Oleh Ustaz Zolkharnain Abidin
Apabila PAS  menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berbunyi suara sumbang  kononnya PAS tidak mempercayai DAP dan PKR untuk mengawal orang bukan  Islam yang menyokong PR. Niat suara sumbang itu ialah untuk  memecahbelahkan PR. Agendanya ialah, biar PAS, DAP dan PKR ‘bertokak’  kerana isu bukan Islam ini.
Orang bukan Islam bebas untuk memilih  sama ada PKR, DAP atau PAS. Amalan demokrasi membenarkan dan memberikan  hak kepada mereka untuk memilih mana-mana parti sama seperti mereka  berhak untuk memilih MCA atau MIC.
Selepas  ini, PAS, DAP dan PKR akan menjadi parti pelbagai agama dan budaya.  Sepertimana ada Melayu dan Islam dalam DAP, maka begitu juga akan ada  Cina, India dan bukan Islam dalam PAS. PKR memang semenjak awal membuka  keahlian kepada semua kaum dan agama.
PAS, DAP dan PKR  benar-benar memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang tidak ingin lagi  hidup dalam ‘longkang perkauman hanyir’ bikinan dan kebanggaan BN untuk  sekian lama.
Selepas ini hanya komponen BN sahaja yang akan kekal  dengan perkauman hanyir itu. Umno dengan Melayu-nya, demikian MCA dan  MIC dengan label perkauman yang tertera nyata pada nama parti  masing-masing.
Mampukah komponen BN, terutamanya Umno untuk terus  bertahan dengan ‘kehanyiran’ perkauman Melayu-nya itu?
Inilah  musykilah besar terkini Umno. Selepas parti itu berhadapan dengan  kemerosotan sokongan Melayu, orang bukan Melayu yang dikatakan pernah  menjadi tongkat kanan dan kiri Umno tidak lagi bersedia terus menongkat  Umno. Jika Umno kehilangan kedua-dua tongkat ini, BN pasti tumbang dalam  PRU akan datang.
Tiada apa lagi yang boleh dibuat oleh Umno  untuk membendung penghijrahan orang bukan Islam ke dalam PR, kecuali  dengan menggambarkan komponen PR sebagai saling curiga-mencurigai antara  satu sama lain.
Salah satunya ialah, gambarkan kepada umum PAS  mencurigai DAP dan PKR untuk mengurustadbir penyokong bukan Islam.  Inilah modal yang Umno ada setakat ini.
Bukan mustahil Umno akan  berkata, PAS lebih Cina daripada DAP, PAS lebih liberal daripada PKR  dengan serangan dua laras kepada PR. Satu laras dengan tujuan menanamkan  keraguan orang PAS kepada PAS dalam isu dasar atau teras PAS. Satu  laras lagi dengan tujuan melaga-lagakan parti-parti komponen PR,  kononnya PAS merampas ahli atau penyokong mereka.
Adakah Umno  akan berjaya dengan serangan ini?
Jawabnya, tidak. Orang PAS hari  ini amat mengalu-alukan penubuhan DHPP. Dan, penubuhannya sebenarnya  memang ditunggu-tunggu. Penubuhan DHPP menjadikan u***** perjuangan PAS  lebih luas dan melebar selaras dengan u***** kesyumulan Islam yang  menjadi dasar PAS itu.
Sebagaimana PAS tidak pernah bimbang  dengan penyertaan orang-orang Islam ke dalam PKR dan DAP, demikian juga  PKR dan DAP tidak akan bimbang dengan penyertaan orang-orang bukan Islam  ke dalam PAS.
Menyediakan lebih banyak ruang dan peluang adalah  lebih baik daripada menutupnya. Apa yang penting mereka bersama PR.
DHPP  adalah merupakan cabaran baru kepada PAS. Kita memasuki daerah baru  yang serba indah tetapi mencabar. Walau apa pun cabarannya, PAS mesti  memasuki daerah baru ini dengan penuh keberanian. Keberanian ini  menggambarkan kita semakin kuat.
Inilah kekuatan kita dan inilah  kelemahan Umno. Apabila Umno meuar-uar bahawa parti itu adalah Melayu  totok, hari ini Umno sedang menanggung padah dan akibatnya. Parti itu  hari ini tenggelam dalam kebusukan perkauman bikinannya itu.
Umno  hilang kebergantungan kepada orang Melayu kerana orang Melayu sudah  tahu bahawa Umno hanya memperalatkan Melayu untuk tembolok pemimpinnya.  Hilang kebergantungan kepada Cina dan India, kerana kedua-dua kaum itu  juga sedar mereka diperalatkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan dan  berkelahi dengan Melayu.
Semuanya; Melayu, Cina dan India selama  50 tahun diperalat untuk memenuhkan tembolok pemimpin Umno dengan  khazanah kekayaan negara yang mereka punggah dengan kuasa.
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment