Oleh Abdul Rahim Sabri
‘The Oranje’ - Belanda melayakkan diri ke final Piala Dunia FIFA 2010 selepas menundukan Uruguay 3-2 di Stadium Green Point, awal pagi ini.
Ternyata permainan pantas dan hantaran yang tepat pasukan 'The Oranje' gagal ditandingi Uruguay bagi menempah tiket ke ke pusingan akhir.
Dalam perlawanan penuh dramatik awal pagi ini, dari hasil permainan 'total football' yang ditunjukkan - sejak dahulu lagi - pasukan dari Eropah itu berjaya menewaskan pasukan dari Amerika Latin Uruguay dengan kedudukan 3-2.
Gol pasukan Belanda dijaringkan oleh pemain pertahanan Giovanni van Bronckhorst pada minit ke-18, Wesley Scneijder (minit ke-70) dan Arjen Robben pada minit ke-73.
Manakala gol Uruguay dijaringkan oleh penyerangnya Diego Forlan pada minit ke-41 dan Maximiliano Pereira pada minit ke-91 waktu kecederaan.
Pada separuh masa pertama, pasukan 'The Oranje' berjaya mendahului dengan satu gol hasil rembatan 'peluru' van Bronckhorst dari jarak 35 meter.
Dia menerima umpanan dari tengah padang, merembat bola itu yang pada mulanya terkena tiang gol kiri Uruguay sebelum menerjah jaring.
Gol pada minit ke-18 itu, membolehkan beliau dinobatkan antara penjaring gol tercantik dalam Piala Dunia kali ini.
Sebelum itu, Belanda bermula garang dengan beberapa percubaan menarik daripada gandingan mantap Wesley Scneijder - Robin van Persie - Arjen Robben apabila percubaan-percubaan mereka nyaris membocorkan gawang lawan.
Sebagai contoh pada minit ke-3 rembatan pemain tengah Dirk Kuyt yang juga pemain Liverpool hanya melewati palang gol, setelah mendapat hantaran lintang dari rakannya.
Manakala pada minit ke-9, 'ayam tambatan' Belanda, Robben cuba menanduk tetapi bola itu dapat ditangkap kemas oleh penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.
Scneijder juga turut mendapat peluang pada minit ke-12 tetapi rembatannya dari luar kotak penalti terkena rakannya,van Persie. Terselamat pintu gol Uruguay.
Sementara itu, pada minit ke-30, Robben sekali lagi, mendapat umpanan dari van Persie yang berjaya menggelecek dua pemain Uruguay, sebelum menghantar kepadanya yang menunggu di dalam kotak penalti.
Tetapi Roben dikawal seorang pemain pertahanan menyebabkan kawalan bola itu terlepas sebelum berjaya di tangkap kemas oleh Muslera.
Jelas, dari satu sudut, ketiadaan penyerang berbisa Luis Suarez yang digantung satu permainan, tampak merencatkan sedikit rentak permainan skuad dari Amerika Latin itu.
Bagaimanapun kegembiraan Belanda tidak kekal lama, apabila pemain licik kelab Athletico Madrid, Diego Forlan melepaskan rembatan 'peluru' dengan kaki kiri dari jarak 30 meter yang kemudiannya ditampan oleh penjaga gol sebelum bola itu menerjah gawang.
Gol pada minit ke-41 itu menggamatkan suasana di Stadium Green Point di Cape Town, dan laungan dan sokongan penyokong sambil meniup 'Vuvuzela' membingitkan lagi stadium itu.
Skuad bimbingan Oscar Tabarez, sebelum itu, hampir memecah kebuntuan, apabila pada minit ke-35 Maximiliano Pereira turut mendapat peluang bagi menjaringkan gol.
Malangnya rembatan lemah kaki kirinya dari jarak 35 meter berjaya ditangkap kemas oleh Stekelenburg.
Separuh masa pertama, kedudukan terikat 1-1.
Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan melipat gandakan usaha untuk menambah jaringan.
Hasilnya, pada minit ke-70 pemain tengah Inter Milan, Scneijder membuat rembatan luar kotak penalti, yang kemudiannya terkena pemain pertahanan Uruguay, menyebabkan bola itu bergolek masuk ke gawang walaupun cuba diselamatkan oleh Muslera.
Kedudukan berubah dengan 'The Oranje' mendahului dengan dua gol berbalas satu.
Selepas itu, pasukan dari negara Eropah itu, dilihat semakin ghairah untuk menambahkan jaringan.
Serangan bertubi-tubi sekali lagi berhasil apabila Robben berjaya menanduk masuk ke gawang, tiga minit selepas gol kedua.
Gol tersebut hasil hantaran lintang dari rakannya Kuyt di sebelah kanan pintu gol Uruguay.
Penjaga gol Uruguay sekadar tergamam memerhatikan bola itu menerjah jaring.
Gol itu membolehkan pasukan Belanda menjarakkan kedudukan dengan 3-1.
Sebelum itu, pada separuh masa kedua, Uruguay dilihat menguasai 20 minit pertama dengan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Bagaimanapun percubaan daripada beberapa pemain Uruguay pada minit ke-49,59 dan 66 berjaya dihalang atau ditangkap kemas oleh penjaga gol Belanda Maarten Stekelenburg.
Namun, usaha Uruguay tidak sia-sia apabila 'set pieces' dari sepakan percuma berjaya membuahkan hasil, apabila Maximiliano merembat masuk ke gawang gol Belanda pada minit ke-91sewaktu masa kecederaan.
Uruguay merapatkan jurang dengan kedudukan 3-2 yang mana masih memihak kepada Belanda.
Bagaimanapun, usaha mereka pada saat akhir perlawanan gagal untuk menyekat kemaraan Belanda masuk ke pusingan akhir yang akan bertemu antara pasukan Jerman atau Sepanyol yang dijadualkan berentap pagi esok.
Tahniah 'The Oranje'!
Petikan : Malaysiakini
No comments:
Post a Comment