Oleh Dinsman
Seperti yang dirancang, alhamdu lillah, buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” siap dicetak pada malam 10 Disember, dan pada pagi 11 Disember ia pun dibawa ke utara untuk dilancarkan di Masjid Batu, Permatang Pauh. (Tapi sebelum itu singgah sekejap di Ipoh, kerana ada orang terus membelinya sejumlah 200 naskah).
Malamnya selepas solat Maghrib, Masjid Batu yang sedang mengalami ubahsuai untuk pembinaan semula bahagian wanitanya yang sudah berusia lebih 100 tahun itu, sekali lagi mencatatkan peristiwa penting, setelah mencipta sejarah menjadi masjid pertama di Malaysia (dan mungkin juga di dunia) membuat pementasan teater di ruang solatnya, lebih setahun yang lalu.
Jemaah yang hadir tidaklah seramai seribu orang seperti yang hadir sewaktu teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) dipersembahkan di situ. Publisiti untuk kali ini pun tidaklah sebesar publisiti untuk teater. Tetapi untuk sebuah pelancaran buku bercorak akademik seperti ini (walaupun mengenai seorang tokoh yang popular), jemaah sekitar 200 orang itu sudahlah mencukupi. Apalagi sebahagian daripada mereka, di akhir sesi yang memakan masa kira-kira dua jam setengah itu, membeli bukunya.
Pelancaran dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Ab Halim Hussain, manakala novelis terkenal Azizi Hj Abdullah mengacarai majlis. Kata Azizi, “Biasanya bukan penulis buku yang berbicara mengenai bukunya dalam majlis pelancaran buku. Tetapi kali ini berbeza, penulisnya sendiri yang akan membicarakan bukunya.”
Memang kita sengaja meminta Prof Shaharir Mohd Zain sendiri yang bercakap, mengenai isi kandungan bukunya. Ada beberapa sebab. Pertama, saya berpendapat masyarakat kita khasnya orang Melayu-Islam perlu mengenali tokoh ilmuan besar seperti Prof Shaharir ini. Beliau telah banyak menulis buku dan membuat kajian, khasnya mengenai khazanah ilmu di Alam Melayu.
Walaupun dia seorang profesor matematik-fizik, tetapi bidang ilmu yang diminati dan dikajinya tidak terhad kepada matematik-fizik sahaja. Misalnya, dalam biodatanya tercatat empat bidang penyelidikannya sekarang, iaitu:
(1) Unsur-unsur sains matematik dalam manuskrip dan prasasti Melayu. (2) Kritikan Teori Einstein dan Teori Quantum mengikut perspektif Islam. (3) Matematik kewangan dan perbankan Islam. (4) Teori kepengurusan dan kepemimpinan rumpun Melayu.
Dicatatkan juga bahawa beliau mendapat pengiktirafan kesarjanaannya daripada pelbagai instituisi akademik dalam dan luar negara, antaranya kerana: (1) telah menghasilkan puluhan buah buku matematik dan falsafah; (2) menjadi pejuang dan pengideologi dalam pengIslaman dan pemeribumian ilmu; dan (3) menjadi pengkritik utama terhadap sains matematik kontemporer, berasaskan doktrin kosmologi Islam dan Melayu-Islam.
Minatnya untuk mengkaji dan menghasilkan buku mengenai keunggulan Nik Abdul Aziz sebagai seorang pemimpin inipun adalah lanjutan daripada hasil kajiannya mengenai khazanah ilmu di Alam Melayu; dimana beliau menemukan teori kepemimpinan dan pengurusan dalam Tamadun Alam Melayu, sebagai yang paling awal di dunia, iaitu pada tahun 1088 (zaman keagungan Kerajaan Campa, di Vietnam).
Sedangkan teori kepemimpinan dan pengurusan di Barat yang paling awal ditulis ialah pada tahun 1532, iaitu oleh sarjana Itali bernama Niccolo Machiavelli, melalui karyanya “Il Principe” atau “The Prince”.
Malam itu Masjid Batu seperti bertukar menjadi dewan kuliah universiti. Para jemaahnya khusyuk mendengar kuliah yang mengupas perbezaan makna antara “pemimpin” dan “leader”, misalnya. Juga mendengar huraian maksud istilah “aksiom”, “cakravantin” dan “upapradana”.
Seperkara yang agak menakjubkan juga dalam program malam itu ialah jemaah masjid itu sendiri. Mereka mampu untuk duduk mendengar kuliah bercorak akademik itu selama kira-kira dua jam setengah, dan mereka duduk bersila.
Apabila Pengerusi Masjid Cikgu Khairuddin mengucapkan terima kasih kepada jemaah kerana sanggup menunggu begitu lama, saya pun tak pasti apakah mereka sudah biasa begitu ataupun tidak. Biasanya tazkirah hanya antara selesai solat Maghrib dan menunggu masuk waktu ‘Isyak sahaja.
Apa pun, terbuktilah bahawa Masjid Batu bukanlah sebuah masjid yang biasa. Melalui program tazkirahnya setiap malam yang disusun begitu menarik, para jemaahnya (yakni masyarakat sekitarnya) barangkali sudah terdidik menjadi jemaah yang cintakan ilmu. Maka sesuai sangatlah buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” ini dilancarkan buat kali pertamanya di situ, sebelum ia dilancarkan pula di tempat-tempat lain.
Seperti dijelaskan tadi, tujuan kita bukanlah semata-mata untuk menyebarkan ilmu Islam mengenai ciri-ciri kepemimpinan yang baik sahaja, (atau mengenai ketokohan Tok Guru Nik Aziz sahaja), tetapi juga untuk mendidik masyarakat kita menjadi masyarakat yang cintakan ilmu, sambil mengenali dan menghargai tokoh-tokoh ilmuan di kalangan kita sendiri.
Melalui pendekatan ini juga kita berharap dapat menyebarkan kesedaran terhadap keunggulan ilmu-ilmu Islam, (dan juga ilmu warisan Tamadun di Alam Melayu), yang selama ini tersembunyi atau memang sengaja disembunyikan secara terancang oleh pihak-pihak yang mewarisi kejahatan dan kemunafikan penjajah.
Bukunya nipis sahaja. Tidak sampai 100 mukasurat pun. Tetapi ilmu yang terkandung di dalamnya begitu padat, menyebabkan kita mungkin perlu membacanya berulang kali untuk menghazaminya.
Prof Shaharir tidaklah berjanji untuk hadir pada semua jemputan yang ingin menganjurkan majlis pelancaran buku ini. Tetapi setakat yang diizinkan oleh waktu dan jadual kerja serta komitmennya, kami akan cuba hadir. Dan seperti kata Azizi, kadang-kadang majlis yang membicarakan sesebuah buku tidak semestinya penulisnya sendiri hadir untuk berbicara.
Maka di Kuala Lumpur misalnya, Budayawan Bertindak sedang merancangkan sebuah majlis bicara buku tersebut, yang pembicaranya terdiri daripada para ilmuan dalam bidang-bidang yang berkaitan, manakala Prof Shaharir sendiri bukan di antara panel pembicara tersebut. Insya Allah!
No comments:
Post a Comment