Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat setiap kali sidang media Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir sering disebut tentang kedudukan kerusi dan juga calon untuk mewakili Barisan Nasional (BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.
Adakah kali ini Datuk Seri Zambry turut akan menangis sepertimana Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali ketika menjadi Pengerusi BN Perak ketika menjelangnya PRU 12 tahun 2008 dahulu kerana terpaksa menggadai kerusi Parlimen Gerik kepada Gerakan.
Walaupun Datuk Seri Zambry yakin kerusi Parlimen Gerik akan dikembalikan kepada Umno, apa pula jaminan tiada gantian kerusi Parlimen lain yang kini menjadi milik Umno? Ini tidak termasuk mengambil kira kenyataan Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz yang mendesak agar 6 kerusi yang ditandingi oleh MIC diserahkan kepada Umno. Pelbagai kemungkinan akan berlaku walaupun Datuk Seri Zambry cuba memberikan keyakinan bahawa pertukaran kerusi yang ada tidak akan menjejaskan peruntukan kerusi setiap Parti Komponen BN yang lain.
Dalam bab calon pula Datuk Seri Zambry menjadikan modal kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengambilkira aspek 'likeable' dan 'winnable' sebagai garis panduannya dalam membuat pilihan. Namun ianya dilihat masih masih gagal untuk mengenepikan penyandang sekarang seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Manong, Lintang, Pengkalan Baru termasuk di dua DUN di Parit Buntar yang pernah kalah. Kini Datuk Seri Zambry dilihat cuba mempertahankan faktor senioriti pula dalam penentuan setiap calon-calon BN, seolah-olah beliau masih lagi belum menyenaraikan calon-calon pilihannya PRU 13 kali ini.
Satu lagi ungkapan Datuk Seri Zambry tentang calon adalah ‘calon helikopter’ yang pernah berlaku di Parlimen Bukit Gantang iaitu bekas Bendahari BN, Dato' Seri Abdul Azim Zabidi yang tewas ketika itu. Persoalannya, mampukah Datuk Seri Zambry menghalang kemasukan ‘calon helikopter’ seperti ini lagi pada pilihanraya akan datang? Yang paling sukar tentunya tentang kedudukan Tan Sri Tajol Rosli pada PRU 13 nanti sama ada dia akan masih dicalonkan atau sebaliknya. Ini termasuk percubaan untuk menaikkan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ke kerusi Parlimen yang mengundang persoalan siapakah pula yang bakal tertendang nanti?
AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.
No comments:
Post a Comment