 
 7 Rabiulawal 1432H.[MOD]-
KUALA  LUMPUR, 10 Feb — PAS Kelantan menyifatkan langkah Umno Kelantan  melancarkan kempen Gelombang Merah di negeri itu sebagai “gimik politik”  menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Bagi kita ini satu  gimik politik Umno untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama  lagi dengan hasrat mahu menampakkan mereka mempunyai slogan baru untuk  menghadapi PAS di Kelantan.
“Rakyat di Kelantan tidak akan  terpengaruh dengan gimik politik ini, malah kita percaya pengundi  terutamanya pengundi muda tidak akan terpedaya dengan slogan terbaru  Umno ini,” kata Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim kepada The  Malaysian Insider.
Malah beliau percaya langkah terbaru Umno  Kelantan itu tidak akan memberikan kesan terhadap sokongan pengundi  kepada PAS dan kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Rakyat  Kelantan boleh menilai serta buat penilaian dengan baik, mereka boleh  buat keputusan tepat dengan memilih PAS dan kita lihat sehingga kini  mereka masih memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memerintah negeri  ini.
“Ia tidak akan memberi kesan untuk mempengaruhi pengundi di sini,” kata Mohd Zaki.
Ahli  Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran itu berkata, PAS tidak hipokrit  seperti Umno yang hanya mendekati pengundi setiap kali pilihan raya akan  diadakan.
“Pengundi terutamanya pengundi muda akan tetap bersama kita, mereka akan tetap bersama kita daripada pergi kepada Umno.
“Kita  sudah mendekati mereka sudah lama, kita konsisten dan kita bukan hanya  seperti Umno yang bergerak setiap empat tahun sekali,” katanya.
Awal  minggu ini Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk  mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di  Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Badan  Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang  Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan  dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran  ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.
Kempen itu antara lain  berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah  memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang,  katanya.
Menurut Mustapa, BN semakin mendapat tempat di hati  rakyat Kelantan berdasarkan keputusan pada dua pilihan raya kecil iaitu  di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada Julai 2009 dan DUN Galas  pada November lepas.
Pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada  14 Julai 2009, BN berjaya mengurangkan majoriti 1,352 undi yang diraih  PAS pada pilihan raya umum 2008 kepada hanya 65 undi dan pada pilihan  raya kecil DUN Galas pada 4 November tahun lepas, BN menang dengan  majoriti lebih besar iaitu 1,190 undi berbanding 646 undi pada 2008.
Mustapa berkata keputusan pada dua pilihan raya kecil itu jelas menunjukkan golongan muda di Kelantan mahukan satu perubahan.
Beliau  percaya golongan muda kini sudah berpihak kepada BN kerana mereka yakin  dengan kemampuan BN untuk membawa pelbagai perubahan yang diperlukan  bagi merubah landskap Kelantan menjadi sebuah negeri berdaya saing  daripada aspek ekonomi.
Tambah Mohd Zaki, dua pilihan raya kecil  di Kelantan itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa pengundi muda telah  kembali kepada Umno.
“Bagi kita pilihan raya kecil tidak boleh  dijadikan petunjuk kerana bila ada pilihan raya kecil Umno-BN dengan  semua jentera akan turun dengan menawarkan pelbagai janji kepada rakyat.
“Dengan  janji macam-macam kepada rakyat, ini adalah cara kempen Umno-BN kalau  ada pilihan raya kecil yang kita akan tolak walapupun mereka menang,”  katanya.
Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS Kelanatan Abdul  Fatah Harun pula berkata parti Islam itu tidak bimbang terhadap usaha  terbaru Umno Kelantan untuk merampas negeri itu.
“Kita tidak gentar untuk hadapi taktik terbaru Umno ini, bila Umno gunakan cara berdepan macam ini PAS tidak akan kalah.
“PAS hanya akan kalah bila Umno guna gerakan senyap, strategi yang bercanggah dengan Islam dan amalan demokrasi,” katanya.
Beliau juga yakin pengundi di Kelantan tidak akan mudah terpengaruh dengan strategi Umno Kelantan itu
Bagaimanapun,  Adun Bukit Tuku itu berkata, PAS Kelantan tidak akan berdiam diri  sebaliknya akan bertindak dengan lebih agresif untuk mempertahankan  Kelantan.
“Sudah pasti... kita akan tetap pertahankan Kelantan, kalau Umno guna strategi ini kita juga ada strategi kita sendiri.
“Kalau  Umno kuat, kita akan pastikan PAS Kelantan lebih kuat daripada Umno  kerana kita tidak mahu menang disebabkan kelemahan orang lain,”  katanya.(MInsider)
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment