Oleh Subky Latif
SIAPA yang gatal mengesyorkan supaya peristiwa tragedi 13 Mei, 1969 diabadikan sebagai hari bersejarah, dijadikan cuti umum, diperingati dan tentunya diikuti dengan acara pensejaraanya?
Kononnya untuk meneladani Singapura yang memperingati hari kejadian rusuhan.Hingga disedarinya atau tidak, terlatah atau tidak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ikut terperangkap, menyatakan sedia menimbangkan untuk memuliakan hari 13 Mei itu kiranya ada cadangan
Kalaulah ketika idea itu ditimbulkan sang TPM sudah menjadi Perdana Menteri, ada kemungkinan ia akan ditimbangkan bagi dijadikan hari mulia tahunan jika ada cadangan.
Cadangan itu sudah ada. Ketika tidak sesiapapun memikirkannya telah ada akhbar yang gatal memuatkan syor itu. Akhbar yang dibaca oleh berjuta orang itu adalah pembuka dan mengetuk pintu hati masyarakat memikirkannya. Jika ia diikuti oleh beberapa sahutan yang menyukainya, nescaya boleh dibentangkan di kabinet.
Saya terbuka. Dibiar begitu saja tidak mengapa dan dimartabatkan pun tidak mengapa.
Apapun ia tetap satu sejarah, seperti kisah Jebat derhaka. Kejadian Hang Jebat bangkit itu memang berlaku dengan sebab-sebab yang diketahui. Bangsa Melayu umumnya tidak menjadikan pensejarahannya diperkatakan dari semasa ke semasa. Walau pun ada usaha menilainya semula, tetapi masyarakat menggalakkan kebebasan menyatakan pandangan mendiam saja kejadian itu.
Ketika kejadian 13 Mei itu dicadangkan untuk dinilai, saya menunggu saja apa reaksi Perdana Menteri Najib? Reaksi TPM Muhyiddin sudah ada. Tidak diketahui dia bersungguh atau dia pun tidak sedar apa yang dinyatakannya.
Najib yang baru pulih dari sakit yang melibatkan kulit menunjukkan kedewasaannya menolak cetusan idea itu. Padanya tiada apa yang perlu dijadikan sejarah rasmi.
Bukan tidak ada yang hendak diperkatakan tentangnya. Malah banyak yang boleh diperkatakan seperti memperkatakan kisah Jebat derhaka.
Cadangan supaya negara menilai kejadian itu adalah perangkap besar buat Perdana Menteri Najib. Jika Najib jadi seperti Muhyiddin, nescaya ia masuk perangkap. Muhyiddin tidak akan menanggung natijah sebesar Najib jika hari itu dijadi satu hari cuti nasional.
Jika kerajaan bersetuju dengan cetusan idea itu, maka ia tidak sekadar dijadikan hari cuti nasional, tetapi ia akan membuka ruang untuk memperkatakan isu itu secara bebas, akademik dan berterus terang.
Kampus-kampus bukan sekadar boleh mengadakan forum dan seminar, bahkan mengadakan peruntukan untuk membuat kajian.
Watak besar dalam kejadian 13 Mei itu adalah Tun Razak, ayahanda Perdana Menteri Najib. Walaupun kejadian itu berlaku semasa Tunku Abdul Rahman Putra masih menjadi Perdana Menteri, tetapi dia tidak menjadi pelakun utama dalam episod itu.
Maka peranan Tun Razak sebelum, ketika dan selepas kejadian itu akan dikaji. Memorial Tun Razak akan diserbu oleh sekalian sang pengkaji dan sang penyelidik bagi menyungkil apa yang terpendam dan apa yang terserlah.
Tun Rahah, balu Tun Razak sebagai orang paling rapat dengan suaminya tidak akan dapat untuk ditanya apa yang diketahui tentang kejadian itu. Apabila ia dijadikan sejarah nasional, maka negara menggalakkan semua pihak termasuk Tun Rahah untuk tampil menyatakan apa yang diketahui kepada umum.
Iparnya, Tan Sri Hamzah Abu Samah, menteri masa itu yang ada peranan semasa kejadian, yang masih ada sekarang, adalah saksi penting yang dapat menerangkan banyak perkara.
Ramai orang penting masa itu sudah mati. Tun Dr. Mahathir belum jadi menteri. Tetapi dia tidak serapat Tun Musa Hitam yang menjadi Setiausaha Kerja Umno menjelang kejadian itu. Begitu juga Tengku Razaleigh. Maka mereka kena bersedia menyatakan sejarah itu.
Apakah versi yang ahli sejarah Khoo Kay Kim hendak kata tentang perkara yang diberi nilai baru itu?
Dalam menyatakan kebenaran atas perkara banyak hal yang tidak diketahui akan diketahui, dan yang tidak patut tahu akan diketahui. Semua yang elok dan yang tidak elok akan keluar.
Najib terpaksa mendengarnya. Yang baik disukai oleh semua. Tetapi yang tidak baik itu terdayakah mendengarnya. Muhyiddin tidak banyak risiko yang hendak didengar. Tetapi risiko untuk Najib lebih besar.
Najib telah bertindak bijak menolak perangkap itu. Apa pun cadangan itu sudah pun menyusahkannya.
No comments:
Post a Comment