Mengundi dalam pilihanraya adalah suatu proses penting dalam perjalanan negara dan perlaksanaan Syarak itu sendiri. Ia adalah salah satu penentu dalam membina sesebuah negara dan umat. Oleh itu wajib kita meletakkan kedudukan Pilihanraya itu dikedudukannya yang sahih, mengatasi segala bentuk tawar menawar atau jual beli yang salah.
Membuat pemilihan dalam sesuatu pilihanraya adalah satu bentuk persaksian. Oleh itu tidak boleh seseorang muslim itu mengambil upah dalam mengemukakan persaksiannya.
Firman Allah swt bermaksud, “Dan tegakkanlah persaksian itu kerana Allah”
(surah At-Talaq:2).
Membayar atau membeli undi juga adalah satu bentuk rasuah, sedang rasuah adalah pendapatan yang kotor (As-Suht) dan diharam oleh Islam sehingga Hari Kiamat. Jual beli undi dalam pilihanraya merosakkan akhlak, memusnahkan pandangan pengundi dan mempermainkan manusia. Apabila Rasulullah saw mengutuskan Abdullah bin Rawahah ra kepada satu kaum Yahudi untuk menailai kadar Kharaj (cukai) yang wajib mereka keluarkan kepada negara, mereka cuba mengemukakan ganjaran kepadanya lalu Abdullah bin Rawahah ra berkata,
“Adapun apa yang kamu hendak kemukakan dari bentuk rasuah ini, sesungguhnya ia adalah pendapatan yang kotor dan kami tidak memakannya (kotoran seperti itu)”.
(hadis riwayat At-Tarmizi).
Allah swt berfirman bermaksud, “Dan janganlah kamu memakan harta benda kamu sesama kamu dengan cara yang batil, yang kamu kemukakannya kepada pemerintah agar sebahagian orang memakan dari harta manusia dengan cara dosa sedang kamu mengetahui” (Al-Baqarah:188).
Ulamak telah ijmak (sepakat) mengharamkan perbuatan-perbuatan seperti itu dan melaknat siapa yang melakukannya. Islam juga mengharamkan orang-orang Islam lelaki dan perempuan dari mengikut jalan seperti itu seperti menerima rasuah berkenaan jika ditawarkan kepadanya. Rasulullah saw bersabda,
“Laknat Allah ke atas Rasyi (pemberi rasuah) dan Murtasyi (orang yang menerima rasuah)” (hadis riwayat Ahmad dan At-Tarmizi). Dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim dari Thauban bermaksud, “ Rasulullah melaknat Rasyi (pemberi rasuah), Murtasyi (penerima rasuah) dan Ra’isy (broker/orang tengah urusan rasuah)”.
Hendaklah kita faham bahawa tersebarnya penyakit ini di dalam masyarakat di dunia adalah sebenarnya merosakkan masyarakat tersebut bahkan boleh memusnahkannya. Ini adalah kerana rasuah boleh mengkedepankan sesuatu yang sepatutnya dikemudiankan dan mengkemudiankan sesuatu yang sepatutnya dikedepankan, lalu berubahlah masyarakat tersebut menjadi masyarakat yang naf’iyyah (opportunistic), masyarakat yang hidup atas kepentingan diri tanpa prinsip, tanpa memiliki akhlak, hati budi, tidak menunaikan kewajipan yang sepatutnya, bahkan hidup memakan harta benda haram dan pendapatan yang kotor dan memakan harta orang secara batil. Semua yang demikian adalah haram.
Apabila kejadian rasuah yang diharamkan Allah swt hingga ke Hari Kiamat seperti ini semakin menjadi-jadi, khususnya ketika musim-musim Pilihanraya, jadilah operasi membeli undi sebagai perkara utama dan menjadi perkiraan, menggantikan prinsip yang sepatutnya diamalkan iaitu memberi khidmat kepada rakyat dan tanahair, berusaha untuk memberikan kehidupan sejahtera kepada mereka, menyediakan peluang pekerjaan yang mulia untuk mereka dan sebagainya.
Oleh itu rasuah boleh meminggirkan orang yang mempunyai kebolehan, lebih mahir dan bermenfaat untuk masyarakatnya dan orang yang boleh mempertahankan hak-hak umat. Ini adalah kerana undi pengundi telah dimiliki oleh calon-calon yang memiliki wang ringgit semata-mata dan tiada lagi pertimbangan dan perkiraan yang lain.
Sesetengah tokoh parti politik memfatwakan “Jika orang beri duit, kita ambil. Jika orang beri kain pelikat, kita ambil. Tapi kita tetap tidak akan undi mereka”. Melihat kepada kemenangan jangka pendek, mungkin fatwa ini nampak kebenarannya. Juga apabila dikuatkan dengan alasan wang tersebut adalah wang rakyat, diberikan kepada rakyat juga dan atas alasan-alasan yang lain.
