbanding ketika di bawah BN.
Kajian mendapati kerajaan negeri itu mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan berjumlah RM77.34 juta. Kita percaya kejayaan ini tidak akan menjadi suatu yang gemar didendang BN. Apatah lagi perkara sedemikian gagal dicapai negeri-negeri lain di bawah BN sendiri.
Justeru, pencapaian PR di Pulau Pinang tidak mungkin disambut semeriah kejayaan pasukan bolasepak negara menjulang Piala Suzuki AFF. Malah laporan mengenainya pun hanya mencuri ruang kecil dalam media cetak, berbanding puluhan mukasurat melapor dan mengulas kejayaan Harimau Malaya.
Namun, bagi sesiapa yang berfikir, berita kejayaan kerajaan Pulau Pinang itu adalah satu lagi bukti keupayaan PR mengurus pemerintahan lebih baik daripada BN. Ia juga sepatutnya menambahkan keyakinan rakyat bahawa PR mampu merealisasikan apa juga dirancangnya seandai mengambil alih teraju negara daripada BN nanti.
No comments:
Post a Comment