Saya berpandangan yang berbeza. Menabur wang untuk membeli undi adalah rasuah. Allah swt melaknat pemberi dan penerima rasuah. Rasuah merosakkan jiwa umat dan boleh membunuh umat itu sendiri. Apabila Dakwah Islam itu adalah Dakwah Tarbiyah, iaitu mendidik umat dan merubah jiwa mereka, kita tidak boleh bersetuju dengan apa sahaja bentuk yang boleh merosakkan jiwa umat. Pertarungan sebenar kita adalah pertarungan merubah jiwa umat.
“Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesebuah umat sehingga mereka merubah apa di dalam jiwa mereka” (Al-Quran).
Menang pilihanraya tetapi rosak jiwa adalah satu kekalahan, apatah lagi jika kalah dalam kedua-dua pilihanraya dan akhlak. Sebaliknya jiwa sesebuah umat itu menang jiwa, sudah pasti mereka akan menang bukan sahaja dalam pilihanraya tetapi juga mereka akan menang mendokong dan mempertahankan keputusan pilihanraya tersebut, seperti yang berlaku di Gaza, Palestin.
Di sana, mereka bukan sekadar pengundi, tetapi mereka semua adalah pejuang, pembangun tamaddun baru, tidak kira lelaki atau perempuan, dewasa maupun kanak-kanak. Adakah cita-cita kita mahu supaya umat Malaysia menjadi pemimpin dan pembimbing umat-umat di dunia, atau sekadar cukup mereka menjadi pengundi parti kita?
Undi seseorang pengundi adalah amanah, persaksian dan tazkiah (recommendation). Kesemua itu disebut di dalam Al-Quran.
Firman Allah swt bermaksud, “Wahai orang-orang beriman jangan kamu mengkhianati Allah, Rasul dan amanah-amanah yang diberi kepada kamu sedang kamu mengetahui …” (surah Al-Anfaal).
“Dan jangan kamu menyembunyikan persaksian. Siapa yang menyembunyikannya sungguh berdosa hatinya” (Al-Quran).
“Wahai ayahku (Nabi Syu’ib) ambillah dia bekerja. Sungguh pekerja yang terbaik ialah yang kuat (tekun dan cekap) dan amanah” (Al-Quran).
Perlembagaan Mesir di segi ruh dan objektif umumnya –
(i) Syura,
(ii) Hak umat memilih pimpinan, dan
(iii) Kebebasan – adalah tidak bertentangan dengan kaedah dan ajaran Al-Quran Al-Karim, khususnya telah dinaskan bahawa agama resmi negara adalah Islam.
Jika pun Perlembagaan itu perlu dipinda, maka ia sendiri telah menyebut bahawa pindaan dan usaha mematangkannya menjadi hak wakil rakyat, melalui cara yang berlandaskan undang-undang, maka perwakilan rakyat di Parlimen ketika itu adalah cara yang ideal ke arah mencapai slogan Ikhwan Muslimin”.
[Imam Hasan Al-Banna]
Terlibat dalam pilihanraya pula adalah wajib di segi Syarak dan di segi kenegaraan. Tujuan mengundi ialah untuk memilih yang terbaik yang akan bekerja untuk kebaikan dan kebahgiaan umat, menyatukan dan membangunkan mereka di kedua-dua aspek moral dan material, menyelesaikan permasalahan dan menjauhkan umat dari kepincangan dan bahaya.
Adalah wajib memberi undi kita kepada mereka yang mengajak ke arah mengembalikan keagungan dan kepimpinan umat ini, mengembalikan struktur dan kedudukan umat Islam di tengah-tengah umat di dunia. Jika tidak ada calon seperti itu, maka dipilih calon yang terbaik yang ada, yang mahu menyebarkan kebaikan, membenteras mudharat dan kerosakan masyarakat, menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawab.
Adapun memberi undi di atas asas kabilah dan asabiah calon tanpa mengenali hal keadaannya, maka ini adalah amalan yang tidak sihat. Seorang Muslim adalah orang yang memiliki kesedaran yang sihat, memahami agamanya, tidak taasub melainkan untuk Kebenaran, tidak berdiri melainkan bersama-sama dalam barisan orang-orang yang menggunakan akal yang terbimbing (Al-Uqamak Ar-Rasyidin).
Jauhilah orang yang merosakkan umatnya dan memusnahkan kepentingan tanahair. Dengan ini, seorang muslim itu diberi ganjaran kerana akhlaknya yang mulia.
Firman Allah swt bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah. Bercakaplah dengan perkataan yang benar. (Nanti) Allah akan membaiki amalan-amalan kamu, mengampunkan dosa-dosakamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah berjaya dengan kejayaan yang besar” (Al-Ahzab:71).
Ustaz Halim http://www.inijalanku.wordpress.com/
Rujukan : Tulisan Ustaz Abdullah Al-Khatib dari kalangan ulamak Ikhwan Muslimin
No comments:
Post a Comment